NOSTALGIA PUASA
Aku bukanlah tergolong dalam kelompok orang yang alim. Aku cuma hanya anak yang dibesarkan oleh kedua orang tua yang serba sederhana. kalau dalam istilah sekarang , ialah orang miskin. Tapi aku bangga. Meskipun hidup miskin tapi kami tidka pernah kebuluran. Ini keran aayah seorang yang amat rajin berusaha. Apa sahaja pekerjaan yang dilakukan oleh orang kampung, dia tetap akan melakukannya.
Tidak kiralah bulan puasa pun, dia tetap akan membanting tulang untuk mencari sesuap nasi menyara keluarga. Makan tidak pernah putus. Kalau lauk juga tidak pernah putus kerana kami tinggal di tepi sungai yang amat jernih dan banyak ikan. Kalau mahu ikan, pancing sahaja di sungai. Atau kalau malas tahan saja 'temila' di celah-celah longgokan sampah. Cari daun kayu sedahan dua lepas itu, letakkan di atas temila tersebut atar tidak terkena matahari. Insya-Allah ikan untuk dibuat lauk hari itu akan selesai masalahnya.
Itulah resam yang kami lakukan untuk membesar. Pekerjaan ini paling seronok aku lakukan kalau bulan puasa. Maklum kalau bulan puasa cuaca di kampung teramat panas. Dalam usia kanak-kanak mana mungkin aku mampu bertahan kalau sehari suntuk bermain. Sebab itu aku suka bermain di sungai kerana sambil main aku juga dapat merasa kesejukan air sungai Merapoh itu. Sungai yang mengalir dari kawasan hulu entah dari mana dan menyusur ke dalam kampung hinggalah ke tepi rumah kami yang berada agak jauh dari punca air tersebut. Namun aku tisak pernah mengira air itu datang dari mana. Kuasa Allah. Ketika itu, tidak pernah aku fikirkan apakah perlunya air berkenaan.
"Adik, naik!" begitu sesekali aku mendengar suara ibu menjerit memanggil agar aku berhanti bermain di sungai. Biasanya aku tidak mengendahkan arahan itu. Apatah lagi kalau suara yang kudengar itu sayup-sayup di telinga. Kawan-kawan sememangnya mengeluarkan suara yang membingitkan kalau bermain di sungai. Meskipun sebenarnya aku tidak mempunyai ramai kawan, tapi aku tidak pernah menyesal. Jarak rumah-rumah di kampung aku terlalu jauh, bayangkan kalau satu tapak rumah berkeluasan lima ekar. Itu belum masuk kawasan atau tanah yang tidak diduduki. Seingat aku, akau hanya mempunyai sekitar 3-4 orang kawan sahaja yang hampir sebaya. Yang rapat dengan aku seperti Mat Zain, Azit, Hamdan. Yang lain hanya bertemu sesekali. Barang kali kerana rumah kami juga antara yang paling dekat berjiran. Kini kawan-kawanku semuanya telah membawa diri masing-masing.
Kalau bulan puasa, inilah kawan-kawan yang sering bermain denganku. Mereka jugalah yag biasanya menemani aku ke kedai. (sebenarnya aku takut kalau pergi sendirian). Jarak rumah dengan kedai pula agak jauh dan kalau di ukur sekitar 3-4 kilometer. Apatah lagi laluannya pula di celah-celah semak dan belukar. Kalau bulan puasa aku biasanya ditugaskan membeli air batu tongkol di kedai. Jarak yang jauh ini membuatkan aku jarang membelinya. Air batu tongkol ini hanganya cuma hanya 20 sen. tapi menjaganya sehingga berbuka agak penat kerana jika tidak di bubuh serbuk kayu yang digergaji, ia akan cepat mencair. Alamat tengok sajalah hari itu.
Paling aku malas ialah mencari serbuk kayu. Biasanya sebelum pergi membeli air batu, aku telah menyediakan serbuk kayu dan dibungkus dalam surat khabar. Ini bermakna di kedai, aku tidak perlu tercari-cari serbuk kayu. Jika tidak ada, aku kenalah menggergaji kau-kayu yang ada untuk mendapat habuk berkenaan.
Kalau semakin hampir dengan hari raya, aku semakin hampir dengan debaran. Apakah tahun itu aku akan mendapat baju baharu. Ini kerana aku biasanya akan dibelikan baju sekolah yang berwarna putih sebagai baju raya. Cuma seingat aku, aku pernah dibelikan baju kuning berlengan panjang. Tahun itu aku berasa satu tahun yang amat riang dalam hidup. Tidak dapat aku gambarkan bila mendapat baju berkenaan. Dapat atau tidak aku tidak pernah merungut. Apa yang ku tahu, pada pagi hari raya aku banyak menghabiskan masa dari satu kubur ke satu kubur menadah tangan dan habuannya dapatlah 10 sen atau 20 sen. Duit itulah nanti akan aku belikan minuman atau sedikit mercun.
Bila mengenangkan peristiwa lalu, aku menjadi seorang insan yang amat lemah dan sunyi. Kini aku menjadi rindu kepada suara kedua orang tua. Aku menjadi rindu kepada leteran emak. Aku rindu pada senyuman ayah. Kalau aku bermain dan terseliuh, ibulah yag paling banyak mengeluarkan marahnya. Ayah cuma senyum dan senyum. Aku sendiri tidak pasti kenapa ayah senyum. Tapi bila telah menjadi bapa, barulah aku tahu bahawa sememangnya orang lelaki tidak banyak mengeluarkan kata-kata. Cuma sesekali bila aku terlalu rindu, aku akan pulang ke kampung menjengah pusara mereka. Di sanalah aku berbicara seorang diri dengan ayah, dengan ibu. Meskipun mereka tidak menjawab segala bicaraku, tapi aku tahu mereka mendengar.
Rumah peninggalan mereka yang kini menjadi milikku, tidak aku lupa untuk menjenguknya. Kini rumah itu didiami oleh sepasang guru yang mengajar di kampung dan aku hanya dapat melihat dari luar sahaja. Di hadapan rumah ini tumbuh sepohon rambutan yang sentiasa lebat berbuah. Di bawahnya aku dan ayah akan mengacau dodol. Kadang-kadang sehari suntuk dan walaupun telah berusia belasan tahun, aku tetap berkali-kali akan merendam atau menyiramkan badan. Manakala ayah ku lihat hanya senyum dan tekun mengacau dodol. Emak sibuk dengan kuih loyangnya di dapur. Kekuatan dan kesabaran ayah masih aku kagumi hingga kini.
Comments
Post a Comment