HARI RAYA

Hari Raya. Itu hari kebesaran bagi umat Islam. Aku juga menyambutnya. Walaupun sambutan ini tidaklah semeriah mana berbanding dengan masa kanak-kanak, namun hari raya tetap disambut juga. Aku hanya pulang ke kampung, berhari raya di rumah mentua. Ini kerana tidak ada sesiapa lagi di rumahku. Kedua orangtuaku telah pergi lapan tahun yang lalu. Kalau ada mereka, pastinya aku akan bersama-sama mereka, melayan kehendak yang semampu aku lakukan. Kekadang aku membawa mereka ke bandar Gua Musang, melihat-lihat kemeriahan hari-hari terakhir bulan puasa. Membeli sedikit juadah berbuka dan sebagainya. Kain pelikat dan Baju Melayu telah aku beli di Kuala Lumpur.
Itulah yang aku lakukan saban tahun sejak bekerja. Walau ke mana pergi pun untuk ibu, batik tetap kebelikan. Apabila dia telah tiada batik itu hanya kusimpan sehelai dua untuk kenangan. Aku tidak pernah mengharapkan rasa bangga, cuma secebis bakti ikhlas buat orang tua yang telah memberikan kehidupan kepada anak bongsunya ini. Apa yang ku harapkan ialah anak-anak mengerti bahawa bukan wang ringgit yang diharapkan, tapi kasih sayang dari mereka. Wang tidak memberikan apa-apa apabila seseorang itu telah merangkak tua. Untuk apa sebenarnya wang itu? Nilainya tidak sama dengan kasih sayang. Harganya tidak setimpal dengan pengorbanan. Indahnya tidak setara dengan hanya pengucapan.
Aku tahu, ibu dan ayah tidak pernah mengharapkan aku membelikan mereka perhiasan. Aku memang mengerti sebuah perasaan.
"Adik, balik ke raya ni?" Suara itu kedengaran hingga ke hari ini. Walau apa carapun aku tetap akan balik menemui mereka. Meskipun rumah yang mereka tinggalkan kini kosong dan sunyi, namun aku tetap akan balik. Membersihkan kawasan laman dan semak yang tumbuh di sekelilingnya. Berbaring di beranda seorang diri. Dan aku amat selesa bercakap seorang diri, seolah terasa mereka juga ada bersama. Ku lihat buah-buah dari pohon yang mereka tanam bergugus-gugus lebatnya. Tapi aku tidak mampu untuk makan semuanya. Mengharapkan jiran-jiran, mereka juga mempunyai pohon sendiri. Yang mampu aku lakukan hanyalah melihat buah-buah itu ranum dan gugur menimpa bumi.
"Cik nak buat apa tanam banyak-banyak pokok buah ni?" pernah aku bertanya ayah apabila sesekali pulang ke kampung.
"Bagi anak cucu makan" dengan selamba ayah menjawab. Bagi ayah kepentingan dan keuntungan bukan untuk diri sendiri. Dalam usia lebih enam puluh tahun ketika itu, sebanyak manakah beliau mampu memakan segala buah-buah yang ditanamnya. Selama mana lagikah beliau mampu untuk melihat segala usaha yang telah dilakukanya. Tapi itu semua tidak penting. Apa yang dia tahu ialah untuk kesenangan anak dan cucu-cucunya pada masa akan datang.
Inilah yang menjadi begitu nostalgik bagi aku. Pada hari lebaran yang masih terasa ini aku menjadi sayu setiap kali mengenangkan perkataan-perkatan yang keluar dari dua ulas bibirnya. Sesekali aku amat teringin untuk bersama mereka. Tapi apakan daya, mereka telah mendahului kerana itulah ketentuan Ilahi. Apa yang mampu aku lakukan ialah memohon doa di pusara mereka pada setiap kali menjelang hari raya. Ketika inilah akan ku paksa abangku yang untuk turut sama mengaminkan doa yang ku baca. Namun hanya abang dan anaknya. Kakakku tidak ada. Aku menjadi sedikit kecewa. Bukan aku tidak mahu mengajaknya, tapi mereka tidak pernah bertanya.
Inilah dia masa. Berubah tanpa dipinta. Begitu juga dengan hati dan rasa. Semakin lupa pada jasa kedua orang tua atau juga saudara-mara. Aku tidak pernah menyalahkan sesiapa. Mungkin mereka sibuk dan banyak kerja. Cuma aku mengingatkan diriku bahawa jasa kedua orang tua tidak akan aku lupa. Aku tidak akan ada kalau mereka juga tidak ada. Barangkali dunia sudah di akhir zaman. Anak menjadi semakin lupa. Ibu bapa menjadi semakin leka. Kalau dahulu aku sanggup untuk memunggahnya kerana pengangkutan yang tiada, tapi keni semua kemudahan itu telah tersedia, dengan anak-anak yang berjaya. Biarlah. Jangan aku juga menjadi leka. harap-harap aku tahu menjaganya.
Kali ini aku berhari raya dengan perasaan yang sunyi. Aku sendiri tidak tahu kenapa. Ke rumah kakak hanya sebentar. Abang pun sebentar. Selebihnya aku sendirian di rumah usang peninggalan orang tua. Mereka semua ada keluar sendiri. Meskipun aku juga punaya keluarga, tapi tak mungkin sama dengan bersama orang tua. Apatah lagi aku, anak bongsu mereka. Akulah yang paling lama bersama mereka, dan ketiadaan mereka menjadikan aku menjadi sayu dan hiba pada setiap kali menjelang hari raya.
Aku mula sedar, dengan umur yang telah menjangkau 47 tahun ini, aku telah menghampiri masa tua. Mungkin umur sebegini mengingatkan aku tentang kerisauan masa depan. Apakah yang berlaku dalam hari-hari tuaku. Dengan budaya kerja yang sibuk. Himpitan kehidupan yag semakin mendesak. Mampukah anak-anakku mengikuti jejak langkah yang telah ku lakukan. Akan menjengukkah anak-anak saudaraku semasa sakitku. Akan membantukah mereka dengan bacaan surah-surah yasin untuk sekali sekala, kerana aku tidak pernah mengharapkan harta benda dan hak mereka. Mampukah?
Sesekali mengenangkan hal ini, tanpa aku sedari air mata ini mengalir dan menitis tanpa dipinta. Sebak yang membungkal dan keegoan seorang lelaki tidak mampu aku pertahankan lagi. Ya Ilahi. Amat kerdilnya hambamu ini.
Barangkali inilah perasaan orang tua yang amat sensitif dan mudah terguris. Rasa yang tidak terluah. Sebak dan tangis ini air mata ini pernah menitis ketika ayahku sakit tenat. Berminggu-minggu aku mengambil cuti dikampung. Berdering-dering telefon berbunyi, panggilan daripada teman-teman pejabat yang bertanya tentang tugas yang perlu dilakukan. Ibu hanya membisu bila setiap kali aku selesai menjawab panggilan. Aku faham. Apa yang amat merisaukannya ialah kalau-kalau-kalau aku mengungkapkan perkataan ingin pulang ke Kuala Lumpur. Tapi aku tetap menjaga perasaan ibu. Perkataan itu tidak akan aku ucapkan selagi ayah tidak menunjukkan tanda-tanda untuk sembuh atau kembali sihat. Biarlah apa pun yang berlaku. Ayah adalah tanggungku sebagai anak. Orang lain hanya datang dan pergi. tanggungjawab anak tetap hakiki.
Sesekali aku ingin mengajak seluruh keluargaku (yang hanya tiga keluarga ini) untuk berkampung di suatu tempat. Ingin ku luahkan hasrat untuk menyatukan hati-hati mereka. Tapi aku tidak berdaya. Hasrat ini hanya terpendam dalam hati. Ingin sekali aku mengajak mereka seluruhnya berjemaah sekeluarga. Mengaminkan doa. Bertahlil kepada ke dua orang tua. Tapi siapalah aku. Ilmu tidak seberapa. Harta pun tiada.
Ya Allah. Ampunilah aku dan permudahkanlah aku dalam segala urusanmu.

Comments

Popular posts from this blog

MALU DALAM PANTUN MELAYU

KEINDAHAN BAHASA DALAM PANTUN