Cuba-cuba
Aku sebenarnya tidak pernah pun terlintas untuk membuka sebuah laman atau blog sendiri. Ini adalah disebabkan aku tergolong dalam golongan yang buta IT, berbanding dengan anak yang kini sedang membuat kursus IT di UiTM Merbok, maka aku juga rasa tercabar. Sedangkan aku tidak pernah mendapat ilmu secara formal dalam membina sebuah laman blog. tapi aku cuba-cuba juga untuk membinanya, meskipun yang terlampir hanyalah catatan-catatan kosong yang tidak bermakna.
Cuba-cuba. begitulah niat yang bersarang dalam impian jiwaku. aku tidak berani untuk memaklumkan laman ini ataupun blog ini kepada kawan-kawan, apatah lagi anak saudaraku yang kini mengajar di pedalaman. Aku menjadi terangsang apabila membaca blognya dalam diam. Aku menjadi teruja untuk mencuba. Tidak salah untuk mencuba. Untung batu tenggelam, untung sabut timbul.
Dalam mencuba-cuba ini aku teringat kisah semasa kecil yang selalunya suka mencuba. Terutama kala banjir melanda kampung. Biarpun ibuku selalunya mengeluarkan suara nyaring melarang aku bermain banjir tapi aku biasanya tetap berdegil. Ayahku seringkali tidak bepihak di mana-mana, dan biasanya hanya memerhati dalam diam. Aku amat berbangga dengan sikap yang diambil oleh ayah. Suaranya tidak pernah meninggi. Kalau ada suara yang meninggi, itu akan dikeluarkan oleh ibu. Ayah ku lihat hanya membiarkan sahaja apa yang ibu lakukan.
Musim banjir adalah musim yang amat dinantikan. Kalau tahun-tahun 70-an dahulu, banjir biasanya akan melanda pada hujung tahun, yakni dalam bulan November atau Disember. Malah kadang-kadang dalam dua bulan itu, hujannya akan turun tidak berhenti-henti.Ketika inilah aku dengan teman-teman akan mengambil peluang memancing di sungai di hadapan rumah. musim-musim begini, ikan yang biasa menyambar mata kail hanyalah baung atau ikan tilan. kalau nak mengharapkan ikan sebarau, peroi, atau kelah, jauh sekali. Musim banjir air biasanya akan keruh kekuningan, umpama susu bercampur teh.
Dalam masa inilah aku mencuba-cuba mencari ramuan atau umpan yang boleh menjinakkan ikan dalam air yang keruh itu. Cuba-cuba hanya berlaku di tepi tebing dan tidak pernah aku berani untuk berada di atas batang yang melintangi sungai. Manalah tahu kalau-kalau tergelincir, maka nahaslah aku. Bukan aku tidak tahu berenang, tapi aku masih belum bersedia untuk mempertaruhkan nyawa berenang di musim banjir.
Selain itu aku juga seringkali cuba-cuba untuk menahan taut di kawasan sawah. Ikan keli dan haruan juga riang bermain ketika ini. Bersama kawan yang tidak lebih dari lima orang, aku bermain dengan taut di sekeliling sawah. Paya kata orang kampung. Sawah dan paya adalah perkara yang sama. Ketika ini, pelbagai umpan yang dicuba, selain cacing. Biasanya rezeki akan terlalu murah diberikan ALLAH S.W.T.
Itu dulu. Kini perkataan cuba-cuba itu tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya. Anak-anak remaja menggunakan perkataan cuba-cuba itu kepada rokok, ganja dan dadah. apabila ditanya, mereka akan berkata, "Ala Pakcik, kami baru nak cuba-cuba".
Inilah yang amat merunsingkan. dunia dan keadaan amat berbeza dari masa aku kecil-kecil dahulu. Kalau dulu cuba-cuba mendatangkan hasil, tapi kini perkataan cuba-cuba mendatangkan kemudaratan. Sebab itulah kini aku tidak lagi menggunakan perkataan cuba-cuba. Aku menjadi takut dan tidak keruan jika perkataan ini digunakan selalu.
Kalau dalam hal membina laman atau blog ini, aku hanyalah cuba-cuba. kalau anak saudaraku yang kini pakar membina blog, aku akan katakan "cuba-cuba".
Comments
Post a Comment