WANITA DAN BUNGA

Wanita dan bunga ini seolah-olah satu hal yang tidak dapat dipisahkan.  Kalau kita menyebut tentang wanita,  kita tidak dapat lari daripada perbandingannya iaitu bunga.  Asal ada gadis adalah bunga, dan asal ada bunga, itulah wanita.  Kedua-duanya memainkan peranan yang amat penting.  Tapi kenapa bunga tidak dipadankan dengan lelaki.  Kita amat jarang, malah tidak pernah mendengar bunga di analogikan untuk lelaki, melainkan benda lain seperti nama binatang contohya kumbang, harimau, buaya dan lain-lain.    Ini sukar di cari sebabnya.  Mungkin orang dahulu melihat wanita yang lebih sukakan bunga, sama ada berguna untuk mandi “mandi bunga”, untuk diletakkan di dalam rumah sebagai alat pewangi, atau juga untuk hiasan peribadi di sanggul kepala atau juga untuk dunia perubatan. Kelembutan dan keunikan sekuntum bunga itu amat berseni dan hanya yang tahu sahaja yang mampu menilainya.
          Dari segi sifatnya bunga adalah sesuatu yang menyegarkan.  dari kumcup kemudian berkembang, mengharum dan menampilkan kelopaknya yang pelbagai warna.  Begitu juga keperluan berpasangan dalam kehidupan.  Kumbang dan bunga boleh diibaratkan seperti isi dengan kuku.  banyak analogi dan penelitian yang mengikat antara kumbang dan bunga.  Apatah lagi dengan manis madu yang dikeluarkan oleh bunga, pastinga akan menarik perhatian unggas lain yang seumpama dengan kumbang.  
           Kalau kita letakkan kuntum-kuntum bunga dalam rumah pun kita akan rasa lain , nyaman dan tenang.  Tapi dalam kebanyakan pantun, terutama kasih sayang, “bunga” banyak ditujukan kepada gadis.  Yang ini tidak boleh kita nafikan.  Seri dan harum yang sentiasa menyerlah.
Sebenarnya banyak peranan yang dimainkan oleh bunga ini, seperti sifatnya yang cantik, indah, harum, kuncup, mekar, wangi, dan begitulah juga banyaknya peranan kaum wanita dalam kehidupan.  Peranan ibu kita pun tak terkira dan tak ternilai banyaknya.
          Begitu juga dalam pantun, banyak peranan bunga yang dimaksudkan kepada wantia ini.  Kita dengar pantun-pantun lama ini;

Kapal belayar dari Jeddah,
Hendak menuju ke negeri China;
Siang malam hati gundah,
Hendak memetik setangkai bunga.

Banyak kita lihat  bunga ini di kaitkan dengan kaum hawa, terutamanya dalam pantun yang bertemakan kasih sayang.  Kalau yang berkaitan dengan frasa “stangkai bunga”, kita secara automatik dapat mengagak atau faham bahawa bunga  yang dinyatakan itu ialah gadis, atau perawan yang cantik dan menawan, yang belum bersuami.  Sebab nak petik bunga dalam taman atau bunga di pokok, ini diibaratkan bunga yang ada penjaganya, dan bunga ini pastinya bunga yang sedang kembang atau bunga yang mekar.  Tak ada orang nak petik bunga layu.  Sebab kalau bunga layu, usahkan orang, kumbang pun tak hinggap.  Seperti pantun ini;

Zaman berperang raja berma,
        Peluru sampai di pucuk kayu;
Seekor kumbang menyeri bunga,
        Kumbang terbang bunga pun layu.

           Pantun ini memberi pengetian bahawa kumbang hanya berminat pada bunga yang sedang kembang sahaja.  Kenapa dan mengapa? Pertanyaan ini adalah suatu yang lumrah..  Tapi yang kita tahu, bila kumbang dah pergi, atau dah tinggalkan bunga tersebut, maknanya bunga itu sudah habis madunya, kembangnya dan akan layu lalu terkulai ke bumi.

Kalau tentang perasaan lain, bunga juga boleh menjadi penyebabnya.  Seperti pantun;

Memutih ombak di rantau,
      Petang dan pagi tidak bersela;
Memutih bunga di pulau,
      Setangkai sahaja yang digila.


Anak cina pulang ke cina,
      Anak jambi pulang ke jambi;
Hati hamba hiba merana,
      Belum dapat bunga yang wangi.


Ini, tentang perasaan kasih sayang yang tak mungkin berubah.  Begitulah, kalau kita dah kasihkan pada seseorang, biar apa pun orang lain kata, kita tetap akan kasihkan dia seorang sahaja, sahaja, sebab penanggungan rasa kasih ini maha tinggi nilainya bagi seseorang.

Begitu juga tentang konsep kesempurnaan yang digambarkan pada seseorang wanita.  Cuba kita dengar pantun ini;

Bukit gebuk gunung melintang,
      Nampak dari pulau persagi;
Adik duduk sanggul terlintang,
      Bagai bunga kembang pagi.

“Bunga kembang pagi” merupakan satu simbol yang cukup sempurna bagi seorang wanita sebab wanita pada masa dahulu, fizikalnya mempunyai rambut panjang dan sanggul merupakan satu penampilan seorang wanita yang sopan dan ingin kelihatan menawan.  Wanita sebegini dikatakan seorang wanita yang sempurna rupa parasnya sama sempurnanya seperti “bunga kembang pagi”.  Kelopak yang belum tanggal, kemilau dengan titisan embun yang masih melekat pada kelopaknya dan kesempurnaan ini susah nak kita gambarkan.

Begitu juga tentang hubungan kasih antara teruna dara, antara suami isteri atau antara mana-mana pasangan kekasih pun.  Wanita dan bunga ini seolah satu kewajipan yang digunakan sebagai lambang dan simbol. Cuba kita lihat pantun ini;
Kalau tuan pergi ke laut,
       Carikan saya ketam betina;
Kalau tuan menjadi rambut,
       Saya menjadi bunga cina.

Kalau tuan pergi ke laut,
       Carikan saya ketam bertelur;
Kalau tuan menjadi rambut,
       Saya menjadi bunga telur.


“kalau tuan menjadi rambut, hamba menjadi bunga cina”, “kalau tuan menjadi rambut, hamba menjadi bunga melur”.  Bunga dan rambut digambarkan sesuatu yang amat sempurna bila bergabung.  Bunga melur cantik bila di ikat pada sanggul.  Bunga cina juga berwarna putih dan wangi, cuma besar sedikit daripada bunga melur.  Saya tidak jumpa lagi gadis yang letak bunga kemboja pada sanggul.  Lagi pun saya tidak jumpa pantun “kalau tuan menjadi rambut, saya menjadi bunga kemboja”.  Tapi bunga-bunga lain, banyak.

Baik, dalam menghidu wangi bunga ini, kadang-kadang keasyikan yang menyentap sanubari membolehkan kita berperasaan atau membayangkan lebih dari sepatutnya.  Baik cuba kita lihat pantun ini;

Kalau tuan pergi ke Changi,
      Sampai ke rumah ayam berkokok;
Dapat sekuntum bunga yang wangi,
      Rasa nak lurut sampai ke pokok.


“yang dapat hanya sekuntum bunga wangi, tapi rasa nak lurut sampai ke pokok”  Betapa perasaan yang teramat itu telah membuatkan tindakan seseorang melebihi daripada yang sepatutnya.  Nasib baik tidak disebut sampai menggali akar.  Ini sebenarnya mempunyai makna yang amat dalam. 

Guruh di barat berdentum-dentum,
      Payung dikembang hari pun hujan;
Kalau tak dapat bunga sekuntum,
      Biarlah kumbang mati beragan.



Pergi menjerat di tengah belukar,
       Dapat pula si anak rusa;
Sudah dapat bunga yang mekar,
       Hamba dikata racun berbisa.


       Kalau kita teliti pantun-pantun yang saya perturunkan tadi, didapati bahawa bunga memang dikaitkan dengan wanita atau gadis.  Tapi apa yang ingin saya nyatakan bahawa ia bukan sahaja menyatakan tentang rupa paras, tetapi sebenarnya ia telah meletakkan status bunga yakni wanita atau gadis pada satu tahap yang tinggi.  Kesempurnaan hidup seorang lelaki tidak akan terjelma tanpa wanita.  Jadi pagi ini, walau siapapun, pengorbanan seorang wanita itu perlu dihargai, terutamanya ibu dan bapa kita (bagi yang masih mempunyai ibu).
Ungkapan melayu;
Adat duduk dengan ibu bapa,
Elokkan laku bertegur sapa,
Baikkan budi luruskan sangka,
Lembutkan lidah maniskan muka,
Duduk bertanya minta petua,
Taati suruh dengan larangnya,
Patuhi tunjuk dengan ajarnya,
Teladani sifat  contoh budinya.

Bila hidup dengan derhaka,
Lambat laun badan celaka.


Comments

Popular posts from this blog

MALU DALAM PANTUN MELAYU

KEINDAHAN BAHASA DALAM PANTUN