
(Gambar Hiasan)
MAIN PUTERI
Main Puteri
merupakan satu permainan ritual dan simbolis terhadap sesuatu. Tidak lain hanya untuk memberikan semangat dan membantu memulihkan semangat orang yang memerlukan. Tidak diketahui mana yang dahulu dan mana
yang kemudian. Yang ada di Kelantan
dipercayai di mulakan semasa pemerintahan kerajaan Jembal yang terletak di
sebelah timur Kelantan.
Ia dimainkan oleh
Putera/Pantera Gegani Hawa yang berahi atau gila kepada Puteri Sekuntum
Bunga. Puteri Sekuntum Bunga ini ialah
anak kepada Tok Raja Ketek, yang bersemayam di Tasik Gedombak. Puteri Sekuntum Bunga ini mempunyai
adik-beradik yang bergelar Hulubalang Sekuntum Bida dan Hulubalang Sikera
Putih. Permainan ini dimulakan semasa
kerajaan Jembal yang mana bertujuanuntuk mengubat luka hati Puteri Jembal.
Secara umumnya Permainan Puteri ini dikaitkan dengan menyambung pada yang
patah, membaik pada yang retak atau dengan istilah lain ‘to welding’ jasmani
dan rohani pesakit. Semua kepercayaan
ini berkait rapat dengan animisme atau kepercayaan keagamaan hindu. Kewujudan main Puteri ini dilihat lebih awal
daripada kedatangan Islam ke Tanah Melayu tetapi ia popular dan sering diadakan
semasa pemerintahan kerajaan Jembal sekitar abad ke-17 dan ke-18. Permainan ini menjadi amat popular dan serasi
dengan masyarakat Kelantan selepas perang dunia ke-2.
Dalam setiap permanian Puteri ini akan ada dua watak utamanya iaitu Tok
Puteri dan Tok Minduk. Tok Puteri dan
menjalankan urusan berkaitan dengan pesakit manakala Tok Minduk akan berurusan
dengan Tok Puteri di samping memainkan muzik rebab bersama-sama dengan pemain
yang lain. Dalam satu-satu pasukan, terdapat sekurang-kurangnya 6 – 8 pemain
alat muzik seperti;
i.
Gendang ibu
ii.
Gendang anak
iii.
Serunai
iv.
Dua buah gong
v.
Canang
vi.
Kersik
vii.
Geduk
viii.
Gedombak
Dalam permainan
Puteri terdapat beberapa kaedah yang akan dimainkan oleh Tok Puteri dan Tok
Minduk antaranya;
i.
Kaedah Memujuk Angin
Kaedah ini bertujuan untuk membuka semangat
pesakit agar dapat berinteraksi dengan Tok Puteri. Is berkait dengan minat, salasilah, ilmu dan
sebagainya yang ada dalam diri pesakit.
Di samping itu, ia juga berkait dengan warisan, atau kepakaran atau
kehendak yang memang lahir dalam sanubari setiap insan/manusia. Ia bertujuan bagi mengubati seseorang
pesakit.
Istilah
“memujuk angin” ini perlu dibuat kerana jika “angin” atau semangat yang ada
dalam diri itu tersekat, maka hal inilah yang akan menyebabkan seseorang itu
jatuh sakit dan tidak bermaya. Ini akan
mendatangkan berbagai-bagai-bagai penyakit.
Permainan puteri ini juga berperanan sebagai "pelepas niat" seseorang,
jika seseorang itu berjanji akan bermain Puteri sekiranya dia sembuh daripada
penyakit, mendapat kejayaan dalam satu-satu pekerjaan atau sebagainya. Janji ini perlu dipenuhi oleh orang yang
berjanji tadi. Jika ‘niat’ ini tidak
dipenuhi, dipercayai seseorang yang berjanji itu akan mendapat atau
mendatangkan musibah kepadanya.
Selain itu, “main puteri” ini juga dibuat bertujuan untuk memuja bendang,
kampung, pokok besar, sungai, laut dan lain-lain dengan tujuan untuk
mendapatkan kemakmuran serta kesejahteraan bersama. Selepas Perang Dunia Ke-2, main puteri ini
telah dijadikan sebagai salah satu alat hiburan dengan penambahan-penambahan
yang sesuai yang dinamakan “Permainan Puteri Makyong”. Kaedah atau urutan permainan kelihatan hampir
sama namun tumpuan permainan lebih kepada adegan “Gerak angin”. Sajian untuk permainan ini juga disediakan.
Bagi tujuan pelepas niat, permainan ‘main puteri’ ini akan menjadi sedikit
besar dan biasanya ia akan berlangsung selama 3 – 7 malam. Permainan ‘membangkit angin’ ini perlu ada
kesesuaian atau keserasian antara Tok Puteri dengan pesakit. Hal ini amat dititikberatkan kerana
keserasian ini amat perlu. Biasanya
dalam satu-satu kumpulan akan ada beberapa orang lagi Tok Puteri atau
‘Pendamping’ yang mahir dalam bidang masing-masing.
Di Tumpat, Kelantan antara yang masyhur dalam permainan Puteri ini ialah
Encik Awang bin Senik yang berumur lebih dari 100 tahun. Kini Encik Omar (salah seorang anak muridnya)
membentuk satu kumpulan main Puteri di Tumpat.
Bagi sesiapa yang ingin mengetahui
tentang Main Puteri ini, maka seseorang itu perlu faham perkara asas dalam Main
Puteri. Dalam permainan Puteri ini
terdapat empat perkara asas iaitu;
i.
Puteri pada kulit
ii.
Puteri pada darah
iii.
Puteri pada urat, dan
iv.
Puteri pada tulang.
Main Puteri perlu memahami dan mencari empat
perkara asas iaitu;
i.
Tanah
ii.
Air
iii.
Api
iv.
Angin
Seseorang Tok Puteri
yang baik akan dapat dan boleh menangani pelbagai angin semasa proses
pengubatan. Manakala tempat bermain
terserah kepada keadaan, di mana-mana pun, main Puteri ini boleh dimainkan sama ada di rumah Tok
Puteri, dimainkan di rumah pesakit atau juga dimainkan di gelanggang yang di
bina khas di mana-mana tempat yang difikirkan perlu.
Permain Puteri biasanya akan
dimainkan di malam hari iaitu selepas waktu Isyak. Namun begitu ia tidak boleh dimainkan pada
malam Jumaat atau pun pada malam hari kebesaran Islam yang lain seperti malam
maulidur Rasul, malam hari raya dan sebagainya. Tempoh permainan akan
bergantung pada keadaan, iaitu bermula selepas Isyak hinggalah ke
dinihari. Ia bergantung pada keadaan
pesakit.
Permainan Puteri ini boleh dibuat di dalam rumah atau juga di panggung
(bangsal yang dibina khas untuk tujuan main Puteri). Panggung ini mestilah dibuat daripada buluh
yang ditebang khas dan atap yang digunakan mestilah atap nipah atau atap
rumbia. Pada tiga bahagian tepi panggung
akan diikat sebatang buluh iaitu di bahagian kiri, kanan dan belakang. Ia dinamakan sebagai “Bahu kiri, bahu kanan
dan belakang” Pantangnya buluh ini tidak
boleh dilangkah. Teknik ikatan tali juga
perlu sekata dan ikatan ini dinamakan “Naga belit”. Atap panggung pula dinamakan sebagai “Payung
Muhammad”. Pantang yang paling utama
ialah Panggung ini tidak boleh menggunakan kayu atau pun diikat kepada pohon
kayu ataupun juga menumpang pada pohon kayu.
Hal ini kerana jika dibuat demikian, maka proses pengubatan tidak akan
“menjadi” dan pesakit akan lambat sembuh.
Syarat untuk membina “Payung Muhammad” ialah, ia tidak boleh dibina
melintang matahari dan perlu dibuat secara membujur matahari. Hal ini kerana Tok Minduk akan duduk di
bahagian belakang yang menghadap matahari jatuh atau menghadap kiblat.
Persiapan untuk membuat panggung akan dibuat pada siang hari, termasuklah
mempersiapkan alat-alat perubatan dan juga makan minum. Makan minum ini termasuklah makan minum untuk
pasukan main Puteri dan juga sanak saudara yang hadir. Setelah panggung siap dibina, maka akan
diletakkan “lelangit” yang biasanya daripada kain lepas berwarna kuning ataupun
kain khas berwarna kuning. Lelangit ini
akan digantung di atas tempat duduk Tok Minduk dan Tok Puteri. Pada lelangit ini jugalah akan digantung
bahan-bahan yang diperlukan dengan membentuk “kebun bunga raja
berkerajaan”. Antara bahan yang perlu
ada pada lelangit ialah;
i.
Mayang pinang
ii.
Bunga cempaka putih
iii.
Bunga melur cina
iv.
Bunga kenanga
v.
Bunga cempaka merah
vi. Bunga melur
vii. Pisang lemak manis
viii. Tebu
ix.
Ketupat palas
x.
Kuih karas
xi. Geginang (ginang-ginang)
xii. Kuih kederang (bederang)
xiii. Duit Syiling 10 sen (jumlah ini bergantung
pada ajaran guru Tok Puteri) dan sirih pinang akan diletakkan di atas lelangit.
Bagi pihak pesakit,
barang-barang yang perlu mereka sediakan ialah;
i.
Sehelai kain pelikat
ii.
Dua (2) helai kain lepas
iii.
Sebidang tikar
iv.
Pinggan Guru
(yang terdiri
daripada pulut semangat, telur rebus, telur dadar, benang mentah, beras kunyit,
bertih, segelas air, sirih pinang (bertepak) dan duit pengeras untuk kegunaan
Tok Puteri dan Tok Minduk semasa permainan).
Jumlah duit pengeras
ini tidak sama untuk semua permainan puteri, kerana ia bergantung pada syarat
yang mereka letakkan – warisan dari guru)
v. Bekas yang berisi air dan bunga akan
diletakkan di hadapan Tok Minduk.
Biasanya diletakkan air di dalam batil, atau mangkuk yang agak besar dan
bekas ini dinamakan “kolam”. Ia
disediakan bersama-sama dengan pisang, minyak wangi dan mangkuk-mangkuk yang
berisi bara api, kemenyan, beras kunyit, bertih dan sebiji bantal.
Pada malam permainan, semua pemain dan pemuzik akan dijamu dengan makan malam yang disediakan oleh
pihak tuan rumah. Kemudian mereka akan
bersembahyang Isyak. Permainan akan
dibuat selepas selesai sembahyang Isyak.
Orang utama yang akan memainkan peranan dalam permainan ini ialah Tok
Minduk, Tok Puteri dan Panjak dengan dibantu oleh pemuzik yang berjumlah 6-8
orang.
Acara akan dimulakan dengan
“istiadat Pinggan Guru” di mana ketika ini segala ucapan berentak akan bersilih
ganti antara Tok Puteri dengan Tok Minduk.
Tujuannya ialah untuk memohon restu daripada Tok Guru dan segala yang
ghaib. Pinggan guru ini kemudiannya akan
digantung di atas kepala Tok Minduk.
Selepas ini baharulah dimulakan
dengan istiadat “Baca Kenduri” yang lebih dikenali sebagai buka panggung. Ia dimulakan dengan ucapan salam kepada
roh-roh ghaib, jin, serta segala jembalang di bumi, jembalang di kampung,
tasik, hutan mahupun gunung-ganang.
Permintaan ini dibuat agar segala permainan yang akan dimainkan tidak
diganggu. Semasa ini segala peralatan
permainan dan segala alat-alat bunyi-bunyian akan diperasapkan oleh Tok
Puteri. Namun acara baca kenduri ini
tidak dianggap wajib, kerana ia bergantung pada Tok Puteri dan juga bergantung
pada sebesar mana majlis yang akan dimainkan.
Namun begitu, memperasapkan alat
muzik dianggap penting kerana inginkan restu dalam rentak bunyi yang akan
dimainkan. Peranan alat muzik ini
penting kerana bunyi ini amat
mempengaruhi acara pengubatan. Bunyi
yang baik dan serasi dengan Tok Puteri amat penting, kerana keserasian akan
memberikan jiwa (feel) kepada Tok Puteri, dan keserasian ini akan membantu
pengubatan secara lebih cepat dan sempurna.
Acara Buka Panggung
Acara buka panggung
akan dimulakan dengan acara bertabuh dan acara bertabik. Dalam hal ini, Tok Puteri dan Tok Minduk akan
berinteraksi secara bersilih ganti dan membuat pengucapan secara berlagu. Semasa ini, ia juga akan diiringi oleh irama
rebab yang akan dimainkan oleh Tok Minduk.
Mereka memohon agar permainan dapat dilaksanakan dengan baik dan aman.
Selepas ini, Tok Puteri akan
menukarkan pakaiannya dengan menggunakan kain pelikat yang dibekalkan oleh
pihak pesakit. Kain pelikat itu akan
dipakai dan diikat dengan sehelai kain lepas.
Sehelai lagi kain akan diletakkan di atas bahu Tok Puteri sambil memberi
ucapan berentak bersama Tok Minduk.
Ketika ini Tok Minduk akan “memujuk angin” agar Tok Puteri mendapat jiwa
untuk memulakan acara “lupa”.
Sekurang-kurangnya Tok Puteri akan membuat 2 kali acara “lupa” ini dan
ketika lupa inilah beliau akan mengambil kain pelikat yang disibaikan di bahu
lalu diikat di dada dengan bukan ikatan mati dan hujungnya mestilah ke bawah
kedua-duanya.
Lupa pertama ini
dinamakan “Lupa Isih Raja”.
Lupa Isih Raja ini
bertujuan mendapat restu pihak lain untuk menyatakan permainan ataupun tujuan
permainan hendak di adakan.
Manakala “lupa”
kedua dinamakan “Lupa mengangkat Daulat”.
“Lupa” ini bertujuan untuk “memujuk angin” kepada semua
pihak agar permainan tidak diganggu ataupun agar semua yang ada sama-a da yang
nampak mahupun yang ghaib agar dapat membantu permainan biar selesai dengan
baik dan aman.
Lupa ketiga
dinamakan “Lupa Sahabat”
“Lupa” ini ditujukan
kepada pesakit di mana para sahabat, penggawa dan roh halus dipanggil bagi
membantu pengubatan. Ketika ini, Tok Puteri
akan memujuk pesakit supaya tidak marah/murih kepada permainan yang dibuat
sekiranya tidak kena dengan angin tertentu.
Adegan ini akan berlaku berulang-ulang kali, dan ini memberi maksud Tok
Puteri perlu mencari “angin” yang sesuai yang serasi dengan pesakit. Ia juga bermaksud Tok Puteri juga perlu
berhubung dengan segala jin, roh dam keramat dalam mendapat restu dan perkenan
berkaitan pesakit ini.
“Lupa” yang keempat
ialah “Lupa Menggerak Angin”
Kaedah lupa ini
ialah untuk mencari dan menggerakkan “angin” yang ada pada pesakit. “Angin” ini telah tersekat sekian lama dalam
tubuh pesakit dan jika tidak digerakkan maka akan berlaku lemah badan dan
timbullah bermacam-macam-macam penyakit.
Tok Minduk dan Tok Puteri akan membangkitkan angin dengan bantuan
pemuzik dan jampi mantera sehingga angin pesakit dapat ditemui. Jika kedua-dua Tok Puteri dan Tok Minduk
berjaya ”menyentuh angin” pesakit dan apabila pesakit telah menunjukkan reaksi
dengan melihatkan anggotanya mula bergetar, menangis ataupun berkelakuan aneh,
maka pada ketika inilah Tok Puteri dan Tok Minduk akan memberikan dorongan
sehingga angin pesakit itu dilepaskan hingga ke kemuncaknya ataupun hingga
pesakit itu berasa puas. Jika ini
berjaya dilakukan, maka harapan untuk pesakit sembuh adalah tinggi. Namun begitu jika “angin” ini tidak berjaya
dicungkil dan dikeluarkan, maka pesakit berkenaan tidak akan sembuh dengan
segera. Seseorang Tok Puteri dan Tok
Minduk perlu arif semua angin yang ada.
Jumlah “angin” yang ada dalam diri manusia berjumlah 199 semuanya.
Tok Puteri akan memulakan proses “membangkit angin” dengan membangkitkan
warisan pusaka pesakit, yang mungkin ada berkait rapat dengan ilmu silat,
permainan makyong, menora, bageh dan sebagainya. Jika proses “membangkit angin” ini lambat menemui
puncanya, maka itu ia akan dibuat antara tiga hingga tujuh malam. Untuk mempercepatkan keserasian ini, maka ada
Tok Puteri yang akan membuat upacara menilik, di mana bertih yang dipegang akan
diletakkan di atas bantal dan digandingkan dua-dua, pada unsur tanah, air, api
dan angin. Baki yang tinggal itulah
dikira untuk penyakit.
Pada kebanyakan Tok Puteri, mereka akan bermain dengan “angin hala tujuh”
yang mana ia berkait rapat dengan harimau jadian. Jika proses ini berjaya, maka Tok Puteri akan
memasuki cara baru iaitu “angin bidan tujuh”.
Kemudian akan dilanjutkan dengan “angin Dewan Tujuh” yang mana Tok
Puteri akan bermain dengan cerita/hikayat “Dewa Muda”.
Seseorang Tok Puteri perlu mahir atau tahu dalam semua permainan
tradisional atau tarian. Namun jika ada
keadaan yang memaksa, mereka akan menggunakan khidmat “pendamping” mengikut
kemahiran masing-masing. Jika pendamping
berjaya menggalakkan (memprovok) pesakit , maka pesakit akan bermain dengan
sepuas-puasnya dan “angin” pesakit akan terlerai dan pesakit akan kembali
seperti sedia kala.
Selepas itu barulah Tok Puteri akan menamatkan permainan dengan adegan
“penyenang angin”.
Bagi penyakit yang dikatakan berat, mungkin akan berlaku perjanjian antara
Tok Puteri dengan pihak alam ghaib. Manakala
permainan pula akan berlanjutan sehingga tujuh malam. Maka akan ada pula satu kenduri lain yang
dipanggil “Kenduri Semah Angin” dan juga penyediaan ancak. Ancak-ancak ini akan dibuat mengikut
permintaan pihak alam ghaib dan tempatnya juga ditentukan oleh pihak alam
ghaib. Antara tempat yang biasanya
dihantar ialah;
i.
Di bawah pokok besar
ii.
Busut jantan
iii.
Sungai
iv.
Laut
v.
Kawasan belukar yang terpencil.
Banyak atau sedikit
ancak, bergantung pada perjanjian antara Tok Puteri semasa proses
pengubatan. Biasanya sajian akan
diberikan kepada;
i.
Angin Hala Tujuh
ii.
Angin Dewa Tujuh, dan
iii.
Angin Bidan Tujuh.
Terdapat enam (6)
jenis ancak yang ada dalam proses penghantaran ini. Ini juga bergantung pada perjanjian yang
dibuat.
i.
Sangkak Kecil Penyangga Muda
ii.
Sangkak Agung Bertokok
iii.
Keping atau Ancak (dua buah)
-
Satu (1) diletakkan di atas tanah
-
Satu (1) lagi akan digantung dan ancak ini
dinamakan “Panca Ayun”.
iv.
Balai Tiang Seribu
- Diperbuat daripada pelepah satu bertingkat
yang mempunyai 16 atau 40 batang tiang.
v.
Tiang Candi Agung
vi.
Perahu.
Jika semuanya telah
disediakan, maka upacara menghantar juadah atau menghantar ancak akan
dilaksanakan dan biasanya acara ini akan dibuat pada waktu siang. Namun ada juga yang dibuat waktu malam.
Comments
Post a Comment