MENGAJI

Mengaji merupakan satu istilah yang sering digunakan oleh orang tuaku. Apabila malam dan ada masa terluang, maka aku di suruh mengaji. Menurut kefahaman aku, mengaji mempunyai dua maksud yang berbeza dengan tujuan yang sama. pertama ialah menuntut ilmu sekular di sekolah. Kedua mengaji memberikan maksud membaca Al-Qur'an. kedua-dua ini mempunyai tujuan yang sama iaitu menuntut ilmu. Tapi yang paling popular dalam masyarakat kita ialah 'mengaji' yang memberi maksud membaca Al-Qur'an.
"Adik tak mengaji ke hari ni?" begitu tanya emak, apabila melihat aku asyik bermain. Emak seorang yang prihatin dengan jadual pembelajaran yang tidak pernah tetap itu. Sesekali aku mematuhinya dengan diam-diam naik ke atas rumah dan membelek-belek buku sekolah. Meskipun buku berkenaan tidak memberikan tambahan ilmu ketika membeleknya, namun aku terpaksa berpura-pura untuk menatapnya dengan tekun.
Kalau dengan ayah, pastinya aku agak lambat bergerak kerana ayah biasanya hanya memerhati dan tidak membunyikan suaranya.
"Adik, mengaji" itu sahaja perkataan yang biasa dilontarkan olah ayah. Bagi ayah yang ku panggil "che" dan emak yang kupanggik "mek", mengaji adalah perkara yang mesti dilakukan setiap hari. Kalau nak ke sekolah pun emak akan berpesan "dik, mengaji pandai-pandai" maknanya belajar betul-betul dan sungguh-sungguh biar berjaya. Ini bahasa yag diungkapkan oleh ibubapa dalam dialek Kelantan. Aku biasanya membisu dan bungkam.
Mengaji yang inginku katakan di sini ialah yang memberikan maksud membaca Al-Qur'an. Ini satu kewajipan pada ayah. Tapi aku sendiri tidak tahu kenapa aku sahaja yang kena. Apa yang ku lihat, abang dan kakak aku, jarang mengaji bersama. Mungkin jarak kami agak jauh, berselang lima tahun seorang. Dalam jumlah hanya tiga beradik, aku merupakan yang bongsu dan panggilan manja dalam keluarga ialah "adik". Panggilan ini masih melekat pada kakakku yang juga kini tinggal seorang setelah kematian suami. Aku masih dipanggil adik oleh emak hingga ke akhir hayatnya (16/April/2007). Emak pergi pada tarikh kelahiranku.
Aku biasanya mengaji dengan ayah bersama-sama dengan teman-teman yang rumahnya terletak tidak jauh dari rumahku. Jaran antara rumah kami dalam kampung ialah sekitar 200 - 400 meter sebuah. Ayahku adalah seorang guru mengajar Al-Qur'an. Sebab itu hingga kini aku tidak pernah belajar mengaji dengan orang lain selain daripada ayahku. Masa biasa untuk mengaji ialah selepas sembahyang maghrib. Kawan-kawan yang datang mesti sebelum maghrib kerana kalau tidak mereka susah nak berjalan dalam gelap. Pada masa ini mana ada elektrik. Apatah lagi lampu jalan. Jalan di kampung aku hanyalah berupa denai yang mati rumput dipijak manusia. masa balik, barulah mereka memasang jamung atau "karok" mengikut istilah kelantan. Karok ini diperbuat daripad abuluh atau daun kelapa kering yang diikat dipelepahnya.
Aku paling suka kalau hari hujan sebab kalau hujan kami akan dapat makan ubi rebus, terutamanya ubi kemili. Orang kampung aku menyebut ubi 'kling'. Nama ini lahir mungkin daripada warnanya yang hitam. Tapi sebenarnya hingga kini aku tidak tahu dari mana asal nama ubi ini. Kalau hujan waktu petang seorang dua jiran ayahku akan bertandang ke rumah. mereka berbual-bual pasal agama dan aku hanya mendengar dalam diam tanpa mengingatinya secara serius. Apa yang lebih aku pentingkan ialah makan ubi rebus yang disediakan emak. Menjelang maghrib baru mereka pulang. Yang tinggal hanya aku dan beberapa orang teman untuk meneruskan tugas sebagai pelajar kelas mengaji malam.
Satu hal yang paling aku tidak suka damma bab ini ialah aku mesti mengaji sebelum orang lain mengaji. Maknanya akulah yang akan memperdengarkan lagu-lagu sumbang dengan taranum yang tidak bernama seorang diri . Tapi yag teruknya, aku jugalah orang yang paling lambat diajar oleh ayah. Bila aku bertanya kenapa ajar lambat kerana sepatutnya akulah yang dulu. Dengan selamba ayahku berkata "rumah mereka jauh". Aku tidak tahu melawan. Sehingga besar, aku rasa aku tidak pernah melawan ibu atau ayah. Kalau ada pun dlaam diam. terima kasih emak dan ayah kerana telah membentuk peribadiku agar tidak melawan orang tua.
Mungkin berkat mengaji, atau mungkin kerana jujurnya ayah mendidikku dengan ayat-ayat Al-Qur'an. Wallahhuaklam.

Comments

Popular posts from this blog

MALU DALAM PANTUN MELAYU

KEINDAHAN BAHASA DALAM PANTUN