Analisis Simbol Binatang Dalam Pantun Melayu
Pengenalan
Pantun adalah penghasilan
karya seni atau sastera masyarakat Melayu yang masih terus digunakan dalam
kehidupan masyarakat kontemporari. Sebagai satu genre sastera yang popular
sudah tentu ia mempunyai keunikan dan keistimewaan. Penggunaan simbol,
merupakan salah satu unsur kebijaksanaan orang Melayu dalam menyampaikan hasrat
hati mereka secara berkias. Peribahasa
Melayu menyatakan, kalau kerbau tahan palu sedangkan manusia tahan kias.
Justeru itu, pernyataan rasa hati diselindungkan dengan pemakaian simbol flora
dan fauna, sebagai mewakili perkara yang ingin dinyatakan secara tersirat. Oleh
demikian, dalam pantun tradisi terdapat pemakaian simbol seperti ayam, puyuh,
kerbau, kucing,gunung,laut,dan sebagainya lagi.
Esei ini membincangkan penggunaan simbol binatang dalam pantun Melayu. Penggunaan simbol binatang dalam pantun dapat dilihat dalam pembayang atau maksud. Ini kerana simbol binatang sudah sebati dalam diri masyarakat Melayu. Simbol binatang digunakan oleh masyarakat Melayu sebagai kiasan. Ianya bertujuan untuk mendidik masyarakat tersebut. Dalam esei ini, penggunaan binatang seperti ayam, harimau, gajah, burung dan ikan akan dibincang sebagai salah satu simbol dalam pantun Melayu.
Penggunaan simbol
burung.
Pantun percintaan:
Kalau tuan pergi ke tanjung,
Bawalah kain
barang sekayu;
Kalau tuan menjadi burung,
Saya menjadi si
ranting kayu.
(Zainal Abidin Bakar. Peny.
hlm.250)
Pantun ini bertemakan
percintaan terutama golongan muda-mudi. Percintaan sering terjadi tanpa
diundang. Apabila disebut percintaan, maka wujudlah lelaki dan perempuan dalam
menghiasi suasana ini. Dalam erti kata yang lain, akan wujud pasangan.
Dalam situasi pantun di atas,
pasangannya antara burung dan ranting kayu. Simbol burung dan ranting kayu
dianggap secocok. Ini kerana burung akan sentiasa hinggap di ranting kayu.
Burung dan ranting kayu dijadikan simbol tersebut.
Penggunaan simbol
ikan
Pantun Nasihat:
Tikar pucuk tikar mengkuang,
Pakaian raja tanah
Melayu;
Ikan busuk
jangan buang,
Buat perencah
taruknya kayu.
(Zainal Abidin Bakar. Peny.
hlm 141)
Dalam konteks pantun di atas
ikan merupakan aspek simbol. Pemilihan kata terbabit membawa maksud yang mudah
difahami, iaitu sesuatu yang busuk tidak semestinya dibuang. Mungkin yang busuk
itu masih berguna. Sebagai contoh, ikan yang busuk itu boleh dibuat pekasam
atau ikan jeruk.
Dalam konteks
pantun di atas juga, nasihat yang diperoleh, iaitu jangan membazir. Masyarakat
Melayu memang arif, membazir amalan yang tidak baik dan dalam Islam, membazir
itu pekerjaan syaitan. Oleh sebab itu, simbol ikan telah diguna pakai oleh
masyarakat Melayu dan merupa suatu keunikan kerana mengaitkan ikan dengan
kehidupan. Ikan yang telah busuk atau buruk masih dapat diproses dalam pelbagai
cara, di antaranya dibuat pekasam, keropok lekor dan sebagainya. Dengan kata
lain walaupun busuk masih boleh menghasilkan sesuatu bahan.
Penggunaan simbol ayam
Pantun nasihat:
Cengkerik-cengkerik memakan bayam,
Rama-rama memakan pegaga;
Carik-carik bulu ayam,
Lama-lama bercantum jua.
(Zainal Abidin Bakar. Peny. hlm 158)
Ayam merupakan
sejenis haiwan yang lazimnya dipelihara oleh masyarakat Melayu sejak
zaman-berzaman lagi. Kebiasaannya, ayam jantan selalu menjadi pilihan
kerana masyarakat Melayu suka menyabung ayam. Oleh kerana itu ayam juga dipilih
menjadi simbol dalam setiap pantun.
Hubungan
kekeluargaan dapat dijadikan panduan dalam pantun di atas. Kebiasaannya
perbalahan adik beradik atau suami isteri jarang berpanjang. Masyarakat Melayu
menjadikan bulu ayam sebagai simbol untuk mengurangkan ketegangan di antara
kedua pihak. Lama-lama kelamaan, perbalahan tersebut dapat didamaikan.
Penggunaan simbol
harimau
Anak merpati disambar helang,
Terbang ke titi di
dalam huma;
Harimau mati
meninggalkan belang;
Manusia mati
meninggalkan nama.
(Zainal Abidin Bakar. Peny.
hlm 159)
Harimau merupakan
sejenis haiwan perlindungan oleh Perhilitan. Nilanya sangat mahal. Harganya
mencecah puluhan ribu ringgit, malah sanggup dibeli oleh masyarakat yang tidak
bertanggungjawab. Harimau juga terkenal sebagai simbol binatang yang garang.
Masyarakat Melayu melihat harimau sebagai simbol kekuatan, terutama dalam
menghadapi suasana peperangan. Hal yang sedemikian, apabila harimau mati,
belang yang terdapat di badan harimau masih digeruni. Malah dalam sejarah yang
lepas, simbol harimau diguna pakai di bendera. Lukisan berbentuk logo harimau
terpapar di bendera.
Dalam konteks
pantun di atas, masyarakat Melayu mengaitkan simbol harimau. Harimau
meninggalkan belang, manusia meninggalkan nama. Jasa seseorang terhadap negara
akan dipalit, tidak kira di mana tempat. Sejarah telah membuktikan perjuangan
Tengku Abdul Rahman dan pengorbanan Tun Abdul Razak. Jasa, kedua-dua tokoh ini
tidak terkira. Amat sesuailah penggunaan pantun di atas menggunakan simbol
harimau.
Penggunaan simbol
gajah
Anak gajah anak beruang,
Duduk berhenti
hilangkan megah;
Sesama gajah bila
berjuang,
Pelanduk mati di
tengah-tengah.
(Zainal Abidin
Bakar. Peny. hlm. 167)
Gajah merupakan spesies
haiwan yang berbadan besar. Dalam konteks pantun di atas, pemilihan gajah
sebagai simbol amat bertepatan. Fitrah alam, setiap yang besar mempunyai
kekuatan. Setiap kekuatan mempunyai kelebihan dan kelebihan itu ialah
kemenangan. Peperangan, pergaduhan atau perjuangan yang melibatkan sesuatu yang
besar sudah pasti memberi impak kepada sesuatu yang kecil. Dalam erti kata yang
lain, sesuatu yang kecil akan menjadi mangsa. Pantun di atas memperlihatkan
bagaimana pelanduk menjadi mangsa akibat pergaduhan gajah.
Dalam konteks
kenegaraan, negara yang besar seperti Amerika dan Russia, apabila berperang
negara kecil akan menjadi mangsa. Lihat sahaja negara Vietnam, dan
Afganistan, kerana peperangan negara itu menjadi mundur. Begitu juga di
Semenanjung Gaza, kerakusan Yahudi telah menyebabkan rakyat Palestin menderita.
Penutup
Konklusinya, pantun
menggambarkan cara berfikir dan nilai masyarakat Melayu tradisi. Melalui
pantun, orang Melayu mengeluarkan rasa hati dan keluhan jiwa seperti dalam
bentuk kasih sayang, cinta, suka duka, sindir menyindir dan berbagai-bagai
perasaan hati mereka yang diungkapkan dalam bahasa yang menarik dan indah.
Pantun mempunyai berbagai fungsi dan tujuannya dan lazimnya, leluhur Melayu
menggunakan pantun dengan tujuan untuk mendidik anak-anak serta memberi nasihat
yang berguna kepada mereka.
Penggunaan simbol binatang
dalam pantun Melayu memang banyak. Masyarakat Melayu kaya dengan budi bahasa
dan budi bahasa itulah yang menjadi kiasan yang hendak disampaikan. Medium yang
terbaik ialah melalui pantun. Jadi, penggunaan simbol binatang menjadi pilihan
masyarakat Melayu.
Rujukan
Zainal Abidin
Bakar. Peny. (1992). Kumpulan Pantun Melayu. Kuala Lumpur.
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Harun Mat Piah
(1989). Puisi Melayu Tradisional : Satu pembicaraan genre dan fungsi.
Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.
Comments
Post a Comment