FALSAFAH DAN PEMIKIRAN MELAYU DALAM SYAIR MADHI
Kita bercerita
sedikit tentang falsafah dan pemikiran Melayu dan syair kali ini saya ambil
SYAIR MADHI. Cuma kita sentuh sedikit
sahaja.
Kalau kita melihat
puisi tradisional Melayu yang kita fokuskan ialah Syair. Selalu saya katakan bahawa pengarang
sebenarnya tidak mengarang sesebuah syair itu dengan tidak memikirkan peranan
dan fungsinya. Ada. Dan ia boleh kita
lihat dalam pelbagai bentuk. Dan kali
ini kita melihat sedikit apa yang dikatakan falsafah dan pemikiran dalam syair
Madhi ini.
Ringkasan.
Madhi, (Hero) anak
seorang Raja Maghribi. Jatuh cinta
terhadap Ratna Asykiyah, anak Raja Parsi. Asykiah dan kakaknya Ratna Baduyah
telah difitnah oleh ibu tiri dan dibuang ke dalam hutan. Mereka ditemui oleh
Tarafah puteri Raja Badwi lalu diambil dan dijadikan hamba. Di sinilah bermulanya hikayat antara Madhi
dengan Ratna Asykiyah. Akhirnya Putera Madhi berkahwin dengan Ratna
Asykiyah. Namun sebelum itu banyaklah
peristiwa-peristiwa tentang Madhi ini, bab berkahwin dengan berbagai-bagai puteri
lain dan peri kehebatannya, dan kalau nak diceritakan tak mungkin habis dalam
satu slot. Maklum sahajalah Raja.
Raja Madhi dinamakan tuan,
Parasnya elok tiada terlawan,
Putih kuning emas tempawan,
Terlalu kasih Yang Dipertuan.
Kecantikan ini juga menjadi
pujaan setiap puteri walaupun sekali bertentang sahaja, dah angau. Ini pada
pandangan Ratna Asykiyah.
Setelah didengar Madhi mahkota,
Ke atas kayu memandanglah serta,
Dengannya puteri bertemulah mata,
Keduanya sama manaruh cinta.
Baharulah juga jadi khalifah,
Parasnya elok terlalu indah.
Makin ditentang manis bertambah,
Barang yang melihat hati gelabah.
1.
Bijaksana dan bertanggungjawab
Walaupun kisahnya
kisah percintaan anak raja di timur tengah, tetapi cerita ini tetap dikarang
oleh orang Melayu. Apa yang boleh kita
ambil dari Syair ini ialah tentang sikap bijaksana dan bertanggungjawab yang
dipaparkan melalui watak hero ini iaitu Madhi.
Sikap inilah yang ingin diterapkan ke dalam jiwa masyarakat Melayu
terutama pemimpin-pemimpin masyarakat. Kebijaksanaan dalam membuat keputusan dan
adil dalam melaksanakan undang-undang.
Siapa yang bersalah di hukum.
Contohnya ibu tiri Ratna Asykiyah telah dihukum oleh Raja Madhi. Hal ini turut diambil iktibar oleh rakyat.
Dan mereka saling mengingatkan bahawa jangan berbuat jahat dan melanggar
undang-undang.
Wasya dan Jariah sudahlah fana,
Orang berbisik di sini dan sana,
Itulah rupanya orang pesona,
Sesal pun tidak lagi berguna.
Akannya sekalian orang besar-besar,
Semuanya itu mengambil iktibar,
sama sendiri ia berkhabar,
Pekerjaan jahat hendaklah sabar.
Hendaklah kita tahukan diri,
Janganlah berbuat sebarang peri,
Itulah rupa wahsya menteri,
Kepalanya tersula di tengah negeri.
2.
Setia dan Amanah dalam Percintaan.
Seperti biasa dalam
cerita epik, cerita rakyat atau cerita hikayat ini, kesetiaan watak utama
memang tidak dapat dipisahkan. Biar apa
pun berlaku, biar seramai mana pun isteri yang telah dikahwini, namun akhirnya
kekasih awak itulah cinta sejatinya.
Cerita sebegini selalunya berakhir dengan gembira (happy ending). Bukan itu yang ingin diperkatakan. Apa yang ingin saya nyatakan pagi ini ialah
tentang sifat kesetiaan dalam percintaan.
Sikap amanah dalam percintaan.
Itu sebenarnya falsafah yang ada dalam syair ini. Pengarang besar Melayu ketika itu telah
menerapkan falsafah ini jauh lebih awal, dalam puisi tradisional, ataupun dalam
sastera lisan Melayu yang pernah kita ketahui.
Walau
seberat mana pun rintangan kesetiaan tetap dipegang. Janji tetap dikota. Kadang-kadang sedih kita mendengarnya. Tapi inilah kesan yang pengajaran atau
falsafahnya. Jangan mudah berbelah
bagi. Kasih sayang itu punca utama
kebahagiaan. Cinta Raja Madhi terhadap
Ratna Asykiyah amat hebat. Walaupun
sedang tidur dengan Nurlela.
Kerana baginda terlalu
gundah,
Diam berfikir tunduk
terngadah,
Cinta berahi dendam tak
sudah,
Kepada Asykiyah paras yang
indah.
Sungguhpun beristeri Madhi
yang sakti,
Tiadalah juga hibur di
hati,
Asykiyah juga yang kan
dinanti,
Belumlah dapat belum
berhenti.
Sama dengan pantun
Nyiur gading puncak
mahligai,
Anyam ketupat berisi inti,
Hancur daging tulang
berkecai,
belum dapat belum berhenti.
Syair rangkap lain
Bilanya terkenang hari
berdebar,
Paras yang elok seperti
digambar,
Baginda mengucap Allah
huakbar,
Demikian seketika
datanglah sabar.
Kesetiaan terhadap rasa yang ada dalam sanubari tidak
dapat dihindarkan. Inilah yang ingin diterapkan
dalam hal yang berkaitan dengan perasaan dan kasih sayang. Kesetiaan.
Tanpa perasaan setia kita tidak akan kekal.
Kalau kita lihat Raha Madhi, dia seorang raja. Hebat.
Tampan. Dan berbagai-bagai-bagai keistimewaan yang ada. Tapi kerana kesetiaan dan amanah dia tidak
mengapa-apakan Ratna Asykiyah. Walaupun
dia berkahwin ramai, tetapi sebagai seorang raya, perkahwinan itu mesti
bersebab dan berlaku dalam keadaan terpaksa.
i)
Perkahwinan dengan Tarafah – dipaksa.
ii)
Perkahwinan dengan puteri jin Nurul Asyikin – terpaksa
(nak dapatkan ubat mata yang buta. (Nurlela)
iii)
Perkahwinan dengan Nurlela – terpaksa. Sebab nazar ayah
Nurlela
Inilah yang ingin
pemikiran dan falsafah Melayu bahawa sebagai seorang pemimpin, tanamkanlah
sifat setia dan amanah.
3.
Lelaki “Ajawala”
Maksud lelaki ajawala
ni lebih kurang macam lelaki tulen la.
Sebagai seorang lelaki, pengarang telah menitikberatkan sifat kelelakian
itu. Apatah lagi sebagai seorang raja
atau pemimpin. Walaupun dengan gelaran
dan jawatan yang ada pada Raja Madhi, dia boleh menakluki Ratna Asykiyah, namun
dia tetap sabar. Walaupun cintanya tidak
tertahan. Dia tetap sabar. Inilah yang ingin dinyatakan oleh
pengarang. Pemimpin Melayu tetap bertindak dalam cara yang bijaksana. Kalau kita lihat contoh Raja Madhi ini, dia
adil dalam berpoligami, bijak menentukan giliran walaupun dia terpaksa berulang
alik ke beberapa negeri. Sikapnya
bersesuaian dengan keadaan. Semasa belum
mengahwini Ratna Asykiyah, Raja Madhi menganggapnya sebagai saudara dan
bertindak pun atas hubungan saudara.
Namun apabila telah mengahwininya, Raja Madhi bertindak sebagai seorang
suami. Hingga perubahan sikap ini
menghairankan Ratna Asykiyah.
Siti diriba muda utama,
Seraya bermain putik
delima,
Ayuhai tuan nila utama,
Silakan beradu kitabersama.
Siti sebagai juga merunta,
Sedikit pun tidak menjawab
kata,
Tunduk bercucuran si air
mata,
Memikirkan perbuatan Madhi
mahkota.
Sebenarnya, kalau kita
melihat puisi-puisi tradisional Melayu, kita akan menemui pelbagai falsafah dan
pemikiran yang ingin diungkapkan oleh pengarangnya. Kebijaksanaan ini telah lama ada dalam
cendekiawan Melayu. sebab itu, kita perlu
ikhlas dalam melihat khazanah sastera kita.
Apatah lagi puisi Melayu tradisi ini.
Sebab dalam budaya Melayu, sikap berterus
terang itu amat jarang berlaku (dahulu).
Mereka amat menjaga tata cara dan adab demi maruah. Tidak semudah itu membuka keaiban orang
lain. Hal-hal ini lah yang menyebabkan
banyak puisi tradisi lain seperti teromba, peribahasa, pantun, nazam, gurindam,
rubai, kita’ah dan lain-lain menggunakan bahasa-bahasa yang memberi makna
berlapis. Ada sebabnya. Bagaimana bahasa simbol memainkan peranan
utama dalam sastera Melayu, perlu kita jelajahi dan kita teroka sedalam-dalamnya.
Hayatilah
puisi tradisi kerana di dalamnya penuh ilmu terisi.
Comments
Post a Comment