ASPEK SEJARAH DALAM SYAIR
ASPEK SEJARAH DALAM SYAIR
Sebenranya dalam
syair ini pelbagai aspek boleh kita lihat seperti sejarah, percintaan, riwayat
hidup, pengajaran, nasihat, keagamaan dan banyak lagi. Kita tahu bahawa syair ini dikarang dalam
bentuk yang panjang, sebab ia menceritakan sesuatu yang panjang. Kalau kita ingin meriwayatkan sesuatu, tidak mungkin boleh dinyatakan dengan sepuluh rangkap syair.
Sekurang-kurangnya diceritakan dalam jumlah beratus-ratus rangkap. Begitu juga aspek sejarah.
Aspek sejarah yang terdapat dalam
Syair Pahang. Kalau mengikut catatan,
syair ini dimiliki atau hasil ilham (Tengku Ampuan Mariam Ibni Sultan Ahmad
Pahang), dan selesai disalin oleh Sheikh Mustafa pada 27 Julai 1954. Jumlah keseluruhan rangkap dalam syair ini
ialah sebanyak 497 rangkap.
Kalau kita lihat dari
segi rimanya, syair ini tidak terikat secara khusus seperti syair lazim yang
kita kenali kerana rimanya akhirnya dibuat dalam bentuk aaaa; aabb; dan ada
juga dengan susunan abab.
Kerja pun tiada suatu dibuat,
Diambil kalam dengannya dakwat,
Dicuba mengarang syair hikayat,
Cerita yang benar bukan ibarat.
Pengarang
dari awal lagi menerangkan kepada pembaca bahawa cerita yang dipaparkan ini
ialah cerita benar, bukan rekaan. Kalau
berkaitan dengan sejarah, tentu sahaj cerita yang benar yang akan
diceritakan.
Dalam Syair Pahang
ini tarikh mula menulis pun dicatatkan oleh pengarang;
Hari isnin mula mengarangnya,
Pukul tiga siang harinya,
Rabiulawal nama bulannya,
Itulah konon nama waktunya.
Kalau kita lihat,
tarikh-tarikh ini juga bertepatan dengan apa yang ingin kita bincang pagi ini
iaitu aspek sejarahnya dalam syair.
Biasanya syair-syair yang berbentuk begini akan mencatatkan hal-hal
begini, iaitu hal-hal yang berkaitan dengan masa, tempat dan sebagainya.
Kita lihat tentang
Syair Pahang ini. Sebenarnya syair ini
menceritakan tentang hal yang berlaku dalam negeri Pahang dalam period-period
tertentu. Hal-hal yang berkaitan dengan
pemerintah negeri seperti sultan, Bendahara, Pemangku Raja dan lain-lain. Namun yang banyaknya dalam Syair Pahang ini
ialah tentang perang . terutama yang berkaitan dengan perang saudara. Dalam Syair Pahang ini menyebut;
Telah berlaku iradat tuhan,
Sama sendiri bangkit pergaduhan,
Janji dan takdir sudah demikian
Oleh kerana menuntut kebesaran
Ini berkaitan dengan
perang antara Bendahara Wan Mutahir dengan Wan Ahmad. Jelas dalam rangkap-rangkap Syair Pahang ini
mengisahkan tentang kisah Wan Ahmad yang bergi ke Singapura berjumpa Sultan
Ali, kemudian kembali ke Terengganu berlindung dengan baginda Omar (Sultan
Terengganu ketika itu) kemudian ke Paka.
Selepas itu angkatan Wan Ahmad menyerang angkatan Bendahara Wan Mutahir.
Kita dengar rangkap berikut;
Menghadap lawan sikap tak ngeri,
besarlah perang di dalam negeri,
Mati dan luka tiada terperi.
Akhirnya Wan Ahmad
menang dalam perang ini. Dalam
rangkap-rangkap lain juga diceritakan bahawa Wan Ahamd turut mendapat sokongan
pembesar Pahang yang lain seperti Wan Muhamad – Orang Kaya Muda Jelai -
yang kemudian bergelar Orang Kaya Seri Maharaja Perba Jelai. (kalau tak
silap saya, ini jawatan orang besar Lipis).
Pergaduhan atau peperangan ini untuk merebut tampuk pemerintahan
kerajaan Pahang.
Banyaklah kalau kita lihat sejarah, contohnya
dalam Syair Pahang ini, iaitu tentang Wan Ahmad menang perang dengan bendahara
Wan Mutahir kerana dibantu oleh Baginda Omar ( Sultan Terengganu) dan Tengku
Mahmud Muzaffar Shah (bekas Sultan Lingga).
Peristiwa ini sebenar nya terlalu panjang. Tapi pagi ini saya hanya menceritakan asasnya
atau mukaddimah sahaja.
Fakta sejarah yang lain ialah tentang
kebangkitan Dato’ Bahaman dan orang-orang Pahang menentang British yang ketika
ini bergelar Orang Kaya Pahlawan
Semantan Dato’ Bahaman) di kawasan hulu manakala di Pekan, dipimpin oleh
Panglima Muda.
Contoh:
Bangkit pergaduhan di dalam Negara
Hulubalang panglima membuat angkara
Dua pasukan pergaduhan itu,
Orang kaya pahlawan sebelah hulu
Daerah pekan pergaduhan satu
panglima muda kepalanya itu
Tiada disangka demikian peri
Akan buatan rakyat sendiri.
Catatan
sebegini sebenarnya amat penting diketahui untuk melihat sejarah. Salah satu cara penulisan atau riwayat ini
disampaikan melalui Syair Pahang ini.
Bentuk inilah yang dikatakan sebagai syair sejarah. Pemerian yang lengkap dan tepat penting untuk
pengkaji dan seluruh rakyat untuk mengetahui cerita yang benar dalam ssitem
pemerintahan, peristiwa perebutan kuasa, pertelingkatan antara pembesar dan
juga perselisihan faham antara saudara dalam merebut kuasa.
Kisah pertempuran
juga termuat dalam syair ini seperti contoh;
Terlalu menta menteri hulubalang,
Masuk menerkam menetakkan pedang,
Sikap pahlawan rupanya kacak,
Bermain senjata rupanya bijak.
Terlalu cekap ia menetak,
Orang derhaka kepala tercampak,
Mati berdua kepala perangnya,
Tuk Muda Bidin nama gelarannya.
Ini kisah kepala
perang yang melawan pemerintah tadi yang dikatakan meninggal ditetak oleh
orang-orang raja. Kalau kita lihat
memang penentang ini digelar penderhaka, dan ramai yang tewas di tangan
hulubalang sultan seperti rangkap tadi, tetapi sebenarna penentangan ini bukan
penentangan terhadap raja tetapi penentangan terhadap British.
Kalau kita lihat, dalam sejarah Pahang
selepas peristiwa ini, (penentang kalah dan lari ke serata tempat) melalui
rangkap syair;
Pihak yang datang selamat belaka,
Tiada seorang mati dan luka,
Kepala yang besar meninggal negeri,
Pergi merata menyamarkan diri.
Takutnya tidak lagi terperi,
Akan baginda mahkota negeri,
Adapun akan ke bawah duli,
Pergaduhan itu telah berhenti.
Penentangan ini,
kalau dari sudut sejarahnya disebabkan pembesar yang tidak puas hati kerana
residen British ketika itu J.P Rodger yang dilantik pada tahu 1888. Undang-undang dibuat pada tahun 1889 yang berkaitan
dengan perhambaan /pekerja. Hal-hal lain
termasuklah tentang pertukaran pembesar yang memungut cukai. Pembesar negeri diberhentikan dan hanya
diberi elaun tahunan yang sedikit.
Tetapi
dalam masyarakat Melayu, apabila pemerintah telah menerima kehadiran British,
maka penentangan yang dilakukan terhadap British juga dianggap sebai
penentangan kepada pemerintan (Raja).
Ungkapan
Melayu pun ada menyebut;
Bertuah rumah ada tuanya,
Bertuah negeri ada pucuknya.
Elok kampung ada tuanya,
Elok negeri ada rajanya.
Jadi
ketaatan itu penting dalam adat dan budaya Melayu. Ini juga semacam pantang larang bagi orang
Melayu dahulu.
Contoh
dalam syair nasihat pun ada menyebut dengan pesanan yang berbunyi;
Wahai anakanda harapan bonda,
Terhadap pemimpin jagalah nama,
Junjung amanahnya atas kepala,
Supaya menjauh balak dan bala.
Faktor-faktor
inilah antara yang membuatkan penentangan.
Syair sejarah ini bukan sahaja hanya untuk memaparkan
peristiwa-peristiwa tentang negeri, tatapi ia merangkumi banyak aspek. Dan
semua aspek ini memungkin untuk dimasukkan dalam syair kerana bentuknya yang
panjang dan mampu diceritakan walau sepanjang mana pun peristiwa itu.
Jadi akhirnya, syair bukan sahaja setakat hiburan seperti
syair cerita, syair hikayat, tetapi juga sebagai alat untuk mencatatkan
fakta-fakta sejarah yang tidak mungkin dicatat pada ketika itu. Olahan peristiwa demi peristiwa dalam syair
menjadikan ia satu cerita panjang yang relevan dengan apa juga bentuk atau kisah yang
ingin disampaikan.
Comments
Post a Comment