PESAN PENDETA
Dalam nanar aku mencarimu pada setiap alun kecapi
yang gemersik, melayah ke segenap ruang raga
yang tak mungkin tertunjal
bersama getar rasa yang tertinggal.
Aku mencari harga diri dalam setiap alur ingatan tentang
sebuah nama kecemerlangan, yang bertunjang keagungan
melayari segenap pengertian keadaan dan harapan
menyirat segenap akar budaya yang semakin terpungkas
dan terbenamnya raut gemilang kehidupan.
Aku menyirat jerami kealpaan ini, dengan pintalan
jati diri yang satu,
tentang tugas dan amanah yang terpikul di bahu.
Walau seribu keringat tumpah dan bernanah,
jangan kau susuri lagi segala kepincangan,
jangan kau jejaki kembali segala kemunafikan
jangan kau imbasi lagi segala bayang kelemahan
yang tidak pernah berkesudahan
Ayuh, susurlah segenap jerih langkah untuk satu nama
gemilang yang memercikkan seribu sinar kebanggaan warga
semurni rohani yang telah kau janji.
kita cungkil setiap nadi yang lena untuk bangun dan
bersama melaungkan namamu DBP yang agung
kita ucap setiap kalimah nama itu untuk mengangkat martabat
sebuah lagu kecemerlangan selamanya
Ayuh! kita layari setiap jurang dan gelora lautan bersama
inilah adunan jati diri yang agung dan abadi
bertunjang dan mencengkam kejap pada setiap akar nadi
warga DBP. Walau beribu pukulan angin menggoncang
namun pautan kesal jangan kau mainkan iramanya
kerana paksi yang kita injaki ini adalah lagu hati,
adalah keringat, adalah semangat, adalah amanat.
Bicaralah dengan hati suci murni tantang hakikat,
engkau adalah amanah pertiwi.
kita injaki segala onak, segala ranjau, segala
resah yang tidak pernah sudah.
Bukalah akal fikir untuk mentafsir segala butir
sebuah bangsa bergaya. Laungkankan semangat
dengan kejap iman untuk setiap aksara kualiti yang
telah lelah terbina. teguhkan setiap laku dan bicara
dalam santun bahasa, kerana kita
peneraju sebuah bangsa yang berjaya.
mari kita gandingkan bersama genggaman jemari
mari kita tarikan sekata langkah hati
mari kita pacakkan kembali tiang diri yang hakiki
II
Kota ini ialah sebuah kota harapan dan citra bangsa
kemudi jangan kau olengkan menyongsang arah
kerana kota yang bernama adalah lambang sejarah
yang tidak mungkin terpisah dari desakan resah, lelah dan gundah
Sebuah citra yang bernama bahasa ibunda
terukir dari jiwa bangsa yang tidak mengenal putus asa
sedang tunjangnya semakin direntap murba durjana
kita masih memalingkan muka dan tersenyum tanpa jiwa.
Inilah pesan pendeta
pada siratan dan anyaman yang telah ditinggalkan
bersama risalah yang semakin musnah dan tidak terbela
tentang bahasa, tentang jiwa, tentang kita yang semakin alpa.
kita yang menjadi semakin rela tanpa paksa
kita semakin menjadi leka pada nama.
Ayuh wargaku
mari kita bangkitkan semangat keranda 152
yang telah usang usianya,
mari kita jalinkan robek kealpaan ini sepenuh daya
mengangkat semangat kecemerlangan pada setiap jiwa warga
kerana maruah tidak akan terbela dengan sengaja
kerana kita adalah warga yang memikul amanah dan nadi bangsa
kerana kita adalah tunjang dan benteng di muka kuala
Kita bukan petualang yang boleh dikotakkatikkan
kita bukan jalang yang disundalrobekkan
ayuh wargaku, ayuh bangsaku
bangunlah dari lena siangmu dan bangga malammu
bahasamu kini semakin menjerit sakit
budayamu kini semakin sesak dan gelisah gundah
menanti saat lebur dan berkubur.
Ayuh!
Bangkitlah warga kotaku,
Kita pahatkan kembali maruah yang goyah
kita sebenarnya sebuah bangsa yang punya maruah
kita sesungguhnya sebuah nama yang megah.
Aku hanya seorang pujangga tak bernama
menyusur segenap detik dengan kudrat yang ada
untuk mencipta sebuah jasa yang tidak pernah kupinta harganya.
aku hanya seorang pujangga tak bernama, tapi
aku rela mati demi menjaga panji di jemala
kerana keranda 152, adalah kebanggaan yang tidak akan ada gantinya
kita bukan pendusta, kita bukan pencelaka, dan kita bukan penderhaka
Ayuh wargaku, kita hayun kudrat ini demi untuk satu nama
bukalah mata hati yang telah mati dan
mari kita injak segala duri yang semakin berdiri
kerana kita, bukan citra bangsa, yang mati sebelum usia.
Ayusari mj
MALU DALAM PANTUN MELAYU
Assalamualaikum. Kita lihat dahulu pantun ini; Mati benalu di dahan kayu, Patah kayu menimpa keladi; Mati Melayu kerana malu, Kalah Melayu kerana budi. Pantun ini memberikan kita dua hal utama yang menjadi pantang iaitu "Malu" dan "Mati". Melayu lebih rela mati daripada menanggung malu dan Melayu juga kalah dengan budi. Malu dalam pantun di atas merujuk kepada istilah “rasa malu”. Istilah-istilah Melayu yang merujuk kepada pekara ini termasuklah, “berasa aib”, “rasa segan” dan juga “segan silu”. Orang yang menunjukkan perasaan malu, akan diperikan sebagai “malu-malu” dan “takut-takut”. kata orang tua-tua; “kalau malu sudah hilang, hidupnya sama dengan binatang” “kalau malu berbuat ibadat, dunia akhirat hidup sesat” “Kalau malu bekerja, hidup pun sengsara” “Kalau malu beramal, alamat mati tidak berbekal.” Secara umumnya, malu merupakan perasaan rendah diri ataupun berasa segan silu terhadap...
Comments
Post a Comment