PANTUN MANTERA


Pada masa saya kecil dahulu, saya memang biasa dengan sistem pengubatan tradisional. Ini adalah disebabkan kampung saya jauh di pedalaman Pahang.  Jadi kalau ada sakit demam, maka panggil sahaja bomoh, dah tentu kita akan dengar banyak mentara yang di lafazkan.  Begitu juga kalau nak tengok permainan wayang kulit, dah tentu kita akan dengan tok dalang akan baca mantera.  Dalam wayang kulit ada mantera keselamatan pemain, ada mantera memanggil penonton dan mantera meniup serunai dna berbagai-bagai lagi.
Salah satu bentuk yang ingin saya ceritakan di sini ialah tentang pantun yang berbentuk mantera.  Dalam kaedah perbomohan yang selalu saya dengar semasa saya di alam aknak-kanak ialah bentuk persembahan yang berbentuk nyanyian, dan nyanyian ini memuatkan kata-kata yang berunsur pantun.  Ia dilagukan sambil bermain gendang dan tukang tari pula akan menari di sekeliling pesakit sambil turut membaca mantera yang boleh kita fahami.  
     Mantera ini, kalau mengikut kamus Dewan memberi maksud “kata atau ayat yg apabila diucapkan dapat menimbulkan kuasa ghaib (utk menyembuhkan penyakit dll.  Selalunya diucapkan semasa melakukan proses pengubatan.  Kebanyakannya dalam bentuk yang boleh dipanggil puisi, namun begitu terdapat banyak juga dalam bentuk pantun.  Terdapat pelbagai tujuan dalam mengamalkan mentera ini, walaupun dalam bentuk pantun sama ada berniat baik mahupun buruk.
          Secara praktikalnya pantun sudah digunakan beribu tahun dahulu dalam perubatan, sebagai mentera untuk mengubat penyakit fizikal dan juga sakit jiwa.

Kita dengar pantun mantera ini;

Ke dusun mengambil birah,
Birah dibawa ke rumah penghulu;
Kata hukum kitab Allah,
Pinang juga di mamah dahulu.

Ribu-ribu melintang jalan,
Anak buaya menyeberang tasik;
Walau beribu orang berjalan,
Aku seorang dipandang baik.

Kalau kita dengar pantun tadi, “kata hukum kitab Allah, pinang juga di mamah dahulu”.  Ini jelas kalau kita tengok kaedah perngubatan/ perbomohan dalam masyarakat Melayu.  Sebelum buat apa-apa biasanya dukun atau bomoh akan makan pinang atau sirih terlebih dahulu.  Sirih pinang ini boleh dikatakan sebagai alat utama dalam perbomohan.  Nak suruh orang pandang manis atau terpikat pada kita pun kena makan sirih.

Baik, kita dengar pantun mantera pemanis ini lagi;

Minyakku teroning-oning,
Digosok di kepala tangga;
Aku menyapu minyak dikening,
Untuk pemanis muka.


Minyakku situang-tuang,
Dituang dalam kuali;
Dudukku seperti mambang,
Tegakku seperti bidadari.


Bagi pantun pertama tadi, ia menggunakan pinang dan sireh, tetapi pantun di atas ini bagi yang menggunakan minyak.  Kena sapu di kening.  Tapi jangan buat-buat tanpa berguru, sebab takut nanti menjadi iseng.  Apa yang saya katakan ini hanyalah tentang pantun mantera yakni kata-kata yang dilafazkan oleh seseorang dalam jampi dalam bentuk pantun.  Bab mantera ini bukan boleh kita buat sembarangan, kena dapat tauliah dahulu baru boleh amalkan.  Tidak nanti kita sendiri yang susah.
          Ini perlu saya jelaskan kerana, sungguh pun pantun mantera ini kenang kita hafal dan amalkan, tapi bila dikatakan mantara, memang banyak pantang larang dan pra syarat yang perlu diikuti oleh pengamalnya.
        Kalau kita lihat, pantun mentara ini dari segi strukturnya terdapat sedikit perbezaan berbanding dengan pantun lazim yang lain.

Baik, kita dengar pantun ini;

Sebelah mana pohon senuju,
balik pokok batang setawar;
Bintang langit kena tuju,
Matahari turun minta penawar. (Mohd Taib Osman, 1975: 17)

 Batang penak batang pejam,
Ketiga dengan batang keladi;
Datang senak datang tajam,
Datang tawar tidak menjadi. (Abd Razak Hj. Mahmud, Jitra)

      Secara umum pantun tadi mempunyai persamaan dengan pantun empat kerat yang mana irama akhirnya a,b,a,b.    Kedua-duanya membayangkan usaha untuk menawarkan sakit.  Perhatikan maksud untuk pantun pertama;

Sebelah mana pohon senuju,
balik pokok batang setawar;
Bintang langit kena tuju
Matahari turun minta penawar.

“Minta penawar” , dan ia diungkapkan secara umum sahaja.  Penawar apa kita pun tak jelas.  Tapi kalau kita dengan maksud untuk pantun kedua ini;

Batang penak batang pejam,
Ketiga dengan batang keladi;
Datang senak datang tajam,
Datang tawar tidak menjadi.

Berkaitan dengan penawar juga, juga kita boleh lihat lebih khusus dengan adanya perkataan ‘senak’, dan ‘tajam’.  Sebab kedua-dua perkataan ini lebih gunakan untuk sakit bahagian perut. Seperti yang selalu kita dengan “senak perut”.  Pantun tadi lebih memberikan nilai magik kerana bila dibaca kepada orang yang sedang sakit perut, ia boleh ditujukan khusus kepada penyakit yang dimaksudkan.  Ungkapan “datang tawar tidak menjadi” merupakan satu singkatakn kata-kata sebenarnya dalam hati penutur yang bermaksud “apabila datang petawar, maka senak dan tajam (sakit yang menyucuk-nyucuk) pun tak menjadi/hilang”
          Kalau kita lihat aspek bahasa dalam pantun mantera ini, kebanyakannya ia agak sukar untuk kita terjemahkan, kerana banyak bahasa yang kita tidak faham.  Yang faham hanya penutur atau pengamalnya sahaja. 

         Kita lihat contoh pantun mantera dalam mentera Tuju Kura yang dikatakan dalam bantuk pantun.

Besi pani besi begwa
Mari pacak tengah laman
Mati seni matilah kura
Mati terpacak di ibu tangan.

         Ini untuk mengubati penyakit kura.  Biasanya mantera ini dibaca sambil meletakkan ibu jari tangan di tempat-tempat tertentu pada badan pesakit.  Seolah-olah ibu jari tangan itu sebagai pusat penyembuh, pengumpul penyakit dan ia juga seolah sesuatu yang amat hebat.
         Kalau kita lihat perkataan ‘pani’, ‘begawa’, mati seni’ mungkin mempunyai maksud tertentu, tetapi secara harafiahnya, ia tidak dapat dipastikan maknanya. 
Pantun mantera ini bukan sahaja digunakan oleh orang Melayu di Tanah Melayu, tetapi juga digunakan oleh kebanyakan orang di kepulauan Melayu. Kalau di Indoensia, pantun mantera ini disebut “pantun Monto”.
Para “JURAGAN” atau bomoh/pawang mengambil madu lebah di pohon sialang (banyak di Riau, Palembang).  Memang tempat kesukaan lebah bersarang.  Kalau di tempat kita biasanya pokok tualang. 

Contoh;
Pisang seraya-raya buah
Masak diperam dengan belimbing;
Kayu raja sialang bertuah,
Rakyat menghadap sekeliling.

Duduklah duduk paku ditebang,
Bomban muda di bawah batang;
Tunduklah engkau hantu sialang,
Juragan muda baru datang.

Raja suleman melambung tongkat,
Diberi kain bersulam tali;
Bukalah tunam tiga pengikat,
Kami bermain mala mini.

Burung cercap terbang ke laman,
Terbang mengulang-ngulang pintu;
Menyampailah ucap raja Suleman,
Menyapu lebah penunggu pintu.

...dan seterusnya.  Pantun mentera mengambil lebah di pohon sialang ini sebenarnya merupakan satu rangkaian rangkap yang panjang.  Kalangan nelayan di tengah laut menyanyikan sejenis pantun yang diberi nama Hutare. pantun ini juga digunakan sebagai satu eleman mantera untuk memanggil ikan.  Laut tempat berkumandang sajak berbalas-balasan.  Pukulan tifa (gendang satu kulit) ukuran kecil senantiasa ada di atas perahu.
            Mingkin kini kita sudah tidak mendengar lagi pantun-pantun mantera ini, kecuali melalui pembacaan.  Ini kerana fungsinya sudah tidak banyak digunakan dalam masyarakat Melayu, namun bukan bermakna mantera begini telah hilang, kerana masih ada pengamalnya.  Penggunaan perkataan yang menampakkan magik ini adalah kerana mentara ini sebagai alat komunakisi antara manusia dengan kuasa yang luar biasa yang tidak boleh dilihat dengan nyata.  Sama ada digunakan untuk tujuan baik mahupun buruk, itu terserahlah pada pengamalnya.  Apa yang kita perkatakan ialah, kegunaan pantun dan bentuk pantun itu pelbagai.
  
Inilah kehebatan pantun yang tidak disedari oleh kita. 
Jadi, dekatilah pantun, kerana di dalamnya penuh makna yang tersusun. Penuh ilmu yang terhimpun. 


MOHD JUSOH MAJID
Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran
Dewan Bahasa dan Pustaka.








Comments

Popular posts from this blog

MALU DALAM PANTUN MELAYU

KEINDAHAN BAHASA DALAM PANTUN