MALU DALAM PANTUN MELAYU
Assalamualaikum.
Kita lihat dahulu pantun ini;
Mati benalu di dahan kayu,
Patah kayu menimpa keladi;
Mati Melayu kerana malu,
Kalah Melayu kerana budi.
Pantun
ini memberikan kita dua hal utama yang menjadi pantang iaitu "Malu" dan "Mati". Melayu lebih rela mati daripada
menanggung malu dan Melayu juga kalah dengan budi.
Malu dalam pantun di atas merujuk
kepada istilah “rasa malu”. Istilah-istilah Melayu yang merujuk kepada pekara
ini termasuklah, “berasa aib”, “rasa segan” dan juga “segan silu”. Orang yang
menunjukkan perasaan malu, akan diperikan sebagai “malu-malu” dan
“takut-takut”.
kata orang tua-tua;
“kalau
malu sudah hilang, hidupnya sama dengan binatang”
“kalau
malu berbuat ibadat, dunia akhirat hidup sesat”
“Kalau
malu bekerja, hidup pun sengsara”
“Kalau
malu beramal, alamat mati tidak berbekal.”
Secara umumnya, malu
merupakan perasaan rendah diri ataupun berasa segan silu terhadap kekurangan
yang ada pada diri sendiri apabila dibandingkan dengan orang lain. Kekurangan
ini boleh diertikan sebagai kebodohan, kejahilan, tidak sertimpal, tidak
seperti, mahupun tidak setaraf. Individu yang mengalami perasaan begini
selalunya menganggap dirinya lebih kecil dan hina daripada orang lain yang
dianggapnya mempunyai serba kelebihan pula.
Malu merupakan sesuatu
yang berpunca. Berdasarkan puncanya malu boleh dibahagikan kepada tiga jenis
seperti di bawah:
§ malu-malu bahasa
§ segan
§ aib
Malu-malu bahasa merujuk kepada perasaan malu yang berpunca
daripada perasaan hormat. Perasaan malu-malu bahasa timbul
apabila seseorang itu berhadapan dengan orang yang dihormati. Perasaan malu ini
agak serdeharna dan tidak sampai boleh menyakiti hati seseorang.
Segan merujuk kepada perasaan malu yang timbul daripada
perbuatan janggal. Perasaan segan timbul, apabila seseorang tidak biasa
melakukan perkerjaan tertentu sehingga timbul keadaan yang janggal.
Biasanya ia timbul apabila seseorang “baru” dalam pekerjaan tertentu. Misalnya
seseorang akan berasa segan untuk bertutur kepada orang yang tidak dikenali,
lebih-lebih lagi jika beliau jarang untuk berbuat demikian. Perasaan segan
walupun tidak menyenagkan hati seseorang tetapi tidaklah ia sampai menyakit
hati.
Aib merujuk
kepada perasaan malu yang berpunca daripada perbuatan yang jahat.
Perasaan aib merupakan malu yang kuat. Biasanya ia timbul apabila seseorang
menyedari dirinya telah melakukan dosa dan perbuatannya itu telah terbongkar
dan diketahui umum. Perasaan aib ini sangat berkait dengan penghinaan. Orang
yang berasa aib mungkin akan melakukan tindakan yang estrim seperti membunuh
diri. Ini yang kita dengar dalam pantun tadi;
Mati benalu di dahan kayu,
Patah kayu menimpa keladi;
Mati Melayu kerana malu,
Kalah Melayu kerana budi.
Malu Sebagai Tanda Harga Diri
Dari segi kehidupan
bermasyarakat, perasaan malu itu berkaitan dengan maruah, harga diri dan air
mukanya seseorang. Orang yang beroleh malu bermaksud bahawa maruah, harga diri
dan air mukanya telah tercemar. Dalam keadaan ini, kedudukan sosialnya telah
terjejas dan menjadi rendah. Lebih teruk lagi kalau dia mendapat tekanan sosial
atau masyarakat setempat. Sebab itu ada ingatan dan larangan telah diberikan
melalui pantun dalam masyarakat melayu ini;
Adat
Melayu memegang janji,
Memegang
sumpah mati pun mahu;
Sifat
Melayu pantang mengeji,
Pantang
memfitnah memberi malu.
Malu dianggap sebagai tanda harga diri kerana dikatakan seseorang itu dapat merasai maruah dan harga dirinya apabila beliau mempunyai perasaan malu.
Ungkapan Melayu ada mengatakan;
Apa
tanda Melayu bermaruah,
Malu
hidup bermewah-mewah,
Malu
menolong meminta upah,
Malu
makan minta sedekah,
Malu
duduk pada yang tidak semenggah,
Malu
berdiri pada yang salah.
Sehubungan itu, malu
merupakan sesuatu yang sihat bagi orang yang bermaruah kerana perasaan ini
sebenarnya dapat mendorong seseorang untuk menjaga maruah dan harga diri.
Bagi mereka yang tidak mempunyai
perasaan malu, mereka lazimnya dianggap orang yang tidak tahu
harga diri. Pemerian untuk mereka ini ialah “Tidak tahu malu” dan “muka tebal”.
Orang yang tidak tahu malu biasanya merupakan kejian orang ramai dalam
masyarakat Melayu.
Seperti dalam pantun ;
Apa
guna membeli parang,
Kalau
tidak ada berhulu;
Apa
guna menjadi orang,
Kalau
tidak beraib malu.
Kata tua kata berilmu
Ilmu dunia serta akhirat;
Hina bangsa tiada bermalu,
Malu punah tibalah laknat.
Perasaan malu sebagaimana yang dikaitkan dengan maruah, dan harga diri amat penting dipupuk kepada anggota-anggota masyarakat. Dengan memberi kesedaran mengenai perasaan malu yang ada pada diri seseorang itu boleh menjadi penghalang atau benteng yang penting bagi anggota masyarakat agar tidak melakukan sesuatu yang dianggap menyeleweng. Dalam hal ini malu boleh dikaitkan dengan fungsi kawalan sosial seperti apa yang akan dibincangkan di bawah:
Malu Sebagai Fungsi Kawalan Sosial
Masyarakat Melayu menyedari bahawa malu merupakan
satu fungsi kawalan sosial dengan adanya perpatah yang berbunyi:
Kerana malu tahu menilai batas
Malu merupakan satu perasaan negatif yang timbul
daripada kesedaran diri seseorang mengenai perlakuan yang tidak senonoh.
Sehubungan itu, seseorang akan mengelakan diri daripada perlakuan yang buruk bagi
mengelakkan diri daripada beroleh malu. Dari segi ini, malu sememangnya boleh
mengawal tingkah laku seseorang dan dengan itu memainkan fungsi kawalan sosial.
Dalam masyarakat
Melayu seseorang itu bukan sahaja akan menanggung malu daripada perbuatannya
sendiri malah akan menanggung malu daripada perbuatan ahli keluarganya. Masyarakat
Melayu yang hidup secara berkeluarga juga menguatkan lagi fungsi malu sebagai
kawalan sosial. Ini adalah kerana keluaraga Melayu yang mempunyai perasaan
kekitaan terhadap keluarganya sendiri dan juga kerana masyarakat Melayu
menganggap bahawa seseorang itu terikat kepada keluarganya. Misalnya, seorang
anak akan menyebabkan ibu bapa mereka malu sekiranya ia telah melakukan sesuatu
yang jahat seperti mencuri. Dalam peribahasa Melayu, tindakan anak ini
diperikan sebagai “menconteng arang di muka ibu bapa”.
Bagi mengelakkan diri mereka menanggung malu seseorang itu akan cuba mengawal ahli keluarga mereka supaya tidak melakukan perbuatan yang buruk. Di sini, sekali lagi kita boleh lihat bahawa malu telah memainkan satu fungsi kawalan sosial. Dalam hal ini nasihat telah diberikan;
Contohnya[1]:
Buah
rumbia dimakan ketitir,
Dibawa
orang dari hulu;
Barang
kerja hendak difikir,
Supaya
jangan mendapat malu.
Pantun Melayu lama di atas telah menasihatkan orang ramai supaya mengingatkan perasaan malu supaya mereka berkelakuan baik. Di sini kita boleh lihat bahawa adanya satu kesedaran mengenai malu sebagai satu fungsi kawalan sosial dalam masyarkat Melayu.
Namun; di sisi lain, orang melayu berpantang malu dalam hal-hal yang
baik, seperti menuntut ilmu, malu untuk mengakui
kesalahan dan kebodohan sendiri, malu berterus terang, malu
bertanggungjawab,dan lain-lain.
Kesimpulan
Malu, satu emosi yang negatif bagi orang
keseorangan. Tetapi ia merupakan aspek yang positif dalam kehidupan
bermasyarakat, kerana perasaan malu dapat mengawal orang keseorangan supaya
tidak menyeleweng daripada norma masyarakat dan sekaligus dapat membentuk satu
suasana sosial yang lebih harmoni. Oleh itu sikap “tahu malu” seharusnya
dipupuk dalam masyarakat kita.
Apa tanda kuncup mengembang,
Diseri kumbang ada madunya;
Apa tanda hidup terbilang,
Pandai menimbang dengan
malunya.
Apa tanda kembang bermadu,
Lebah datang kumbang pun tiba;
Apa tanda orang bermalu,
Tuah dipegang malu dipelihara.
Pucuk pinang dikerat layu,
Buahnya masak dimakan puteri;
Elok orang mengingat malu,
Sebarang kerja tahukan diri.
Buluh betung tumbuh di hulu,
Sesudah dikerat dibuat galah;
Sungguh beruntung menjaga
malu,
Faedahnya banyak membawa
berakah.
Sekian
dulu buat kali ini.
Terima kasih cikgu.
ReplyDelete