KEPUASAN
Kata orang, jiwa kita akan menjadi tenang setelah perasaan kita puas. Benarkah? Atau mungkin kebenaran itu tidak dapat dikongsi dengan orang lain kerana hanya kita sendiri yang mengetahuinya. Mengenali perkataan ini aku menjadi semakin percaya. Kepercayaan itu jelas setelah aku berupaya menyelesaikan pengajianku di universiti. Ini amanat yang ditinggalkan oleh arwah ayah. Dia mahu aku masuk ke universiti dan bergelar graduan. Dalam keluarga yang buta huruf, aku anak bongsu daripada tiga beradik. Abang dan kakak hanya mampu belajar hingga ke darjah enam. Hanya aku yang mampu ke sekolah menengah. Itu pun setelah ayah menjual anak lembunya yang seekor itu. Abang dan kakak hanya mampu melihat dan mendoakan kejayaan. Tapi harapan ayah juga tidak kesampaian. Aku kandas juga dalam peperiksaan SPM. Hanya mendapat gred 3 dan tidak mampu untuk meneruskan persekolahan seperti teman-teman lain. Birasku mendapat gred dua dan dia kekal bersekolah. Aku menjadi terumbang ambing dan tid...