MENCARI BURUNG

Kehidupan di sebuah kampung di pedalaman amat memberikan pelbagai ragam pengalaman yang tidak boleh ditemui lagi hari ini. Aku yang tidak pernah punya masa untuk bersuka-ria pada hari cuti persekolahkan (kerana terpaksa membantu orang tua di kebun getah) tetap juga mencuri-curi waktu untuk bersama seorang dua rakan melastik burung. Terutama sekali burung kelicap. Kerana burung inilah yang sering berterbangan antara pohon buah-buahan yang terletak di sekitar rumah. Waktu petang adalah waktu yang amat aku suka.
Aku tidak punya waktu lain untuk bersukan. Mana ada dalam kampung Salak sebuah padang bola yang membolehkan kariahnya untuk bersukan. Mana mungkin AJK kampung ketika itu (sememangnya tidak ada AJK pun) untuk menyediakan peruntukan membina padang bola. Kalau mahu bermain juga, gunakan sahaja petak sawah selepas musim menuai. Ini kerana di sinilah sahaja tempat yang tidak ditumbuhi lalang atau belukar dan di sinilah sahaja ruang yang agak luas untuk anak-anak bermain. Itu pun setelah semua jerami padi di bakar. Sementara menunggu rumput baru tumbuh, sempatlah juga kami bermain bola getah yang buat dari getah skrap. Kalau sesekali kawan yang keluarganya 'berduit' ke bandar, maka dapatlah kami bermain bola plastik.
Tapi itu hanya sesekali, yang banyak kali ialah melastik burung. Aku bukan pakar dan bukan yang terbaik dalam kalangan teman-teman, tapi aku juga bukan seorang tangan bangku kerana aku juga sesekali akan menjatuhkan burung yang kerdil itu dengan tujahan batu-batu sungai melalui lastik getak kesayanganku.
Burung yang dilastik bukan di sembelih pun. Niat aku hanyalah untuk membawa balik dan menunjukkan kepada orang tua yang aku seorang pakar melastik burung. Masih belum kenal dosa dan pahala. Yang tahu cuma rasa ria dan bangga. Apatah lagi kalau sesekali aku berjaya menjatuhkan burung yang agak besar seperti merbah atau tekukur. Ini akan lebih membanggakan kalau dapat mengatasi kawanku yang dua orang itu.
Di rumah, aku sememangnya mempunyai sebuah jebak yang dibuat oleh abangku. Batang bemban yang dicucuk dengan buluh memberikan ruang yang boleh diduduki oleh beberapa ekor burung. Aku mencampurkan burung yang aku dapat dalam sangkar atau jebak itu. Terkadang sehingga ada yang mati. Tapi aku tidak pernah mengira betapa berdosanya aku menamatkan riwayat dan kehidupan seekor burung. Pada aku, itu adalah perkara lumrah. Apabila ada kehidupan, maka adalah kematian. Kini baru aku sedar tentang semua itu setelah umur meningkat menuju ke angka setengah abad.
Burung yang dicari bersama teman adalah nostalgia yang cukup indah. Namun aku cuma dapat merasa dalam suasana yang tidak selama mana. Kerana aku bersekolah menengah di asrama yang letaknya sekitar tujuh puluh kilometer dari rumah. Sehingga kini, aku terkurung dalam perkampungan kota batu bersama-sama isteri dan anak bongsu. Yang lain juga mengikut jejak, tinggal di asrama universiti dan sekolah menengah. Mencari burung masih banyak cerita yang angin kuhamparkan tapi barangkali pemaparannya akan dibuat di lain ketika.

Comments

Popular posts from this blog

MALU DALAM PANTUN MELAYU

KEINDAHAN BAHASA DALAM PANTUN