PANTUN
JENAKA
Apa yang dimaksudkan dengan
jenaka ialah tentang kata-kata yang menggelikan hati, atau perihal tentang berbuat
sesuatu perlakuan untuk membuat orang ketawa.
Dalam dunia pantun, pemantun boleh melakukan kedua-duanya, yakni boleh
mengeluarkan kata sambil membuat aksi untuk memberikan orang ketawa. Paling tidak pun boleh diistilahkan dengan
senyum sumbing. (yang ini, mungkin
melibatkan orang yang keras hati atau hati kering)
Kalaulah
belalang pulang ke purun,
Padikan ranap dilanggar ular;
Kalau hilang orang berpantun,
Sunyi senyaplah bandar yang besar.
Ini bermakna, pantun memainkan peranan yang
penting dalam menghidupkan suasana yang ceria dalam masyarakat melayu. Apatah lagi dengan pantun yang berbentuk
jenaka ini. Yang kebanyakannya lahir
dalam majlis-majlis keramaian. Sebab
itu, beragamnya pantun ini (jenaka, sinis, kasih sayang, nasihat, agama seperti
yang telah kita bincang dulu) mampu dikekalkan hingga ke hari ini. “Tukang pantun” yang handal akan mendapat
penghormatan dalam masyarakat. Apatah lagi, pantun ini sebenarnya boleh dicipta
sesuai dengan situasi semasa.
Baik,
dalam pantun kelakar ini, dahulunya dipanggil pantun gurau senda. Kelakar ini selalunya berisi dengan sindiran
yang tajam dan dalam maknanya.
Kadang-kadang ia juga dipanggil pantun sindir-menyindir. Namun ia bukan sebarang kelakar. Saya pun tidak berani nak mengatakan sesebuah
pantun itu kelakar atau tidak, kerana ia bergantung peda persepsi seseorang,
tetapi mengikut kajian, memang ada pantun-pantun yang diklasifikasikan sebagai
pantun kelakar atau pantun gurau senda ini.
Contoh pernyataan tentang pantun kelakar:
Kalau
terbakar pohon besar,
Ributlah kera lari menengkis;
Kalau mendengar pantun kelakar,
Mulut tertawa hati menangis.
“Mulut tertawa hati menangis”, memang tepat
dengan apa yang dimaksudkan dengan pantun eklakar atau pantun sindir-menyindir
ini. Yang mendengar berasa lucu
tetapi yang terkena berasa pedih. Sebab peribahasa Melayu pun mengatakan “siapa
yang makan cili, dialah yang berasa pedas”.
Itu sebab di katakan mulut
tertawa hati menangis.
Sebab
itu pantun kelakar atau di Indonesia disebut “pantun terselubung” ini
memerlukan pemahaman yang amat mendalam untuk di tafsirkan isinya. Baik kita lihat contoh pantun ini.
Anak tikur merayap
dinding,
Dikejar musang
terlonjak-lonjak;
Awak kurus cakap
melenting,
Ditampar orang
terberak-berak.
Anak buntal
terkapai-kapai,
Dibawa pasang hanyut ke
laut;
Awak bebal
memandai-mandai,
Ditanya orang
terkentut-kentut.
Dua pantun ini memang ditujukan kepada orang
yang suka bercakap besar, atau orang yang suka temberang. Boleh juga ditujukan kepada orang yang
mempunyai ilmu yang sedikit tetapi menunjuk-nunjuk pandai, tapi bila ada orang
yang cuba menguji, dah takut dan tak tahu nak buat apa-apa.
Pantun lain yang boleh kita lihat ialah tentang
menyindir orang yang gemuk dan berperut buncit.
Cuba kita lihat pantun ini;
Anak beruk bermain
tempurung,
Kena pangkung kepala
pun pening;
Awak gemuk berkain sarung,
Disangka orang betina
bunting.
(peril orang gemuk)
Pantun ini pula berkaitan dengan alam rumah
tangga.
Hendak menggulai
belanga sompak,
Masak dimangkuk tertawa
orang;
Awak bercerai gilakan
talak,
Hendak rujuk mentua
garang.
Kerana jaring ditahan
ungka,
Banyak siamang tak
dapat rezeki;
Banyak bersaing dengan
yang tua,
Banyaklah bujang tak
dapat bini.
Sudahlah kera pergi
melancong,
Ulat pun serta membawa
pisang;
Sudahlah tua bergigi
rompong,
Melihat betina
bertambah miang.
Dilanggar rebut disenja
kala,
Resak tumbang padi
tercabut;
Mendengar kentut Datuk
Panglima,
Banyaklah orang mati
terkejut.
Pantun ini bagi orang yang yang ingin
berkahwin.
Kalau mulut tidak
bergigi,
Usah lagi membeli
petai;
Kalau kentut di muka
kadhi,
Nikah tak jadi saksi
terkulai.
Memang banyak pantun-pantun kelakar yang boleh
kita temui dalam masyarakat Melayu. Kalau kita teliti pantun-pantun yang saya berikan tadi, memang bunyinya
kelakar “kalau kentut di muka kadhi, nikah tak jadi saksi terkulai” tapi penuh
dengan sindiran. Bagi yang bakal menjadi
pangantin baharu, elok mereka dengar pantun ini, bagi yang lelaki laa, sebab
dia yang akan berjabat salam dengan tuan kadhi.
Namun,
sebenarnya bukan isu kelakar itu yang diutamakan. Apa yang boleh kita ambil ialah tentang mesej
atau adab dalam melaksanakan atau adab dalam majlis. Kentut, dalam budaya melayu merupakan satu
kelakuan yang amat kurang sopan. Boleh
mendatangkan malu bukan sahaja pada yang empunya diri tetapi juga kepada ahli
keluarga dan juga bakal keluarga.
Silap-silap, satu kampung akan bercerita tentang pengantin yang kentut
depan kadhi.
Dalam
aspek lain, kalau kita mahu menganalisis pantun-pantun kelakar ini, kita akan
dapati ia juga kurang menitikberatkan soal logik. Kalau kita tahu,
hukum logik dalam pantun memang penting dan logik ini bersambung pula dengan
hal pertautan antara baris.
Contoh;
buah
cempedak di luar pagar,
ambil
galah tolong jolokkan.
atau,
kalau
berburu ke padang datar,
dapat
rusa berbelang kaki.
Atau
pisang emas di bawa belayar,
Masak
sebiji di atas peti.
Kalau kita bandingkan dengan pantun kelakar;
Sudahlah kera pergi
melancong,
Ulat pun serta membawa
pisang;
Sudahlah
tua bergigi rompong,
Melihat
betina bertambah miang.
Sekali dengar, kita memang tarasa tentang
betapa tidak logiknya dua baris pembayang “kera pergi melancong; ulat bawa
pisang”. Tapi inilah sebenarnya yang
boleh membentuk unsur humor atau unsur jenaka
dalam pantun. Bak kata orang tua-tua
“mendengar pantun kelakar, dah tertawa baru tersedar”.
Begitu
juga dengan penggunaan bahasanya.
Terdapat sedikit kasar berbanding dengan pantun-pantun yang berbentuk
kasih sayang dan sebagainya. Perkataan
seperti kentut, berak, romping, betina, bini dan lain-lain. Ini mungkin untuk disesuaikan dengan maksud
dan peranan pantun untuk menimbulkan bentuk kelakar atau humor. Kalau bahasa yang terlalu melankolik, tentunya kita tidak akan bertemu dengan unsur-unsur yang dikatakan kelakar tadi.
Walaupun
banyak pantun kelakar, tapi dalam kehidupan Melayu, kelakar ini masih juga ada had
dan tahap pengunaan kata-katanya kerana inilah yang menggambarkan kehebatan Melayu
itu.
Bak kata orang tua-tua;
Pantang bercakap tidak
beradab,
Pantang berkata tidak
semenggah,
Pantang berbual tidak
berakal.
Walau disebut pantun
kelakar,
Tersalah sebut jadi
bertengkar.
Walau disebut pantun
nasihat,
Salah sampai jadi
mudarat.
Apabila menyanyi pantun
menyalah,
Tuah lari aib terdedah.
Inilah
kebijakan orang Melayu yang tidak ada pada bangsa lain.
Itu
sahaja untuk hari ini; Akhir kata;
Mengapa basah batang
rumbia,
Hujan turun tidak
beragak;
Bila salah terhutanglah
saya,
Mohonlah ampun
banyak-banyak.
Dengan
itu “dekatilah pantun, di situ banyak ilmu tersusun”
Jumpa
lagi;
Gunakanlah
bahasa kebangsaan kita dengan betul;
Kita
betulkan yang biasa dan biasakan yang betul.
Assalamualaikum.
Comments
Post a Comment