RAMADAN
Ramadan menjelma lagi. Aku masih berada di tengah kota yang menyesakkan. Akal dan fikiran. Sesekali terasa rindu bila mengenangkan dahulunya saat inilah aku akan pulang ke kampung untuk menyambut puasa bersama ibu dan ayah tersayang. Kini aku menjadi anak yatim piatu. Ayah yang baik, dan ibu yang sering mengambil tahu membuatkan aku amat merindui mereka. Tapi kini mereka telah menghadap Ilahi. Tinggallah aku dalam menghadapi hari-hari mendatang. Adik, nanti jangan lupa sambut puasa di kampung! kata-kata ini sering aku ingati. Tapi dulu. Kini aku tidak lagi menyambut puasa di kampung setelah ketiadaan mereka. Rumah tua yang ada aku sewakan. Biarpun dengan harga yang rendah, tapi aku puas, kerana sekurang-kurangnya ada orang yang melihat-lihat rumah itu. Untuk ke rumah akkak aku semakin janggal. Rumah yang dahulunya kayu kini telah bertukar batu. Anak-anaknya telah berjaya dan mampu membina mahligai buat ibunya. Alhamdulillah. Aku bangga dengan mereka. Meskipun ayah merek...