PANTUN KASIH SAYAN


PANTUN KASIH SAYANG

Pantun sememangnya bertindak sebagai wadah yang  menggambarkan keintelektualan Melayu. 
Penciptaan pantun secara sedar dapat menyerlahkan keintelektualan pengkarya kerana setiap pantun yang digubah mempunyai konsep-konsep tertentu yang mencakupi ruang, waktu, keakraban, keterikatan dan hubungan.

Nasi lemak buah bidara
Sayang selasih saya lurutkan;
Buang emak buang saudara,
Kerana kasih saya turutkan.

Pertalian antara pembayang dengan maksud amat difikirkan oleh pemantun dan ini bermakna pemantun tidak sembarangan memilih perkataan untuk dijadikan pembayang.  Selain terikat dengan peraturan sesebuah pantun seperti rima, bilangan suku kata, pemantun masih lagi terikat dengan keindahan dan keakraban dengan konsep alamiah Melayu itu sendiri.
Dalam pantun yang telah saya nyatakan tadi, jika diperhatikan maka kita akan dapati wujud  sesuatu keistimewaan dalam ungkapan ‘nasi lemak’.  Mengapa pemantun menggunakan nasi lemak dan tidak menggunakan perkataan masak lemak, atau gulai lemak dan sebagainya.  Ia ada sebab yang tersendiri.  Kalau kita perhatikan secara jujur dan mendalam, antara tiga jenis lemak yang saya nyatakan tadi iaitu, gulai lemak, masak lemak dan nasi lemak, maka kita akan dapati nasi lemah lebih dikenali dalam kalangan orang Melayu.  Nasi, dalam masyarakat Melayu ialah satu makanan asas atau makanan ruji yang amat istimewa.  Hari ini pun nasi lemak dijual di serata tempat.  Malah hanya menjual nasi lemak, seseorang itu boleh menjadi kaya-raya.  Daripada segi naluri pula, nasi ini amat penting, dan jika sehari kita tidak menjamah nasi, kita akan rasa semacam seperti loya dan sebagainya.  Maknanya dalam keadaan yang lapar, kita perlukan nasi, dan selepas itu barulah kita boleh tenang dan selesa.  Nasi ini sahaja yang boleh mengenyangkan.  Mengikut Dr. Noriah Mohamad, dalam bahasa jawa juga ada menyebut sega.  SEGA adalah gabungan dua suku kata iaitu “seseg dan lega” yang bermaksud kenyang dan puas.
          Disebabkan nasi amat berguna dalam kehidupan Melayu, maka tidak hairan jika kita dapati banyak peribahasa  yang berkaitan dengan hal padi ini dalam masyarakat Melayu.  Kerana ia seolah-olah memberikan satu kuasa magis kepada masyarakat.  Mungkin kita pernah dengan orang tua-tua mengatakan bahawa padi itu ada semangatnya yang diberikan nama “semangat padi”.
          Keterikatan antara nasi dengan padi menjadi dominan dalam masyarakat Melayu, dan keterikatan ini akan dihuraikan selepas ini.
Baris pertama dikaitkan dengan nasi lemak buah bidara.  Kalau kita perhatikan buah bidara bukanlah sesuatu yang ‘amat penting’ dalam kehidupan Melayu dan kalau makan pun bukanlah amat mengenyangkan.  Persoalannya, kenapa dikaitkan dengan nasi lemak?  Memang pada asasnya kedua-dua ini merupakan sejenis makanan, satu nasi dan satu buah.  Buah mungkin boleh bertindak sebagai pencuci mulut.  Mungkin pemantun inginkan persamaan bunyi rima sahaja kerana baris ketiga berbunyi ‘saudara’ .  namun jika dilihat dari perspektif lain, kita akan melihat ketidakcocokan antara buah dengan nasi ini.  Ada pengkaji menyatakan ketidakcocokan ini akan menyerlahkan lagi perbezaan dalam maksud yang ingin disampaikan.  Misalnya perbezaan antara warna  yang boleh membezakan sesuatu dengan jelas.  Aspek ini boleh dilihat dari sudut keseimbangan.  Kerana keseimbangan, dalam budaya Melayu juga merupakan satu falsafah yang diterapkan sejak kecil.  Kesepadanan boleh memberikan satu keseimbangan.  Contohnya jika kita menanam sebaris pohon bunga, saya percaya akal kita akan mengatakan bahawa kita perlu menanam sebaris lagi di sebelahnya untuk mewujudkan keseimbangan.  Jika tidak mata kita akan sakit.
Berbalik pada pantun nasi lemah buah bidara ini, bentuk kelainan dalam pantun yang menggunakan ‘buah bidara’ pada dasarnya hanyalah atas dasar persamaan bunyi (Noriah Mohamad; 2006), dengan ‘buang saudara’.  Kalau kita lihat kedua-duanya mempunyai fungsi yang sama atau dalam kedudukan yang setara.  Buah bidara tidak dianggap penting dalam kehidupan orang Melayu (Noriah Mohamad).  Begitu jugalah dengan ‘saudara’ yang bukanlah menjadi sesuatu yang amat penting berbanding dengan ibu dan bapa.  Saudara ini mungkin sesekali akan timbul atau diperlukan jika timbul sesuatu masalah, atau juga jika ada sesuatu keramaian.  Sebab itu timbul kata-kata atau ungkapan “saudara semasa berada”.  Hubungan antara saudara selalunya tidak seakrab ibu dan bapa. 
          Bagi baris kedua pembayang yang bertulis “ sayang selasih saya lurutkan” juga tidak mempunyai pertalian makna dengan nasi.  Tetapi mengapa selasih dipilih sedangkan selasih bukanlah merupakan makanan dasar dalam masyarakat Melayu.  Tapi sebenarnya ada pertautannya.  Kalau kita lihat, selasih adalah bijirin yang akan mengembang jika direndam dalam air.  Gambaran ini sebenarnya ada kaitan dengan untaian kata ‘kasih’ yang akan muncul dan bersemi pada waktu tertentu dan akan semakin berkembang jika sering disirami dengan embun kasih.

Kalau kita lihat baris ketiga “tinggal emak tinggal saudara” “kerana kasih saya turutkan” pula dalam baris yang keempat menggambarkan bahawa sesuatu nilai dalam perasaan ini akan diterjemahkan dan akan diberikan darjatnya oleh orang yang empunya diri.  Pengamatan yang dilakukan dalam masyarakat Melayu bahawa perasan itu memang sukar untuk dimengertikan oleh orang lain.  Berilah nasihat apa pun, dan berilah panduan bagaimana pun, tapi keputusannya tetap terletak di tangan yang empunya diri.  Dalam hal perasaan ini, apabila selalu dibelai dan didodoikan dengan bunga-bunga kasih, sifat manja dan mesra, maka satu jalinan pertautan yang sukar diperjelaskan akan menjelma dan tidak mungkin dapat dipisahkan.  Sebab itu, seseorang itu akan sanggup melakukan apa sahaja demi untuk memenuhi tuntutan perasaan dan jiwanya itu sehingga sanggup meninggalkan orang yang tersayang dan juga kaum keluarganya demi mengejar kepuasan itu.
          Pengertiannya ialah manusia ini amat cepat berubah “hati/perasaan/jiwa” dan tindakan dan kadangkala tidak melihat sejarah yang melatari sesuatu peristiwa.  Sebagai contoh, seorang anak gadis yang dibelai oleh kedua ibu bapa selama lebih 20 tahun, dan kasihnya akan cepat berpindah setelah mengenali jejaka yang mampu menyirami hatinya dalam waktu yang singkat. 
Oleh itu, bayak pengkaji pantun mengatakan bahawa pantun ini mempunyai pengertian;
1)   Sikap yang mementingkan diri sendiri
2)   Wujudnya keterikatan dalam budaya kehidupan masyarakat Melayu antara keluarga dengan saudara mara.
3)   Menyatakan konsep keakraban ini sebagai satu wahana dalam kehidupan.  Bak kata pepatah “bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat”
Sebab itu kita dapati pantun ini dapat kita simpulkan bahawa ia satu teknik luahan hati yang berselindung di sebalik kenyataan.  Bagi orang yang tidak memahami jiwa Melayu, maka mereka tidak akan merasa apa-apa dengan ungkapan yang ada dalam rangkap pantun ini.  Kalau kita teliti pantun secara mendalam, maka kita pasti akan dapati bahawa pembinaan sesebuah pantun amat berkait rapat dengan keintelektualan selain kepintaran, kecerdasan dan kespontanan dan penting untuk memahami sempadan jiwa dan alam pemikiran Melayu.  Pantun-pantun ini memaparkan keterikatan manusia Melayu dengan alam yang dicernanya bukan sekadar dengan pandangan mata tetapi dengan pendengaran telinga dan getar rasa hati nurani mereka.

Comments

Popular posts from this blog

MALU DALAM PANTUN MELAYU

KEINDAHAN BAHASA DALAM PANTUN