KEPUASAN

Kata orang, jiwa kita akan menjadi tenang setelah perasaan kita puas.
Benarkah? Atau mungkin kebenaran itu tidak dapat dikongsi dengan orang lain kerana hanya kita sendiri yang mengetahuinya.
Mengenali perkataan ini aku menjadi semakin percaya. Kepercayaan itu jelas setelah aku berupaya menyelesaikan pengajianku di universiti. Ini amanat yang ditinggalkan oleh arwah ayah. Dia mahu aku masuk ke universiti dan bergelar graduan. Dalam keluarga yang buta huruf, aku anak bongsu daripada tiga beradik. Abang dan kakak hanya mampu belajar hingga ke darjah enam. Hanya aku yang mampu ke sekolah menengah. Itu pun setelah ayah menjual anak lembunya yang seekor itu. Abang dan kakak hanya mampu melihat dan mendoakan kejayaan.
Tapi harapan ayah juga tidak kesampaian. Aku kandas juga dalam peperiksaan SPM. Hanya mendapat gred 3 dan tidak mampu untuk meneruskan persekolahan seperti teman-teman lain. Birasku mendapat gred dua dan dia kekal bersekolah. Aku menjadi terumbang ambing dan tidak menentu. Dalam menghadapi saat genting ini, aku hanya berserah dan tidak mampu untuk melawan takdir. Lalu ladang kelapa sawit menjadi taman permaianku untuk mendapatakn hasil dan wang saku. Aku menjadi semakin sunyi dan tertekan.
Aku menjadi tidak menentu. Hidup dengan tidak mampu meneruskan cita-cita dan hasrat orang tua. Aku mengerti tentang ini. Orang tua yang bersusah payah menyekolahkan aku dan aku tidak mampu untuk membayarnya. Lalu aku membawa diri merantau ke Kuala Lumpur menjadi pekerja kontrak. Pada kedua orang tua kusampaikan hasrat dan mereka tidak membantah. Di sinilah aku mula mengenal penderitaan. Kerja yang membebankan dan amat memenatkan dengan gaji yang kecil. Namun aku tabah. Cita-citaku entah ke mana dan aku hanya mencuba nasib di tempat orang. Kulit yang sedia gelap menjadi semakin hitam.
Sesekali bila aku pulang ke kampung, ibu dengan gembira menyambutku. Ayah juga begitu. Namun aku masih menyimpan perasaan untuk meneruskan cita-cita, tapi kini aku tenggelam punca. Orang kampung tidak tahu apa yang ku lakukan di Kuala Lumpur. Cuma mereka tahu bahawa aku kini semakin gelap dan legam. Aku bangga kerana orang tuaku tetap menerima anaknya ini. Mereka tidak pernah menampakkan kebencian. Cuma satu mereka berpesan;
"Adik, kalau berkawan dengan orang, ikutlah yang mana baik sahaja"
Aku akan ingat pesanan itu hingga ke hari ini. Meskipun aku berkawan dengan penghisap dadah, kaki perempuan, namun alhamdulillah, aku masih mampu mengawal diri dan tidak mengikut jejak mereka.
Langkah demi langkah ku hayun di kota besar ini. Setelah berhenti bekerja kontrak aku menjadi pengawal keselamatan. Di sini aku mula berjinak kempali dengan dunia yang kuminati, iaitu dunia buku. Sebagai pengawal, aku mempunyai banyak masa lapang di pondok kawalan. Di sinilah aku membaca buku-buku cerita dan apa sahaja yang ada. Penghinaan masih lagi ku terima. Gadis kilang tempat aku menjadi pengawal langsung tidak mampu didekati. Apalah yang layak bagi mereka dengan seorang pengawal keselamatan. Orang bodoh yang hanya mampu membuka dan menutup pintu pagar kilang. Alangkah sedihnya.
Tekad hati yang tidak pernah padam tetap aku teruskan. Aku sedikit bersemangat apabila diterima berkhidmat sebagai polis bantuan FELDA. Di sini aku sedikit diterima walaupun masih bertindak sebagai pengawal keselamatan. Namun hasrat untuk meneruskan pengajian dan persekolahan tidak mampu aku teruskan kerana kekangan waktu bertugas. Lalu aku bertukar tugas sebagai seorang pelayan pejabat. Gaji yang amat kecil tapi masa kerja yang tetap. Di sinilah aku mula mengambil kelas malam STPM. Walaupun umur lewat, namun aku mempunyai teman-teman yang memberikan semangat.
Aku mula menulis, dan tulisanku di semak oleh seorang pensyarah yang hingga hari ini menjadi teman baikku. Sesekali tersiar juga di dada akhbar. Walaupun dia telah bergelar Dato' tapi aku masih berkawan rapat dengannya. Dialah pembimbing dan dialah abang. Semangatnya kuterima dan nasihatnya kuamalkan. Akhirnya aku diterima bekerja di DBP, satu tempat yang ku idam-idamkan. Apatah lagi aku memang berminat dengan dunia buku-buku.
Di sinilah aku berjaya meneruskan hasrat untuk belajar di universiti dengan mengikuti pengajian luar kampus. Aku akan berusaha. Meskipun agak terlalu lewat, namun aku mampu untuk masuk ke universiti. Kini aku selesai dengan menggenggam segulung ijazah. Aku bangga dengan diriku. Walaupun aku terpaksa berkorban untuk orang lain pada waktu sebelum ini, kini aku juga mampu untuk memiliki ijazah sendiri. Jawatan Penolong Editor Kanan di DBP juga memberikan kepuasan. ALHAMDULILLAH.
YA ALLAH, kalau kedua orang tuaku masih ada, alangkah bahagianya mereka. Cita-cita dan impian terlaksana juga. Ayah, ibu...aku hanya mampu menggengam ijazah ini, tapi aku tidak mampu menunjukkan padamu...!!!!

Comments

Popular posts from this blog

MALU DALAM PANTUN MELAYU

KEINDAHAN BAHASA DALAM PANTUN