PESAN PENDETA

PESAN PENDETA 

 Dalam nanar 
aku mencarimu pada setiap alun kecapi 
yang gemersik, melayah ke segenap ruang raga 
 yang tak mungkin tertunjal 
bersama getar rasa yang tertinggal. 

 Aku mencari harga diri dalam setiap alur ingatan tentang 
sebuah nama kecemerlangan, yang bertunjang keagungan 
melayari segenap pengertian pada harapan dan keadaan 
menyirat segenap akar budaya yang semakin terpungkas 
dan terbenamnya raut gemilang kehidupan. 

Aku menyirat jerami kealpaan ini, 
dengan pintalan jati diri yang satu, 
tentang tugas dan amanah yang terpikul di bahu. 
 Walau seribu keringat tumpah dan bernanah,
jangan kau susuri lagi segala kepincangan, 
jangan kau jejaki kembali segala kemunafikan 
jangan kau imbasi lagi segala bayang kelemahan 
yang tidak pernah berkesudahan. 

 Ayuh, susurlah segenap jerih langkah 
untuk satu nama gemilang 
yang memercikkan seribu sinar kebanggaan warga 
semurni rohani yang telah kau janji. 
kita cungkil setiap nadi yang lena 
untuk bangun dan bersama 
melaungkan namamu DBP yang agung 
kita ucap setiap kalimah itu 
untuk mengangkat martabat 
sebuah lagu kecemerlangan selamanya 

Ayuh! kita langkahi setiap jurang 
dan layari gelora lautan bersama. 
inilah adunan jati diri yang agung dan abadi 
bertunjang dan mencengkam kejap 
pada setiap akar nadi warga DBP. 
Walau beribu pukulan angin menggoncang 
namun pautan kesal jangan kau mainkan iramanya 
kerana paksi yang kita injaki ini adalah lagu hati, 
adalah keringat, 
adalah semangat, 
adalah amanat.

Bicaralah dengan hati suci murni tantang hakikat, 
engkau adalah amanah pertiwi. 
kita injak segala onak, 
segala ranjau, 
segala resah yang tidak pernah sudah. 

Bukalah akal fikir untuk mentafsir 
segala butir sebuah bangsa bergaya. 
Laungankan semangat dengan kejap iman 
untuk setiap aksara kualiti yang telah lelah terbina. 
teguhkan setiap laku dan bicara 
dalam santun bahasa, 
kerana kita peneraju sebuah bangsa yang berjaya. 

Mari kita gandingkan bersama genggaman jemari 
mari kita tarikan sekata langkah hati 
mari kita pacakkan kembali tiang diri yang hakiki 

II 

Kota ini ialah sebuah kota harapan 
dan citra bangsa 
kemudi jangan kau olengkan menyongsang arah 
kerana kota yang bernama adalah lambang sejarah 
yang tidak mungkin terpisah 
dari desakan resah, lelah dan gundah. 
Sebuah citra yang bernama bahasa ibunda 
Terukir dari jiwa bangsa 
yang tidak mengenal putus asa 
sedang tunjangnya semakin direntap murba durjana 
kita masih memalingkan muka dan tersenyum tanpa jiwa. 

Inilah pesan pendeta 
pada siratan dan anyaman 
yang telah ditinggalkan 
bersama risalah 
yang semakin musnah dan tidak terbela 
tentang bahasa, 
tentang jiwa, 
tentang kita yang semakin alpa. 
kita yang menjadi semakin rela tanpa paksa 
kita semakin menjadi leka pada nama. 

Ayuh wargaku 
mari kita bangkitkan semangat keranda 152 
yang telah usang usianya, 
mari kita jalinkan robek kealpaan ini sepenuh daya 
mengangkat semangat kecemerlangan 
pada setiap jiwa warga 
kerana maruah 
tidak akan terbela dengan sengaja 
kerana kita adalah warga 
yang memikul amanah dan nadi bangsa 
kerana kita adalah tunjang 
dan benteng di muka kuala. 

Kita bukan petualang 
yang boleh dikotakkatikkan 
kita bukan jalang yang sewenangnya disundalrobekkan! 

ayuh wargaku, 
ayuh bangsaku! 
bangunlah dari lena siang dan bangga malammu 
bahasamu kini semakin menjerit sakit 
budayamu kini semakin sesak, 
gelisah, 
gundah 
dan pahit 
menanti saat lebur dan berkubur. 

Ayuhhh! Bangkitlah warga kotaku, 
kita pahatkan kembali maruah yang goyah 
kita sebenarnya sebuah bangsa 
yang punya maruah 
kita sesungguhnya sebuah nama yang megah. 

Aku hanya seorang pujangga tak bernama 
menyusur segenap detik dengan kudrat yang tersisa
untuk mencipta sebuah jasa 
yang tidak pernah kupinta harganya. 

aku hanya seorang pujangga tak bernama, 
tapi aku rela mati 
demi menjaga panji di jemala 
kerana keranda 152, 
adalah kebanggaan 
yang tidak akan ada gantinya 

kita bukan pendusta, 
kita bukan pencelaka, 
dan kita bukan penderhaka 

 Ayuh wargaku, 
kita hayun kudrat ini 
demi untuk satu nama. 
bukalah mata hati 
yang telah mati 
dan mari kita injak 
segala duri yang semakin berdiri  
kerana kita, 
bukan citra bangsa, 
yang mati sebelum usia. 


 Ayusari mj

Comments

Popular posts from this blog

MALU DALAM PANTUN MELAYU

KEINDAHAN BAHASA DALAM PANTUN