DENDAM ARJUNA
Ayusari mj
DENDAM ARJUNA
Pohon itu terlalu
tinggi. Melayut di tengah-tengah kota. Sesiapa pun
boleh melihatnya dari jauh. Meskipun tidak berdahan, namun pohon itu
semakin dilihat meninggi pada setiap kali orang yang memandangnya. Dahannya
tidak kelihatan langsung. Tetapi di atas sekali terdapat dua helai pucuk
yang tumbuh. Dua helai pucuk yang mula menguakkan
kembangnya seolah-olah melambangkan kuasa yang akan tetap berkembang.
Tidak ada siapa yang berani
mempertikaikan kewujudan pohon itu. Tidak ada sesiapa yang mahu menyanggah
kehadiran pohon itu. Pohon itu juga adalah lambang. Kata mereka. Lambang itu tidak mungkin dapat disanggah
dengan apa cara sekalipun. Lambang itu adalah mercu tanda kemajuan yang
mereka capai. Tidak ada sesuatu alat pun yang boleh
menidakkan kehadiran lambang itu. Tegap dan melayut. Tidak mungkin tumbang kalau ditolak dengan jentera
yang seberat mana pun. Silap-silap, jentera itu akan lenyek kalau
dihempap oleh salah satu pucuk yang berada di puncaknya.
“Mereka terlalu meg ah dengan pohon dan lambang” kata Sang Arjuna.
“Aku juga berasa meg ah dengannya” Siti Dewi menyampuk.
“Tapi. . . . . !!” Arjuna terhenti.
Dua makhluk yang
sering diagungkan oleh masyarakat dunia bercerita tentang pokok yang berdiri
tegak tanpa bergerak itu.
“Kau tahu apa makna
lambang?” kata Siti Dewi.
Arjuna termangu.
“Lambang adalah satu
yang amat penting. Tanda maruah dan tanda agung. Setiap
makhluk pasti mengidamkannya, ingin mendakapnya biarpun cara untuk mendapatnya
juga amat kotor. ” Siti Dewi menambah.
Bukan Arjuna tidak
tahu apa makna lambang. Tapi dia malas untuk bertengkar dengan buah
hatinya yang amat disayanginya itu. Pada Arjuna, pohon dan lambang tidak akan
memberi sebarang erti kalau hanya setakat tegak membatu.
Lambang juga tidak memberi makna sekiranya tidak diserikan dengan tindakan dan
sikap yang mampu untuk menyatakan kewujudannya.
Tapi Arjuna tidak berani membantah
ketika itu. Semua penasihatnya juga telah menasihatkan
agar tidak membantah tentang apa yang telah diperkatakan oleh Siti Dewi. Kuasa Siti
Dewi amat besar. Pengaruh Siti Dewi juga kini semakin melebar
dan Arjuna semakin tenggelam dalam cengkaman perasaan terhadap Siti Dewi.
“Kenapa kau diam” Siti
Dewi meningkah kembali. Menghidupkan kesunyian yang melanda antara
mereka.
“Aku tidak pernah
diam” kata Arjuna.
“Kalau kamu tidak
pernah diam, kenapa sepi menyelimuti kita?” Siti Dewi seakan tidak puas hati
dengan jawapan yang diberikan oleh Arjuna.
“Aku tidak pernah diam. Meskipun
bibir ini tidak mengeluarkan kata-kata, namun hati tetap berkata” Arjuna mempertahankan tindakannya.
“Hati tidak boleh menyampai
dan memberikan maksud terhadap orang lain Arjuna” Siti Dewi cuba menjelaskan
apa yang perlu dan apa yang dimahukannya.
“Benar, tapi itu tidak
bermakna aku diam” kata Arjuna.
Siti Dewi tidak
meneruskan perkataannya. Dia membiarkan suasana menjadi hening, bening
dan sepi. Kesepian itu memberikan ruang mereka berdua
untuk menambahkan hujah yang akan dibentangkan dalam perdebatan yang akan
datang.
Suasana berlalu dan terus berlalu. Dua makhluk
yang bertegas dengan makna antara pohon dengan lambang itu terus juga membisu
membawa haluan pemikiran masing-masing. Tidak ada suara dan juga perbuatan yang boleh
menghubungkan komunikasi antara mereka berdua. Tidak ada perkataan yang boleh dicatatkan
sebagai alasan yang boleh menegakkan pendirian antara mereka.
Pohon itu tetap juga berdiri. Sebagai
sebuah pohon lambang, keagungan masih terasa kepada orang yang melihatnya. Ini tidak
boleh dinafikan dan disangkal. Lebih tiga puluh buku tampuk yang berada di
batangnya menyerlahkan betapa tingginya pohon itu. Meskipun tampuk itu tidak menunaskan dahan pada
batangnya, namun semua orang percaya bahawa itu adalah ukuran yang membenarkan
had dan jumlah ketinggian pohon tersebut.
“Aku mahu memiliki
lambang yang tertinggi pada pohon itu” kata Arjuna.
“Kenapa?
“Lambang yang ku
miliki masih belum tinggi Siti Dewi” kata Arjuna.
Siti Dewi kehairanan. Baginya
tampuk yang melebihi tiga puluh adalah satu kepastian yang melambangkan ketinggian
dan keagungan pohon warisan itu. Dia tidak faham kenapa Arjuna mengatakan
bahawa lambang miliknya masih belum tinggi.
“Aku mahukan lambang tertinggi
pada pohon itu” kata Arjuna. Cita-cita yang selama ini terpendam terluah
secara tidak sengaja kepada Siti Dewi.
“Apakah sekarang ini
belum cukup tinggi? Siti Dewi kehairanan. Setahunya lambang yang dimiliki Arjuna
sekarang telah cukup tinggi dan meg ah.
“Aku insan yang punya
nafsu. Setiap masa perlukan penghormatan dan
peningkatan” kata Arjuna.
Siti Dewi termenung. Keadaan
kembali menjadi semakin sepi. Unggas kecil yang berterbangan
mengiang-ngiang di telinga. Kesunyian itu, memberikan ruang bunyi kepada
makhluk yang paling halus untuk mengeluarkan dan menzahirkan kehadirannya.
“Nafsu mu terlalu
tinggi Arjuna. Aku menjadi gayat dan curiga. Aku takut
nanti ketinggian mu itu akan melupakan bahawa engkau asalnya dari bumi”
“Entah. Mungkin
hanya engkau yang berasa sedemikian kerana aku tidak pernah berasa bahawa aku
semakin tinggi” Arjuna kembali
menempelak perasaan Siti Dewi.
Perasaan Arjuna
menggegar dengan telahan yang dibuat oleh Siti Dewi. Dia tidak pernah berasa apa yang dilakukan
ini cukup. Hajatnya terlalu tinggi dan menggunung. Hajat ini
baginya adalah hak peribadi dan orang lain tidak perlu mempertikaikannya. Biarlah apa
sahaja yang ingin dikatakan oleh Siti Dewi, dia tetap akan berusaha untuk
berada pada lambang yang lebih tinggi.
Siti Dewi sedikit bingung dengan
kehendak kekasihnya. Perasaannya yang dahulu mengagumi semangat
dan cita-cita Arjuna kini menjadi sedikit luntur. Apakah yang akan dilakukannya dan apakah
Arjuna sudah lupa pada kehadiran dirinya.
Siti Dewi tetap bermain dengan perasaan. Arjuna satu-satu kekasih yang masih kekal dengan
dirinya. Arjuna, satu-satu insan yang setia dengan
dirinya. Namun kini perasaan Siti Dewi menjadi semakin
suram dan kelam.
“Arjuna! Kau ku lihat
telah semakin jauh dan semakin meminggirkan diri ku” Siti Dewi mengeluarkan
perasaannya melalui dua ulas bibirnya yang mungil itu. Semua makhluk di bumi tahu bahawa Siti Dewi
merupakan makhluk yang amat cantik dan menawan. Tidak ada seorang pun yang akan memandang
Siti Dewi cukup hanya sekali sahaja. Umpama seorang puteri kayangan yang tidak
terbanding, Siti Dewi adalah rebutan yang tidak mungkin dapat dimiliki kecuali
Arjuna.
“Aku masih seperti
dulu Siti Dewi. Aku tetap aku, dan tidak pernah berpisah
dengan semangat ku” Arjuna meyakinkan
Siti Dewi.
“Itu pada pendapatmu
sahaja Arjuna. Kau sendiri tahu bahawa kelakuanmu kini
semakin meminggirkan silaturahim. Engkau tidak lagi bercampur dengan masyarakat. Engkau
tidak lagi mahu bertegur sapa dengan makhluk sekeliling” Siti Dewi menambah.
“Aku sudah memilikimu
Siti Dewi. Bukankah dengan memilikimu adalah lambang
satu kejayaan. Kau lihat sendiri
mereka itu. Pentingkah untuk aku terus menjalar sedangkan
aku sudah memiliki lambang yang setinggi ini?”
Siti Dewi bungkam. Dia ingin
menambah dan mempertikaikan apa yang dikatakan oleh Arjuna tetapi hatinya tidak
membenarkan. Arjuna menjadi semakin hipokrit dan pelupa. Arjuna
sudah lupa pada asalnya yang juga dari bumi. Siti Dewi amat kenal dengan Arjuna. Buah hati
yang telah berusaha untuk menjerat kalbunya dan kini jeratan itu amat sukar
dirungkaikan. Dia tahu bahawa Arjuna akan melakukan apa sahaja
untuk berada pada puncak yang tertinggi dan memiliki lambang tertinggi itu. Meskipun
kini dia telah hampir untuk sampai ke pucuk pohon Beringin yang tidak berbuah
itu.
Beringin adalah lambang kemeg ahan
pada Arjuna. Pucuknya dan pohonnya adalah tempat lahirnya
para makhluk cendekiawan yang tersohor dan di sinilah juga bertunasnya ranting
dan dahan cendekiawan berdarjat tinggi. Mitos orang Melayu sendiri tidak pernah lari
daripada pohon berpucuk dua itu. Di sinilah lahir segalanya.
“Arjuna! Aku amat menyanyangimu. Dari itu aku tidak mahu kamu lupa tentang
asal serta sahsiahmu. Ketinggian itu amat menyiksakan dan jatuhnya
boleh membawa padah yang tidak terbayang dahsyatnya” Siti Dewi masih dengan
pendiriannya menasihati Arjuna agar bersederhana mengejar cita-cita.
“Tapi kita juga
diminta untuk terus berusaha untuk mencapai darjat yang tertinggi!” tegas
Arjuna.
“Itulah yang aku
risaukan kekasihku. Mampukah engkau untuk memeg ang lambang itu dengan kekuatanmu yang tidak
seberapa ini?”
“Bagaimana pandanganmu
jadi sebegitu Siti Dewi. Aku menganggap engkau adalah hujanku. Yang mampu
menyirami kekuatan dan memberikan segala kasih sayang untuk terus subur dengan
semangat” Arjuna seakan mula berasa rimas dengan kata-kata Siti Dewi. Dia semakin
tertekan kerana orang yang disayanginya telah semakin tidak bersetuju dengan
tindakan yang dilakukannya. Namun hatinya seakan tetap dengan apa yang
diperjuangkan. Bagi Arjuna,
kehidupan yang statik adalah bagi makhluk yang tidak pernah ada cita-cita dan
pemikiran.
Kehidupan Arjuna diteruskan dengan
usaha yang tidak pernah jemu untuk memeg ang
tampuk pohon Beringin itu. Bonjolan tunas pada batang yang cuba mengembang
dicantasnya dengan rakus. Arjuna tahu, kalau dibiarkan dahan-dahan itu
bertunas dan berkembang, maka dedaunnya akan menyubur dan menutup pandangan
makhluk lain ke atas kuasa yang ada pada dirinya. Penghormatan amat perlu bagi Arjuna. Biarlah apa
pun yang Siti Dewi ingin katakan, dia tetap akan memanjat dan berusaha untuk
memeluk pucuk yang berada pada tampuk kekuasaan yang diidamkan.
Kini Arjuna semakin lupa pada makhluk
yang berada di bawahnya. Baginya, semua makhluk itu tidak penting dan
tidak pernah memberikan kesejahteraan. Untuk apa dipelihara dan dibela tunas dan
daun yang merimbun kalau hanya untuk menutup ruang penglihatan. Rimbunan
daun itu juga bakal menggoyahkan dan tidak akan memberikan sebarang makna. Dengan
adanya daun yang merimbun itu, bukan sahaja penglihatan seluruh makhluk
tertutup, malah dia sendiri tidak tidak dapat menzahirkan kewujudannya. Bagi Arjuna, pucuk pohon Beringin yang hanya dua
helai itu sahaja yang penting.
Siti Dewi juga bagi Arjuna tidak
penting lagi. Kini Siti Dewi sering kali mempunyai pendapat
yang bercanggah dengan pemikiran Arjuna. Untuk apa mempunyai kekasih yang tidak selari
dan tidak sependapat. Arjuna mahukan tampuk dan pucuk pohon Beringin
itu.
Arjuna mahu berada di atas tampuk dan memeluk pucuk itu seraya
melaungkan kepada seluruh makhluk bahawa dialah pemerintah yang agung. Dialah
Arjuna yang kehendaknya tidak mungkin terhalang oleh sesiapa. Jika ada
mana-mana dahan yang berani menunaskan ranting dan menghidupkan daun-daun, maka
dahan itu akan menerima padah yang maha berat.
Ini dendam Arjuna yang tidak akan
dipinggirkan dari pemikirannya. Biar seluruh makhluk tahu bahawa dia adalah
Arjuna. Makhluk agung yang diangkat untuk menetap
pada tampuk pohon Beringin dan dialah satu-satunya yang berhak memiliki dua
helai pucuk Beringin itu. Biar apa pun yang berlaku, dia tetap akan
berusaha untuk memeluk dan memiliki dua helai pucuk Beringin yang menjadi
tonggak dan lambang keagungan itu.
Arjuna semakin leka dengan usahanya. Dia yakin
bahawa dia tetap mampu memiliki pucuk itu. Meskipun dia sedar bahawa dia tidak begitu
layak untuk mendakapnya namun dia tidak pernah ambil peduli. Bagi
Arjuna, tampuk-tampuk di bawahnya hanya tombol-tombol dahan yang baru berjinak-jinak
untuk bertunas. Daun-daunnya tidak akan mampu untuk menutup
ruang penglihatan seluruh makhluk terhadapnya. Masanya telah terlalu hampir dengan kenyataan. Arjuna
tidak akan membiarkan sebarang makhluk memiliki pucuk itu kerana dia yang lebih
berhak. Persetan dengan sangkaan seluruh makhluk. Pedulikan
segala kata kekasihnya Siti Dewi, kerana mereka semua tidak tahu dan tidak
merasa bagaimana riak dan gelombang perasaannya ketika ini. Mereka juga
tidak tahu bahawa seluruh keinginan Arjuna terkumpul dalam kalbu yang semakin
membuak untuk memilikinya. Tampuk-tampuk lain masih sayup di bawah. Tidak
mungkin tampuk lain mampu mengatasi kewibawaannya yang cemerlang itu.
Siti Dewi semakin risau dengan naluri
yang ada dalam diri Arjuna. Dia telah berusaha untuk cuba meredakan
keinginan itu, namun kini Arjuna bukan lagi Arjuna yang dikenalinya. Arjuna kini
semakin jauh dengan dunia sekeliling. Makhluk-makhluk juga semakin jauh dan
meminggir. Arjuna tidak pernah peduli. Arjuna
hanya bahagia dengan perasaannya dan dia tidak pernah ambil tahu perasaan
makhluk-makhluk lain di sekelilingnya. Siti Dewi juga kini semakin dipinggirkan,
hanya kerana Siti Dewi cuba meredakan keinginan Arjuna. Bagi Arjuna, Siti Dewi pun kini seorang
penentang, sama seperti makhluk-makhluk lain yang berada pada tampuk di
bawahnya.
Siti
Dewi sedikit kecewa namun dia tidak pernah menyesal mencintai Arjuna. Makhluk
yang bijak dan pandai merebut peluang dari keadaan. Namun apa yang Siti Dewi khuatirkan ialah
kalau-kalau Arjuna nanti tidak punya sesiapa untuk melindunginya. Siti Dewi
risau kalau saudara-maranya juga memulaukan Arjuna.
Saat itu, Siti Dewi mula memikirkan
bahawa perlukah kelangsungan perhubungan antara Arjuna dengannya diteruskan. Siti Dewi
tidak sanggup untuk meminggirkan makhluk yang ada di sekelilingnya hanya kerana
cintanya terhadap Arjuna. Bagi Siti Dewi, dahan yang dimiliki oleh
Arjuna kini pun sudah cukup tinggi dan menggayatkan.
Sesekali Siti Dewi berkunjung dan melihat dari tempat Arjuna, dia sudah dapat
meninjau hampir kesemua bahagian diperkebunan kota batu itu. Ini telah
melambangkan ketinggian dahan Arjuna. Namun apa daya Siti Dewi kerana perasaannya
tidak sama dengan perasaan Arjuna.
Semakin hari Arjuna semakin tidak mempedulikan
suasana sekeliling. Dia masih dengan usahanya untuk memanjat dan
memiliki tampuk keagungan. Arjuna tidak menghiraukan makan dan minum. Segala itu
tidak perlu selagi dia tidak berjaya memiliki pucuk tertinggi. Makan
perkara perlu bagi orang-orang yang tidak berfikiran. Orang yang tidak berilmu dan bodoh sahaja
yang mementingkan makan. Arjuna akan makan sepuas-puasnya bila berada
di puncak tertinggi. Di sini Arjuna tidak perlu memikirkan apa-apa
lagi kerana dia telah menduduki tempat tertinggi. Dahan-dahan di bawahnya tentu tidak akan
berani melangkah dan mengeluarkan tunas baru kerana Arjuna memiliki sepenuh
kuasa. Andai ada tunas baru yang meruncingkan
hujungnya, Arjuna boleh untuk mencantas dan memberikan ruang tampuk baru untuk
menerbitkan tunasnya. Biar semua dahan, ranting dan daun di
bawahnya melebar dengan satu nama yang boleh mengagungkan Arjuna.
Dalam
dunia angan-angan itu, Arjuna sudah lupa segalanya. Tampuk yang merajuk tidak lagi mahu menunaskan
dahan baharu. Ranting yang dulu segar ini semakin rapuh. Di bawah
pohon itu yang ada kini hanyalah rimbunan semak dan ranting yang telah mati. Arjuna
masih bangga dengan keadaan itu. Dia bangga dengan kematian ranting yang
berselirat di pangkal pohon itu. Dia juga tidak mempedulikan anai-anai yang
telah berkumpul dan mula membina sarangnya dipangkal pohon Beringin keagungan
Arjuna itu. Meskipun makhluk lain telah meminggirkan dan
mula hilang tetapi dia masih bangga kerana makhluk seperti anai-anai masih
setia dan mula membina sarang di pangkal pohon Beringin agungnya.
Arjuna
masih tetap mengibarkan bendera keagungan di puncak Beringin yang berpucuk dua
itu.
Dia tidak mempedulikan anai-anai yang kini telah mula membina lubang dan
melompangkan batang di pangkal pohon itu. Dalam diam anai-anai mempelajari falsafah
Arjuna. Paparkan yang indah kepada makhluk dan
biarkan kita sahaja yang tahu lompang dan lubangnya. Arjuna tetap bangga dengan anai-anai yang
masih setia di pangkal pohonnya.
Baginya kini, hanya anai-anai sahajalah makhluk yang setia bersamanya.
Siti
Dewi hanya mampu melihat dari jauh. Siti Dewi kelu dan termangu menatap pangkal
pohon Beringin kekasihnya telah dimakan oleh anai-anai dengan rakus. Tompokan
sarang tanahnya kini berbanir dan kukuh menyelimuti pohon. Siti Dewi ingin melaungkan kepada Arjuna
namun laungannya sentiasa disambar angin.
Kerakusan anai-anai sudah tidak dapat dipertahankan. Rombongan penceritanya tetap memaparkan
riwayat bahawa pohon Beringin itu tetap kukuh dan agung. Arjuna semakin teruja dan alpa tentang lubang
dan lompang yang berselirat dalam pangkal pohon, dan Beringin itu kini hanya
menunggu saat untuk tumbang menyembah bumi.
Comments
Post a Comment