Perkongsian Ilmu
BIODATA
ABSTRAK
KEBIJAKAN EMOSI: YANG BAHARI DAN YANG BAHARU
DALAM PANTUN
Pengenalan
BIODATA
Zalila Sharif telah menerima Ijazah Sarjana Sastera daripada Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1997. Beliau mula bertugas dengan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1977 sebagai Editor Buku Dewasa. Pada tahun 1996, beliau dilantik sebagai Ketua Bahagian Kesusasteraan Tradisional. Kini, beliau ialah Ketua Bahagian Kesusasteraan Bandingan. Beliau juga ialah editor Jurnal Tenggara (Journal of South-east Asian Literature) dan jurnal Malay Literature.
Kebijakan Emosi : Yang Bahari dan Baharu dalam Pantun Setiap masyarakat yang telah mencapai tamadun yang tinggi memperlihatkan identiti mereka sendiri yang ditunjangi oleh sejarah, budaya dan seni mereka. Pantun merupakan satu komponen yang menunjangi pemerkasaan bangsa Melayu. Kertas kerja ini akan meneliti pantun dari segi kebijakan emosi masyarakat Melayu iaitu kebolehan mengenali diri, pengendalian emosi, motivasi, empati dan kemahiran sosial.
KEBIJAKAN EMOSI: YANG BAHARI DAN YANG BAHARU
DALAM PANTUN
Pengenalan
Setiap masyarakat ingin dikenali melalui identiti mereka sendiri. Masyarakat yang telah mencapai tamadun yang tinggi sudah memperlihat identiti mereka sendiri, khususnya apabila dibandingkan dengan tamadun yang lain. Di samping itu pemikiran baru dan perubahan alam sekeliling telah menukar kedudukan sesuatu tamadun. Setiap tamadun yang berdaya maju dan sedia berubah mengikut kemajuan akan kekal dan begitulah pula sebaliknya. Namun tamadun Melayu zaman gemilang masih kekal dalam beberapa aspek tertentu kerana sifatnya yang dinamik. Usaha untuk mengekalkan perlu dibuat secara berterusan bagi mempertahankan dirinya dari pengaruh Barat yang berkembang luas yang begitu banyak menghakis identiti bangsa. Pembentukan identiti ini ditunjangi oleh sejarah, budaya, dan seni yang dilalui oleh masyarakat itu. Masyarakat Melayu tidak terkecuali dalam hal ini. A. Aziz Deraman, tokoh budayawan menegaskan pentingnya pembinaan jati diri bagi masyarakat
Malaysia:
Persoalan identiti menjadi amat penting bagi sebuah negara, apalagi negara membangun atau negara yang baru terlepas daripada belenggu penjajahan. Di negara kita, membina dan memupuk keperibadian kebangsaan adalah antara matlamat utama Kebudayaan Kebangsaan. Matlamatnya yang lain ialah ke arah mengukuhkan perpaduan bangsa Malaysia dan menyemai jiwa kemanusian dan kerohanian. (A. Aziz Deraman: 2000: 4)
Identiti bangsa ini wujud dari sumber yang berakar umbi dalam bangsa itu sendiri. Terdapat tiga bidang sumber panduan pembinaan jati diri iaitu sains, falsafah dan agama dan setiap satunya membuktikan bahawa fungsinya yang boleh memandu kemanusiaan ke arah matlamat hidup. (Muhammad Fazl-ur-rahman Ansari 2001: 35).
Ketiga-tiga perkara ini tidak akan dapat dilihat secara terpisah jauh antara satu sama lain. Dalam kertas kerja ini pantun akan dilihat sebagai tunjangan kepada pembentukan identiti bangsa melalui pembinaan kekuatan dalam diri ahli masyarakatnya. Berdasarkan pemahaman yang dibuat oleh Muhammad ini menunjukkan bahawa pantun itu tidak tersisih dari pengertian falsafah dan sains. Menurut Muhammad sains adalah pengamat (observer), objek yang diamati ( the observed) dan suasana ketika objek itu diperhatikan. Maka pantun menepati kategori ini jika dilihat dari segi pembayang, maksud, dan keseluruhan pantun itu sendiri sebagai hasil pengamatan terhadap alam dan kehidupan. Dan dapatan ini didokong oleh sifat empirisisme yang merupakan salah satu ciri falsafah, yang menegaskan bahawa sumber mendapatkan mengetahuan ialah sense-experience.
Sehubungan ini pantun dapat dilihat sebagai hasil pengamatan yang pasti bagi masyarakat kita iaitu berbeza dengan hasil pengamatan yang lain yang berbeza-beza seperti yang dilihat dari kaca mata myopik. Disebabkan oleh sifatnya yang pasti inilah maka pantun memiliki kekuatan dan fungsinya yang pelbagai dalam masyarakat Melayu. Kajian ini akan memperlihatkan fungsi pantun dari segi membina kebijakan emosi dalam masyarakat Melayu. Kebijakan emosi ini akan dilihat dari lima aspek iaitu kebolehan mengenali diri, pengendalian diri, motivasi, empati dan kemahiran sosial. Namun kelima-lima aspek ini akan diadun dalam dua tajuk utama iaitu mengendalikan perhubungan dan mengawal emosi.
Kebijakan emosi
Teori kebijakan emosi ini telah dikemukakan oleh Peter Salavory dan John Mayer, ahli psikologi Barat. Teori ini telah diperlengkap dan diubahsuai oleh pengikut yang lain. Antaranya ialah Daniel Goleman. Beliau mendefinisikan kebijakan emosi sebagai kemampuan untuk memotivasi diri secara berterusan ketika berlaku kekecewaan, mengawal tekanan dan melewatkan kesan berpuas hati; mengawal perasaan seseorang dan memastikan perasaan sedih atau dukacita tidak terkumpul sehingga mengganggu daya berfikir; untuk empati dan mempunyai atau menaruh harapan (Daniel Goleman, 1997:36). Menurut beliau lagi mereka yang mempunyai kemahiran emosi yang tinggi akan berpuas hati dan berkesan dalam mengendalikan kehidupannya, membiasakan
kelaziman minda ke arah menjadi produktif. Dalam buku keduanya Goleman memberi definisi kebijakan emosi yang lebih mudah untuk difahami; iaitu “ kebolehan untuk mengenali dan menerima perasaan sendiri dan perasaan orang lain, untuk memotivasi diri sendiri, dan mengendalikan emosi dengan sempurna dalam diri sendiri dan dalam perhubungan (Daniel Goleman, 1998: 375). Ringkasnya lima aspek penting yang disentuh secara keseluruhan ialah:
• Kobolehan untuk mengenali diri dan menerima perasaan sendiri ialah menyedari perasaan sendiri pada masa tertentu, dan menggunakan pilihan tersebut untuk memandu membuat keputusan; mempunyai penilaian yang realistik tentang kemampuan kita sendiri dan berlandaskan keyakinan diri.
• Pengendalian diri ialah pengaturan emosi kita supaya berfungsi memudahkan bukannya mengganggu keputusan atau tindakan yang akan diambil; jangan cepat berpuas hati bagi mencapai matlamat; kembali pulih daripada kemurungan atau dukacita.
• Motivasi ialah menggunakan pilihan yang telah diteliti untuk mencapai matlamat; membantu kita mengambil initiatif dan bersedia untuk berubah; dan tahan diuji dengan pelbagai dugaan.
• Empati iaitu dapat mengesan dan mengenalpasti perasaan orang lain, dapat melihat perspektif mereka; dan dapat menyesuaikan dengan pelbagai sifat manusia.
• Kemahiran sosial ialah mengendalikan emosi dengan baik dalam perhubungan dan dapat membaca situasi dan rangkaian sosial dengan tepat; mewujudkan perhubungan dengan licin; menggunakan kemahiran ini untuk memujuk dan memimpin, berbincang dan mendapatkan kerjasama.
Apabila seorang itu dapat mengawal perasaannya, dia tidak membiarkan dirinya dikawal oleh perasaannya sehingga hilang arah tuju dan tidak mampu mencari jalan keluar apabila dilanda oleh perasaan tertentu. Akhirnya seseorang itu mempunyai motivasi untuk mengubah perasaannya lalu menyaring apa yang akan diterimanya dan yang akan dinyatakannya. Menurut beliau lagi apabila emosi didiamkan maka wujud kemuraman dan keterpinggiran; apabila tidak dapat dikawal, terlalu ekstrim dan persisten maka akan terjadi patologi, penyakit emosi atau penyakit yang disebabkan oleh emosi.
Mengendalikan Perhubungan
Budi merupakan satu aspek yang amat penting dalam pantun Melayu. Bilangan pantun budi terlalu banyak sehingga membolehkan dikelompokkan pantun yang membicarakan tentang budi. Dalam kumpulan pantun yang dikumpulkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, 12 peratus daripadanya adalah pantun budi, walaupun 50 peratus adalah pantun percintaan. Antara beberapa pantun budi yang lazim didengar ialah:
Anak haruan lima-lima,
Mati ditimpa punggur berdaun;
Budi tuan kami terima,
Jadi kenangan bertahun-tahun.
Ada padi ada beras,
Bertanak nasi periuk tembaga;
Ada budi adalah balas,
Orang berbudi kita berbahasa.
Akar keladi melilit selasih,
Selasih tumbuh di hujung taman;
Kalungan budi junjungan kasih,
Mesra kenangan sepanjang zaman.
Berdasarkan ketiga-tiga pantun di atas jelas bahawa budi merupakan satu unsur yang amat penting dalam hubungan manusia. Kerana budi manusia mengenang orang lain sama ada dia masih hidup maupun telah meninggal dunia, kerana budi manusia saling memberi atau bersalingan dalam hubungan, dan kerana budi juga manusia berkasih-kasihan. Kesemuanya ini melibatkan dua pihak yang empunya diri dan pihak kedua yang menerima sehingga wujudnya perhubungan manusia. Manusia yang berbudi adalah manusia yang mengenal dirinya, mengenal orang lain sehingga boleh menjalinkan perhubungan antara manusia. Dalam Undang-undang Minangkabau dinyatakan tentang budiman iaitu “adapun arati budiman itu jika orang berkata kepadanya maka fikirlah ia menjawab kata orang itu dan merendahkan diri ia menjawab kata orang itu ….” (Umar Junus: 1997:181)
Kekuatan budi sebagai penjalin hubungan manusia dapat dilihat dalam pantun
berikut:
Ayam hutan terbang ke hutan,
Tali tersangkut pagar duri;
Adik bukan saudara bukan,
Hati tersangkut kerana budi.
Anak negeri mencari tuba,
Tuba dicari di Tanjung jati;
Di dalam Hati tidak ‘kan lupa,
Bagai rambut bersimpul mati.
Malahan masyarakat Melayu memperlihatkan dalam pantunnya betapa besarnya peranan pantun bagi survival seseorang itu dan kelansungan hidupnya. Manusia boleh hidup dalam sesuatu masyarakat walaupun masyarakat itu asing daripadanya, iaitu masyarakat yang baru:
Kalau berladang menanam keladi,
Keladi dibawa ke tanah seberang;
Kalau dagang pandai berbudi,
Sampai mati dikenang orang.
Dari Barunai ke Patani,
Itu Daerah tanah Malah;
Jika pandai berbudi,
Dalam air badan tak basah.
Dalam perhubungan, budi dan bahasa adalah dua unsur yang tidak dapat dipisahkan, orang berbudi adalah orang berbahasa. Dalam pantun berikut pula kita dapat dilihat bagaimana manusia memandang budi.
Ada kerusi ada meja,
Itulah tempat membasuh kaki;
Ada budi ada bahasa,
Itulah tempat ditaruh hati.
Makan sirih berpinang tidak,
Pinang ada di bawah tangga;
Makan sirih mengenyang tidak,
Tanda budi dengan bahasa.
Buah rambai dalam peti,
Lazat cita pula rasanya;
Pandai sungguh mengambil hati.
Serta dengah budi bahasanya.
Dalam perhubungan, usaha mengenang yang baik, apa yang telah dilakukan, sumbangan yang telah diberikan adalah perkara yang mengekalkan perhubungan. Kenangan ini berkekalan iaitu sehingga “bertahun-tahun”, “ seribu tahun” dan “ hancur badan tulang berkecai”. Hal ini dapat dilihat dalam pantun-pantun berikut:
Ambilkan saya buah delima,
Masak sebiji di balik daun;
Budi tuan saya terima,
Jadi kenangan bertahun-tahun.
Ayam rintik di pinggir hutan.
Nampak dari tepi telaga;
Nama yang baik jadi ingatan,
Seribu tahun dikenang juga.
Bandar Baru Seberang Perai,
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan tulang berkecai,
Budi yang baik dikenang juga.
Kalau berladang menanam keladi,
Keladi dibawa ke tanah seberang;
Kalau dagang pandai berbudi,
Sampai mati dikenang orang.
Bagaimana kalau tak ikat,
Kait dengan duri-durinya;
Bagaimana aku tak ingat,
Orang baik hati budinya.
Kepentingan budi lebih terserlah apabila dibandingkan budi dengan emas perak, harta dunia, paras wajah yang cantik, budi yang tidak boleh dijual beli. Ketidaksempurnaan seseoarang tanpa budi jelas melalui kata ‘apa guna’ dalam banyak pantun budi. Budi merupakan unsur yang perlu ada dalam diri seseorang. Budi bukannya sesuatu yang bersifat `material' malahan budi adalah sesuatu yang lahir dari dalam diri dan dari hati terpancar gerak geri, dan tindak tanduk. Budi yang lahir dari hati ini mengikut aturan penglahiran atau display rules. Budi yang lahir ini juga merupakan penglahiran emosi atau emotional display. Dalam pantun berikut jelas bahawa budi itu tiada bandingannya.
Burung serindit terbang melayang,
Mari hinggap di ranting mati;
Bukan ringgit dipandang orang,
Budi bahasa rangkaian hati.
Hari panas helang berlegar,
Ayam terkurung di dalam reban;
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi gunung terbeban.
Apa guna bunga raya,
Kerana tidak berbau wangi;
Apa guna rupa nan kaya,
Kalau perangai tidak berbudi.
Malahan masyarakat Melayu melihat budi secara lebih jauh lagi dan dalam konteks yang lebih luas. Budi membentuk peribadi, budi juga membentuk bangsa sebagaimana dapat dilihat dalam pantun berikut.
Kuat rumah kerana sandi,
Rusak sandi kerana binaso;
Kuat bangsa kerana budi,
Rusak budi hancurlah bangso.
Rosak kayu oleh bindalu,
Rosak rumah kerana tak bersendi;
Hilang rasa kerana tidak bermalu,
Hilang janji kerana tidak berbudi.
Bunga melati bunga di darat,
Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi.
Tegak rumah kerana sendi,
Runtuh sendi rumah binasda;
Sendi bangsa ialah budi,
Runtuh budi runtuhlah bangsa.
Berdasarkan beberapa contoh pantun di atas pengertian budi amat luas sekali, begitu juga dengan fungsinya dalam kehidupan. Budi menjadi teras dalam perhubungan. Antaranya budi digambarkan sebagai perasaan baik, prasangka baik, bersedia membantu, bijak berkomunikasi, mahir mengendalikan perhubungan, mengetahui apa yang kurang sesuai, kebolehan menyesuaikan diri dan sebagainya. Semuanya menuju ke arah sosialisasi, komunikasi dan penyesuaian yang berteraskan pengendalian perasaan sendiri dan perasaan orang lain. Budi merupakan satu unsur penting bagi seseorang sebagaimana dinyatakan, iaitu “adat yang berakal, bahawasanya pekerjaan dunia itu atas dualapan perkara. Suatu akal, kedua ilmu, ketiga cerdik, keempat cendekia, kelima `arif, keenam budiman, ketujuh jauhari, kedualapan bijaksana” (Umar Junus: 1997:181).
Mengendalikan Emosi
Pantun merpertajam, memperhalus, dan mencanai perasaan bagi melahirkan yang bangsa mengendalikan perasaan mereka: Dengan bentuknya yang padat serta kemas, pantun sering menjadi pilihan kerana keistimewaannya menggambarkan kehalusan serta keperihatinan masyarakat Melayu terhadap alam dan ruang lingkup budayanya. Ruang lingkup budaya Melayu bukan sekadar berkisar dalam diri seperti cinta, kecewa, rindu, marah dan benci, malah mencakupi soal-soal yang lebih besar yang erat hubungannya dengan kemasyarakatan dan psikologi – sikap menjunjung tingi nilai budi dan hubungan kekeluargaan yang mencerminkan peribadi dan sifat terpuji orang-orang Melayu. (DBP, 1997: ix). Pesanan, nasihat, sindiran yang terdapat dalam pantun merupakan usaha untuk menghindarkan lahirnya manusia alexithymia, manusia yang hidup kekurangan atau lemah perasaan. Kekuatan pantun jelas sebagaimana dalam petikan berikut:
Masyarakat yang ingin dijelaskan melalui pantun ini ialah:
Bangsa Melayu itu adalah bersifat ikhlas, lemah lembut, lunak,
berperibadi baik. Sebahagian ciri-ciri khas mereka itu, ialah
bahawa tidak terlihat di negeri mereka dan lainnya peminta
walaupun keadaan mereka sendiri sangat miskin. Mereka
memiliki kehormatan yang baik, menguasai perbaikan
pertukangan, menerima tentang modenisasi teknologi, mereka
memperoleh pendidikan dan ilmu pengetahuan. (Hj. Wan
Mohd. Shaghir, 1992: 54).
Masyarakat Melayu turut menegaskan bahawa kesan kata yang dilafazkan jika tidak berhati-hati akan membawa kesan yang amat buruk kepada pihak yang terlibat. Kesan
ini dapat dilihat dalam pantun berikut:
Jangan tuan menebang kempas,
Pohon durian berbunga lagi;
Jangan tuan bercakap terlepas
Takut kemudian berguna lagi.
Anak itik jangan direjam,
Kalau direjam lemaslah dia;
Keris pedang tiada tajam,
Tajam lagi mulut manusia.
Kepentingan `kata’ dari segi dari mana terbitnya dalam kehidupan harian ini turut dijelaskan dalam Undang-undang Minangkabau:
Adapun tempat keluar kata itu tiga perkara. Suatu kata yang keluar daripada hampadu, iaitu kata yang pacah picit. Kedua kata yang keluar daripada jantung iaitu kata marah. Ketiga kata yang keluar daripada banak, iaitu kata yang lemahlembut lagi benar karena banak itu dijadikan Allah akan tempat `akal karena `akal itu pengenal zahir batin, mudarat dan manfaat. (Umar Junus, 1997: 172). Di samping pantun di atas terdapat banyak lagi pantun yang merupakan kawalan diri dari pelbagai perasaan sama ada secara langsung mau pun yang berbentuk nasihat atau memujuk diri supaya melihat aspek yang positif dalam hidup. Contohnya pantun berikut:
Air surut ikan geramai,
Sudah dapat ikan tenggiri,
Masa hidup kita berdamai,
Mati nanti seorang diri.
Secara ringkasnya dapatlah dikatakan bahawa salah satu perasaan yang dapat kita kawal ialah marah. Mengikut pepatah Melayu “marah menghilangkan akal pelita yang terang iaitu akal yang benar”. Satu lagi cara yang digunakan dalam pantun untuk mengawal diri ialah dengan menggunakan kata ‘beradat’. Hidup ini perlu ada peraturan yang perlu dihormati.
Anak India membawa madat,
Dari Kedah langsung ke Bali;
Hidup manusia biar beradat,
Bahasa tidak berjual beli.
Keduduk dalam kuali,
Uratnya dari Melaka;
Duduk kita dalam negeri,
Selok membilang adat pusaka.
Ketika kita mengawal diri satu lagi yang dipesan dalam pantun ialah sifat jangan mementing diri sehingga tidak memperduli orang lain. Sifat tidak mementing diri ini banyak terdapat dalam pantun Melayu, antaranya ialah:
Anak kodok tepi perigi,
Buah rambai dalam baldi;
Biar buruk rupa diri,
Asalkan pandai mengambil hati.
Pengendalian emosi atau kawalan perasaan turut menjadi isi pantun, seperti jangan cemas, tenteram dan sebagainya sebagaimana dalam pantun berikut:
Apa guna berpakaian batik,
Kalau bajunya bercorak hitam;
Apa guna berwajah cantik,
Kalau hatinya tidak tenteram.
Diramas batang limpaung,
Telatak di dalam rokit;
Jangan rimas dipahit maung,
Pahit maung ubat penyakit.
Masyarakat Melayu melalui pantun meletakkan manusia di tempat sewajarnya dan mengingatkan kita supaya mengukur baju di badan sendiri, jangan menduga laut yang dalam jika kail panjang sejengkal. Namun yang penting ialah mengenal diri kita dan kemampuan kita.
Anak tenggiri nak selam abai,
Ludah-ludah dalam perahu;
Langit tinggi jangan dicapai,
Bumi rendah tengok dahulu.
Kayu besar kayu penaga,
Kayu besar dahannya runduk;
Kalu besar jangan melanda,
Kalau kecil jangan menunduk.
Salah satu kegagalan kita mengendalikan perasaan kita apabila kita ikutkan hati. Hal ini merosakkan diri dan menyusahkan orang lain. Hal ini berlaku apabila kita membenarkan sesuatu peristiwa itu mengawal diri.
Sayang ke darat air dah surut,
Rumah sebesar menyingkil air;
Hati melarat jangan diturut,
Jangan memotong dengan takdir.
Sisirlah sisir rambut panang,
Lepas disisir disolek bunga;
Fikirlah fikir sepanjang panang,
Datang hujan tidak berguna.
Terang bulan terang gemerlang,
Tupai mengusik bunga durian;
Sebarang perbuatan habiskan fikir,
Tidak menyesal hari kemudian.
Dalam suasana kita berasa sudah mencukupi apa yang ada sehingga rasa riak timbul, dan ketika itu kita akan mengatakan kita tidak memerlukan orang lain, atau bantuan dan sebagainya, sedangkan apabila suasana berubah apa yang kita pernah tidah perlukan atau tinggalkan itu diperlukan semula.
Air surut memungut bayam,
Sayur diisi dalam kantung;
Jangan diikut resmi ayam,
Bertelur sebiji riuh sekampung.
Anak merbah terlompat-lompat,
Anak indung ketitran;
Yang dilelah tidak dapat,
Yang dikendong berciciran.
Ikan sepat ikan puyu,
Ikan haruan putih dada;
Siapa cepat siapa dalu,
Orang kemudian putih mata.
Rumusan
Walaupun kertas kerja ini hanya menyentuh dua aspek kecil mengendalikan perhubungan dan mengendalikan emosi melalui kebijakan emosi berdasarkan pemikiran orang Melayu sendiri, dapatlah dikatakan bahawa pembentukan diri, akal dan penyesuaian dalam sesuatu kelompok masyarakat iaitu datangnya dari diri kita sendiri. Budi adalah teras kepada kedua-dua aspek yang berkaitan ini dalam mengendalikan perhubungan dan mengendalikan emosi. Pantun banyak mengandungi asas pembinaan akal budi masyarakat pengamalnya. Jika kita bijak melayani emosi kita maka bijaklah kita bertindak. Semuanya ini menggambarkan tertib akal kita sebagaimana dinyatakan dalam pepatah Melayu iaitu tertib akal itu mendahulukan segala yang tinggi, menghubung segala yang pendek, melembut segala yang keras, mengendur segala yang tegang, merapat segala yang renggang, menjinak segala yang liar dan memenuhi segala yang luak.
Rujukan
A. Aziz Deraman, 1920. Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Malaysia (Edisi Kedua) Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Daniel Goleman, 1997. Emotional Intelligence, New York: Bantam Books.
Daniel Goleman, 1998. Working with Emotional Intelligence. New Rork: Bantam Book.
Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990. Kurik Kundi Merah Saga, Kumpulan Pantun Lisan
Melayu. Kuala Lumpur.
Muhammad Faz-ur-Rahman Ansari, 2001. The Qur’anic Foundation of Medium Society,
Vol. 1. Kuala Lumpur: Islamic Book Trust.
Umur Junus, 1997. Undang-undang Minangkabau, Wacana Intelektual dan Warna
Ideologi. Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia.
Comments
Post a Comment