Markas Burung

Markas Burung
Burung pun suka bersarang di pohon kelapa ni

Wednesday, August 3, 2011

RAMADAN

Ramadan menjelma lagi. Aku masih berada di tengah kota yang menyesakkan. Akal dan fikiran. Sesekali terasa rindu bila mengenangkan dahulunya saat inilah aku akan pulang ke kampung untuk menyambut puasa bersama ibu dan ayah tersayang. Kini aku menjadi anak yatim piatu. Ayah yang baik, dan ibu yang sering mengambil tahu membuatkan aku amat merindui mereka. Tapi kini mereka telah menghadap Ilahi. Tinggallah aku dalam menghadapi hari-hari mendatang.

Adik, nanti jangan lupa sambut puasa di kampung! kata-kata ini sering aku ingati.
Tapi dulu. Kini aku tidak lagi menyambut puasa di kampung setelah ketiadaan mereka. Rumah tua yang ada aku sewakan. Biarpun dengan harga yang rendah, tapi aku puas, kerana sekurang-kurangnya ada orang yang melihat-lihat rumah itu. Untuk ke rumah akkak aku semakin janggal. Rumah yang dahulunya kayu kini telah bertukar batu. Anak-anaknya telah berjaya dan mampu membina mahligai buat ibunya. Alhamdulillah. Aku bangga dengan mereka. Meskipun ayah mereka telah tiada, tapi mereka masih ingat untuk membantu ibu. Manakala aku menjadi sunyi.

Telah lama juga kau tidak mendengar suara anak-anak saudara. Suara-suara itu menjadi semakin sayup dan jauh. Aku tidak tahu kenapa. Tapi meskipun dalam rindu aku di sini kepada mereka, namun aku tidak juga mendengarnya. Alangkah lucunya dunia sekarang. Alangkah sibuknya insan mengejar cita-cita. Tapi aku hanyalah bapa saudara. Tidak punya apa-apa.
Kadang-kadang, peristiwa dalam bulan Ramadan amat menderu dan mengejar lamunan ini untuk bernostalgia. Sungguh indah dan bahagia. Tapi kadang-kadang Ramadan juga memberikan aku satu tahap kelemasa yang teramat, kerana kesayuan kalbu bila mengenangkan ayah dan bonda. Aku kini tidak dapat lagi menerima panduan dan ajaran. namun apa yang pernah ku dapati tidak akan aku lupakan. Mana mungkin aku melupakan kedua idolaku ini. Merekalah bintang yang sentiasa melihat perlakuanku. Merekalah bulan yang sentiasa menerangi hati ini.Aku tidak akan lupa. Dan...aku mengharapkan anak-anakku juga tidak akan lupa bila aku telah tiada.

Sunday, July 3, 2011

KEINDAHAN BAHASA DALAM PANTUN

KEINDAHAN BAHASA MELAYU DALAM PANTUN

Apabila disebut tentang keindahan maka kita tentunya ingin tahu apakah yang dimaksudkan dengan keindahan. Maksud keindahan ialah hal iang berkaitan dengan cantik, elok, menarik dan sedap mata memandang. Dari segi konsepnya ia bukan sahaja melibatkan hal yang berbentuk fizikal tetapi juga merangkumi hal yang berkaitan dengan jiwa dan akal.

Dalam pantun, keindahan bahasa melayu ini terletak dalam dua kuplet iaitu kuplet sampiran dan kuplet maksud, tetapi keindahan yang utama terletak pada kuplet maksud kerana di sini terangkum ungkapan yang memberi maksud yang bernas dan padat. Isi atau mesej sememangnya amat penting dalam pantun .

Bahasa sebenarnya terdiri daripada tiga komponen penting iaitu;

i) Bahagian Fonologi (yang berkaitan dengan aspek bunyi)

ii) Bahagian Morfologi (yang menghuraikan tentang aspek kata)

iii) Bahagian sintaksis (yang berkaitan dengan aspek frasa dan ayat)

Baik, kita lihat dari aspek bunyi

Ringkasnya bunyi ini terbahagi kepada bunyi penggalan dan bunyi supra penggalan. Bagi bunyi penggalan, ia melibatkan bunyi vokal dan konsonan. Dalam pantun, bunyi vokal memainkan peranan penting kerana ia mempunyai unsur gema dan kenyaringan. Vokal di sini (dalam pantun) dikaitkan dengan rima, sama ada di awal, tengah atau di hujung baris. Contoh;

Kalau tidak kelapa puan,

Tidak juga kelapa bali;

Kalau tidak kerana tuan,

Tidak hamba datang ke mari.

Rima awal, tengah dan hujung yang bertingkah dengan bunyi yang sama ini membentuk satu alunan yang sekata dalam sebutan.

Baik, kita dengar lagi contoh pantun ini.

Di sana padi di sini padi,

Padi huma dari seberang;

Di sana budi di sini budi,

Baru nama disebut orang.

Tuai padi antara masak,

Esok jangan layu-layuan;

Intai kamu antara Nampak,

Esok jangan rindu-rinduan.

Inilah hebatnya bahasa Melayu, yang mada mampu memberikan maksud yang tepat dengan adunan bunyi yang seirama dan bertingkah dalam bentuk yang senada.

Kalau kita lihat, bukan sahaja keindahan ini disebabkan rima yakni bunyi yang boleh kita dengar semasa pantun ini dituturkan, tetapi kehebatan ini ditambah lagi dengan peranan yang dimainkan oleh sukukata yang ada dalam bahasa Melayu itu sendiri.

Kalau kita dengar pantun tadi,

Di sana padi di sini padi, (10)

Padi huma dari seberang; (9)

Di sana budi di sini budi, (10)

Baru nama disebut orang. (9)

Terdapat persama bilangan dalam sukukata pantun ini iaitu baris pertamanya 10 suku kata, baris kedua 9 sukukata, baris ketiga 10 sukukata dan baris ke empat 9 sukukata. Jumlah sukukata yang sama pada baris pertama dan ketiga manakala ia juga sama dengan baris kedua dengan yang keempat. Bukan senang kalau kita mahu memadankan semua pantun dengan jumlah suku kata yang sama, tetapi inilah sebenarnya yang memberikan keistimewaan betapa kesempurnaan suku kata ini mampu menempatkan pantun melayu dalam kelas yang tersendiri.

Dalam pantun;

Tuai padi antara masak, (9)

Esok jangan layu-layuan;(9)

Intai kami antara nampak,(9)

Esok jangan rindu-rinduan. (9)

Kita dapati, semua baris dalam pantun ini mempunyai pola suku kata yang sama. Sebab itu nadanya sekata kalau dilafazkan.

Aspek Kata (Morfologi)

Baik, kita lihat aspek morfologi, atau aspek yang berkaitan dengan kata pula En. Kam. Tadi aspek fonologi (bunyi).

Dalam aspek morfologi ini, kebanyakan basa yang indah terbentuk dari kata tunggal. Maknanya ia tidak terbina dari kata yang menerima imbuhan. Bukanlah semua, kebanyakannya.

Contoh pantun tadi,

Di sana padi di sini padi, (10)

Padi huma dari seberang; (9)

Di sana budi di sini budi, (10)

Baru nama disebut orang. (9)

Dalam pantun ini tidak ada kata yang diberi imbuhan. Cuma yang ada ialah kata sendi ‘di’, selain itu, tidak ada.

Baik, satu lagi;

Tuai padi antara masak, (9)

Esok jangan layu-layuan;(9)

Intai kami antara nampak,(9)

Esok jangan rindu-rinduan. (9)

Perkataan tuai, padi, antara, masak; intai, kami, antara, Nampak; semuanya merupakan kata tunggal. Ada dua perkataan yang diberikan kata ganda iaitu layu menjadi layu-layuan dan perkataan rindu-rinduan. Tapi secara keseluruhannya,kata tunggal masih mendominasi dalam rangkap pantun ini.

Sebab itu penggunaan kata tunggal ini penting dipilih dalam membentuk serangkap pantun kerana ia mudah, jelas, indah, tepat, dan sempurna dalam aspek yang saya katakan tadi.

Perkataan yang berbentuk kata terbitan yang diberikan imbuhan depan dan belakang memang jarang digunakan kerana

i) Ia akan membentuk perkataan yang mempunyai sekurang-kurangnya 3 suku kata.

ii) Kurang berpotensi dari segi rentak dan irama

(susah kita nak padankan bunyi. Kalau boleh pun suku kata pula menjadi tidak sama jumlahnya.)

Tapi jangan pula mengatakan bahawa kita tidak boleh menggunakan kata terbitan, kata ganda atau kata majmuk dalam pantun. Saya tidak kata begitu. Cuma apa yang saya sebut di sini ialah tentang keindahan dalam pantun dan apa sebab yang membuatkan keindahan itu terbentuk. Kerana ada masanya perlu pada kata ganda sepertu layu-layuan, rindu-rinduan, kerana kata-kata ini mampu memberikan penegasan dalam pantun tersebut.

Aspek yang ketiga pula ialah tentang frasa dan ayat. Dalam hal ini kita boleh lihat dari sudut bentuk ayat itu sendiri kerana bentuk ayat inilah yang memberikan keindahan dalam pantun En. Kam. Ayat dalam pantun terbahagi kepada 4 iaitu;

i) Ayat penyata

ii) Ayat Tanya

iii) Ayat perintah

iv) Ayat seruan

Tapi tidak mungkin saya dapat berikan semua contoh. Mungkin satu atau pun dua bentuk;

Baik secara ringkas ayat penyata adalah seperti;

Rumah kecil tiang seribu,

Rumah besar tiang sebatang,

Kecil-kecil ditimang ibu,

Sudah besar ditimang gelombang.

Ayat perintah;

Nyiur muda dibuat pengat,

Makan pulut bulan puasa,

Wahai pemuda hendaklah ingat,

Kerana mulut badan binasa.

Wednesday, June 15, 2011

LAMUNAN

Sesekali aku membaca laman blog insan yang sering ku ingati. Berpangkat anak, dan sesungguhnya sememang dia anak. namun kini semakin jauh dan tidak pernah lagi bertanya khabar. Apa yang aku tahu hanyalah melalui catatan yang ditulis dalam blognya.

Terkadang hati turut merasa pilu, kerana kini tidak ada siapa lagi yang cuba menghubungi. meskipun orang yang dimaksudkan lalu dipinggir rumah. Sungguh. Kepiluan ini amat tersemat dalam hati dna tidak ada siapa yang dapat aku luahkan.

Meskipun mereka sering bergerak di merata Tanah Semenanjung, dan sesekali lalu juga dipinggir rumahku, namun usahkan singah, mengnalifon dan bertanya khabar pun jauh sekali. Alangkah sibuknya mereka. Alangkah dhaifnya kita. Apakah tidak ada langsung perasaan seorang anak untuk menghubungi 'bapa'nya setelah berjaya dalam hidup. apakah telah jauh jurang dan taraf kehidupan sehingga dipinggirkan?

inilah yang dikatakan dunia, semakin jauh apabila semakin selesa. Semakin jarah apabila semakin berada. Tidka mengapa. Meski aku sesekali sebak dalam diam, namun aku akan tetap aku, yang tidak akan meminta-minta. aku tetap aku yang tidak akan mencerca. Kini apalah aku. Seorang insan hina yangtidak punya apa dan tidak diperlukan apa-apa lagi.

Hiduplah dalam diam, dan kayuhlah kehidupan dalam suram. aku dengan duniaku dan biarlah mereka dengan gaya mereka yang semakin "......"

Inilah dunia. Inilah nasib yang aku sendiri tidak tahu sudahnya.

Wednesday, June 1, 2011

INILAH DUNIA

Kini, telah mnejadi tugas hakiki pada aku apabila tiba setiap pagi Khamis. Pagi-pagi yang bernama pagi Khamis ini, Radio tetap akan menghubungiku walau di mana sahaja aku berada. Ruangan Santun Bahasa pada pukul 6.45 pagi. Inilah dunia baru yang aku lalui. Meskipun penat dan terkongkong, tapi aku gembira kerana aku dapat memberikan sedikit ilmu yang aku tahu kepada masyarakat dan juga pendengar radio berkenaan. Ruangan yang aku kendalikan ialah ruangan 'pantun'. Satu ruangan yang boleh membicarakan apa sahaja berstruktur mahupun tidka berstruktur.

Inilah yang membuatkan aku menjadi semakin mendalami dunia pantun. Padaku, ruangan begini memberikan aku untuk terus lebih mengkaji dan mencari ilmu tentang apa yang akan aku perkatakan. aku tahu, bila bercakap secara terus di ruang udara ini, tidak mungkin kita boleh bercakap sambil lewa ataupun membabi buta.

pantun, satu pusaka Melayu yang tidak ternilai. Di dalamnya terungkap pelbagai falsafah dan pemikiran yang mampu dinyatakan hanya dalam bentuk satu rangkap sahaja. Bentuk popular ialah pantun empat kerat, dan inilah yang banyak aku perkatakan pada setiap pagi Khamis. Tidak ramai yang tahu (mungkin) tentang bagaimana falsafah terungkap dalam sebuah pantun.
Contohnya pantun klasik ini;

buah langsat kuning mencelah,
senduduk tidak berbunga lagi;
sudah dapat gading bertuah,
tanduk tidak berguna lagi.

Pantun ini merupakan sebuah oantun yang membicarakan tentang darjay. Di mana darjat yang lebih tinggi lebih diutamakan dalam situasi sebenar masyarakat Melayu. Inilah falsafahnya di mana penutur pantun ini ingin menyampaikan kritikan sosialnya. Kita hidup bermasyarakat, dan apabila berlakunya penilaian kepada darjat sedangkan taraf semua umat manusia ini sama di sisi Allah swt dna hanya ketakwaan yang menjadi perbezaannya. Membina hirarki dalam masyarakat melayu bukanlah sesuatu yang direstui, namun masyarakat terpaksa menerimanya kerana inilah peraturan yang dibuat oleh masyarakat itu sendiri terutamanya oleh orang-orang yang mempunyai harta kekayaan. Mereka inilah yang membentuk perbezaan dan menjarakkan kedudukan mereka dalam masyarakat setempat.

Kenapa dikatakan pantun ini sebuah pantun yang memperkatakan tantang darjat.
Baik, cuba kita ulas dua kuplet yang ada bagaimana dikatakan berkaitan darjat.

"Buah langsat kuning mencelah, senduduk tidak berbunga lagi". Kuplet ini terbina dari pengamatan masyarakat terhadap alam yang ada di sekitarnya. Ini bukan sahaja terhasil melalui bayangan mahupun rekaan, tetapi ia terhasil daripada pengamatan yang telus dan penuh penghayatan. Hakikatnya, jika diperhatikan buah langsat sememangnay tidka pernah masak serentah dalam setangkai. Ia masak berperingkat-peringkat dan ini memberikan bayangan bahasa dalam masayarakat ada peringkat yang tertentu. Secara lumrahnya juga, apabila buah langsat sudah mula mengelah kuningnya, maka senduduk yang tumbuh di bawah pohon langsat menang tidak akan berbunga. Itu bagi hakikat dan lumrah alam. namun secara logiknya, pembahagian kepentingan dan darjat antara langsat dengan senduduk, maka masyarakat akan lebih memilih langsat kerana langsat lebih bernilai berbanding senduduk. yang hidupnya hanya menyemak dan tidak memberikan sesuatu yang berharga dalam kehidupan. kebiasaannya dalam masyarakat Melayu, yang lebih berharga yang akan diutamakan. Jadi, lumrahnya, untuk memudahkan mereka mengambil buah langsat yang mula masak, maka mereka akan menerangkan pangkal pohon tersebut. Dengan ini, pokok atua anak-anak senduduk yang ada di bawahnya akan ditebas dan dibuang. Ini juga logik jika dikatakan bila langsat mula masak, senduduk tidak berbunga lagi. Pertama kerana hakikat senduduk itu memang tidka berbunga nketika langsat mula menguning dna yang keduanya langsat berkenaan akan ditebas oleh pemilik pohon langsat untuk memudahkan beliau mengambil langsat berkenaan apabila ia telah benar-benar masak.

bersambung

Tuesday, March 22, 2011

SASTERA atau BAHASA MELAYU

Telah tiga hari aku berkampung di Muar. Selepas ini aku akan ke Melaka. Menjalankan tugas yang berbeza. Di Muar, aku mengendalikan Bengkel Penataran Bahasa Melayu dan Penulisan Dokumen Rasmi untuk Pihak Berkuasa Tempatan Zon Selatan. Manakala di Melaka, aku mengendalikan kursus Pengajaran dan Penghayatan Sastera. Dua cabang ilmu yang jauh berbeza. Aku kini menjalankan dua tugas yang bertentangan dalam satu masa. Cabarannya maha berat. Ini kerana aku bukanlah pakar atau sifu dalam semua bidang. Tetapi tugas tetap akan dilaksanakan biar merangkak atau apa juga.

Bahasa atau Sastera. Persoalan ini bergentayangan dalam sanubariku. Desakan untuk aku menjurus kepada dunia kesusasteraan yang hampir sama dengan kehendak jiwa terngiang-ngiang di cuping telinga. aku menjadi serba salah. Kepercayaan ketua kepada aku tidak aku kesampingkan. Bukan mengejar nama atau mengampu. Tatapi, bagi aku hakikat tugas yang diarahkan tetap akan dilaksanakan. Mana mungkin, seorang pekerja yang bekerja dalam sektor awam mampu untuk melakukan tugas mengikut cita rasanya sendiri. Apa pun aku kena belajar tentang bahasa. Aku kena mahir tentang Dasar dan Perancangan Bahasa. Aku kena arif tentang tata bahasa. Aku kena ambil tahu tentang struktur ayat dan sebagainya.

Kini jiwaku berperang. Sastera lebih menarik perhatian dan sastera mampu untuk menterapikan jiwaku. Aku tidak mampu untuk menolak dunia sastera. Sastera duniaku. Walaupun aku mengambil pengajian di universiti dengan kursus yang amat jauh berbeza. Aku tidak tahu kenapa. Pengurusan Sumber Manusia. Pelik. memang pelik. tapi itulah yang dikatakan manusia. Tidak pernah puas dengan apa yang ada. Begitu juga aku. Suka mencari yang lain dan tidak peduli dengan apa orang lain kata.

Bahasa dan Sastera. Satu gabungan nama yang berbeza. Kedua-duanya bersangkutan tapi berlainan makna. Kedua-dua sama dan berlanan cara. Kedua-duanya saling memerlukan tapi sering bermusuhan. Itulah. Tidak ada apa yang seakrabnya. Umpama suami dan isteri, sesekali juga tergigit jari. Itulah aku . Kini, dalam satu dunia tapi berlainan arah.

Monday, November 29, 2010

KEPUASAN

Kata orang, jiwa kita akan menjadi tenang setelah perasaan kita puas.
Benarkah? Atau mungkin kebenaran itu tidak dapat dikongsi dengan orang lain kerana hanya kita sendiri yang mengetahuinya.
Mengenali perkataan ini aku menjadi semakin percaya. Kepercayaan itu jelas setelah aku berupaya menyelesaikan pengajianku di universiti. Ini amanat yang ditinggalkan oleh arwah ayah. Dia mahu aku masuk ke universiti dan bergelar graduan. Dalam keluarga yang buta huruf, aku anak bongsu daripada tiga beradik. Abang dan kakak hanya mampu belajar hingga ke darjah enam. Hanya aku yang mampu ke sekolah menengah. Itu pun setelah ayah menjual anak lembunya yang seekor itu. Abang dan kakak hanya mampu melihat dan mendoakan kejayaan.
Tapi harapan ayah juga tidak kesampaian. Aku kandas juga dalam peperiksaan SPM. Hanya mendapat gred 3 dan tidak mampu untuk meneruskan persekolahan seperti teman-teman lain. Birasku mendapat gred dua dan dia kekal bersekolah. Aku menjadi terumbang ambing dan tidak menentu. Dalam menghadapi saat genting ini, aku hanya berserah dan tidak mampu untuk melawan takdir. Lalu ladang kelapa sawit menjadi taman permaianku untuk mendapatakn hasil dan wang saku. Aku menjadi semakin sunyi dan tertekan.
Aku menjadi tidak menentu. Hidup dengan tidak mampu meneruskan cita-cita dan hasrat orang tua. Aku mengerti tentang ini. Orang tua yang bersusah payah menyekolahkan aku dan aku tidak mampu untuk membayarnya. Lalu aku membawa diri merantau ke Kuala Lumpur menjadi pekerja kontrak. Pada kedua orang tua kusampaikan hasrat dan mereka tidak membantah. Di sinilah aku mula mengenal penderitaan. Kerja yang membebankan dan amat memenatkan dengan gaji yang kecil. Namun aku tabah. Cita-citaku entah ke mana dan aku hanya mencuba nasib di tempat orang. Kulit yang sedia gelap menjadi semakin hitam.
Sesekali bila aku pulang ke kampung, ibu dengan gembira menyambutku. Ayah juga begitu. Namun aku masih menyimpan perasaan untuk meneruskan cita-cita, tapi kini aku tenggelam punca. Orang kampung tidak tahu apa yang ku lakukan di Kuala Lumpur. Cuma mereka tahu bahawa aku kini semakin gelap dan legam. Aku bangga kerana orang tuaku tetap menerima anaknya ini. Mereka tidak pernah menampakkan kebencian. Cuma satu mereka berpesan;
"Adik, kalau berkawan dengan orang, ikutlah yang mana baik sahaja"
Aku akan ingat pesanan itu hingga ke hari ini. Meskipun aku berkawan dengan penghisap dadah, kaki perempuan, namun alhamdulillah, aku masih mampu mengawal diri dan tidak mengikut jejak mereka.
Langkah demi langkah ku hayun di kota besar ini. Setelah berhenti bekerja kontrak aku menjadi pengawal keselamatan. Di sini aku mula berjinak kempali dengan dunia yang kuminati, iaitu dunia buku. Sebagai pengawal, aku mempunyai banyak masa lapang di pondok kawalan. Di sinilah aku membaca buku-buku cerita dan apa sahaja yang ada. Penghinaan masih lagi ku terima. Gadis kilang tempat aku menjadi pengawal langsung tidak mampu didekati. Apalah yang layak bagi mereka dengan seorang pengawal keselamatan. Orang bodoh yang hanya mampu membuka dan menutup pintu pagar kilang. Alangkah sedihnya.
Tekad hati yang tidak pernah padam tetap aku teruskan. Aku sedikit bersemangat apabila diterima berkhidmat sebagai polis bantuan FELDA. Di sini aku sedikit diterima walaupun masih bertindak sebagai pengawal keselamatan. Namun hasrat untuk meneruskan pengajian dan persekolahan tidak mampu aku teruskan kerana kekangan waktu bertugas. Lalu aku bertukar tugas sebagai seorang pelayan pejabat. Gaji yang amat kecil tapi masa kerja yang tetap. Di sinilah aku mula mengambil kelas malam STPM. Walaupun umur lewat, namun aku mempunyai teman-teman yang memberikan semangat.
Aku mula menulis, dan tulisanku di semak oleh seorang pensyarah yang hingga hari ini menjadi teman baikku. Sesekali tersiar juga di dada akhbar. Walaupun dia telah bergelar Dato' tapi aku masih berkawan rapat dengannya. Dialah pembimbing dan dialah abang. Semangatnya kuterima dan nasihatnya kuamalkan. Akhirnya aku diterima bekerja di DBP, satu tempat yang ku idam-idamkan. Apatah lagi aku memang berminat dengan dunia buku-buku.
Di sinilah aku berjaya meneruskan hasrat untuk belajar di universiti dengan mengikuti pengajian luar kampus. Aku akan berusaha. Meskipun agak terlalu lewat, namun aku mampu untuk masuk ke universiti. Kini aku selesai dengan menggenggam segulung ijazah. Aku bangga dengan diriku. Walaupun aku terpaksa berkorban untuk orang lain pada waktu sebelum ini, kini aku juga mampu untuk memiliki ijazah sendiri. Jawatan Penolong Editor Kanan di DBP juga memberikan kepuasan. ALHAMDULILLAH.
YA ALLAH, kalau kedua orang tuaku masih ada, alangkah bahagianya mereka. Cita-cita dan impian terlaksana juga. Ayah, ibu...aku hanya mampu menggengam ijazah ini, tapi aku tidak mampu menunjukkan padamu...!!!!