KECIL DI KG SALAK

Aku membesar dalam keluarga yang amat sederhana. Terdidik dengan dunia hutan yang tebal dan segala mergastua yang berada di sekitar. Tidak ada bunyi lain selain daripada bunyi mergastua itu. Rumah-rumah jiran yang terletak agak jauh, menyerlahkan lagi bunyinya. Reriang dan cengkerik pun bebas untuk berlagu. Maklum sahaja, rumah kami terletak dalam keluasan tanah 5 ekar seorang. Itu untuk tapak rumah dengan di sekitarnya terdapat tanah yang boleh ditanam padi sawah atau dijadikan dusun buah-buahan.
Kalau ingin dinilai, atau diteroka, mungkin tidak ada orang yang mahu meneroka kampung ini. Kampung Salak adalah sebuah kampung yang amat 'ke dalam' dan dilingkungi oleh hutan Taman Negara. Namun di sinilah aku membesar. Di sinilah aku mengenal dunia dan kehidupan. Di sini jugalah aku mengalami segala pahit dan getir hidup. Namun aku tidka pernah serik untuk berada di sini. Sesekali bila bercuti, aku masih rindu untuk 'bertapa' di Kampung Salak. Aku juga rindu pada ikan-ikan sungainya yang terletak di hadapan rumah (dahulunya rumah terletak di sini). Namun airnya kini menjadi semakin cetek. Aku tidak mengerti, apakah kerana terlalu bayak timbunan pasir yang dihanyutkan dari hulu, atau aku sendiri yang telah menjadi besar panjang. Yang aku tahu, kini kurasakan airnya menjadi semakin cetek.
Di sinilah juga aku mengenal dan menyambung hidup dengan buah-buahan hutan. Meskipun ketika itu aku tidak pernah tahu jenis dan nama buah-buahan itu, namun apabila buah itu di makan monyet, atau kera atau senekah, maka aku juga turut menikmatinya. Aku tidak pernah memikirkan kematian. Kerana pada aku, kematian adalah sesuatu yang tidak wujud ketika itu. yang aku tahu, hanyalah mengikut petua yang diberikan oleh kedua orang tua. Sakit, demam. Itu juga di luar pemikiran. Aku juga jarang mengalami demam. begitu juga dnegna kawan-kawanku. Barangkali usus kami sememangnya telah sebati untuk menerima apa sahaja yang masuk. Kalau demam pun, paling kuat kedua orang tua akan memanggil dukun atau tok bomoh. Setelah diuli-uli tepung di muka, sehari dua kemudian kami pun boleh berlari kembali. Cuma tersampuk, kata bomoh. Kata-kata ini tidak pernah ada yang membangkang.

Comments

Popular posts from this blog

MALU DALAM PANTUN MELAYU

KEINDAHAN BAHASA DALAM PANTUN