PANTUN JENAKA
Assalamualaikum.
Pagi ini saya ingin menyentuh tentang pantun jenaka.  Apa yang dimaksudkan dengan jenaka ialah tentang kata-kata yang menggelikan hati, atau perihal tentang berbuat sesuatu perlakuan untuk membuat orang ketawa.  Dalam dunia pantun, pemantun boleh melakukan kedua-duanya, yakni boleh mengeluarkan kata sambil membuat aksi untuk memberikan orang ketawa.  Paling tidak pun boleh diistilahkan dengan senyum sumbing.  (yang ini, mungkin melibatkan orang yang keras hati atau hati kering)
          Kalaulah belalang pulang ke purun,
          Padikan ranap dilanggar ular;
          Kalau hilang orang berpantun,
          Sunyilah senyap bandar yang besar.

Ini bermakna, pantun memainkan peranan yang penting En. Kam dalam menghidupkan suasana yang ceria dalam masyarakat melayu.  Apatah lagi dengan pantun yang berbentuk jenaka ini.  Yang kebanyakannya lahir dalam majlis-majlis keramaian.  Sebab itu, beragamnya pantun ini (jenaka, sinis, kasih sayang, nasihat, agama seperti yang telah kita bincang dulu) mampu dikekalkan hingga ke hari ini En. Kam.  “Tukang pantun” yang handal akan mendapat penghormatan dalam masyarakat. Apatah lagi, pantun ini sebenarnya boleh dicipta sesuai dengan situasi semasa.  Tidak ada masalah En. Kam.
          Baik, dalam pantun kelakar ini, dahulunya dipanggil pantun gurau senda.  Kelakar ini selalunya berisi dengan sindiran yang tajam dan dalam maknanya.  Kadang-kadang ia juga dipanggil pantun sindir-menyindir.  Namun ia bukan sebarang kelakar En. Kam.  Saya pun tidak berani nak mengatakan sesebuah pantun itu kelakar atau tidak, kerana ia bergantung peda persepsi seseorang, tetapi mengikut kajian, memang ada pantun-pantun yang diklasifikasikan sebagai pantun kelakar atau pantun gurau senda ini.
Contoh pernyataan tentang pantun kelakar:
          Kalau terbakar pohon besar,
          Ributlah kera lari menengkis;
          Kalau mendengar pantun kelakar,
          Mulut tertawa hati menangis.

“Mulut tertawa hati menangis”, memang tepat dengan apa yang dimaksudkan dengan pantun eklakar atau pantun sindir-menyindir ini En. Kam.  Yang mendengar berasa lucu tetapi yang terkena berasa pedih. Sebab peribahasa melayu pun mengatakan “siapa yang makan cili, dialah yang berasa pedas”.   Itu sebab di katakan mulut tertawa hati menangis.  Saya sendiri pun kalau di sindir, rasanya lebih pedih daripada terkena luka.
          Sebab itu pantun kelakar atau di Indonesia disebut “pantun terselubung” ini memerlukan pemahaman yang amat mendalam untuk di tafsirkan isinya En. Kam.  Baik kita lihat contoh pantun ini.
Anak tikur merayap dinding,
Dikejar musang terlonjak-lonjak;
Awak kurus cakap melenting,
Ditampar orang terberak-berak.

Anak buntal terkapai-kapai,
Dibawa pasang hanyut ke laut;
Awak bebal memandai-mandai,
Ditanya orang terkentut-kentut.

Dua pantun ini memang ditujukan kepada orang yang suka bercakap besar, atau orang yang suak temberang.  Boleh juga ditujukan kepada orang yang mempunyai ilmu yang sedikit tetapi menunjuk-nunjuk pandai, tapi bila ada orang yang cuba menguji, dah takut dan tak tahu nak buat apa-apa.
Pantun lain yang boleh kita lihat ialah tentang menyindir orang yang gemuk dan berperut buncit.  Nasib baik saya tidak buncit En. Kam tapi boroi.  Biasala, dah tua, boroi kan lambing kemakmuran. Cuba kita dengar pantun ini;

Anak beruk bermain tempurung,
Kena pangkung kepala pun pening;
Awak gemuk berkain sarung,
Disangka orang betina bunting.
(peril orang gemuk)
Pantun ini pula berkaitan dengan alam rumah tangga.  Cuba kita dengar En. Kam.

Hendak menggulai belanga sompak,
Masak dimangkuk tertawa orang;
Awak bercerai gilakan talak,
Hendak rujuk mentua garang.

Kerana jaring ditahan ungka,
Banyak siamang tak dapat rezeki;
Banyak bersaing dengan yang tua,
Banyaklah bujang tak dapat bini.

Sudahlah kera pergi melancong,
Ulat pun serta membawa pisang;
Sudahlah tua bergigi rompong,
Melihat betina bertambah miang.

Dilanggar rebut disenja kala,
Resak tumbang padi tercabut;
Mendengar kentut Datuk Panglima,
Banyaklah orang mati terkejut.

Pantun ini bagi orang yang yang ingin berkahwin.
Kalau mulut tidak bergigi,
Usah lagi membeli petai;
Kalau kentut di muka kadhi,
Nikah tak jadi saksi terkulai.

Memang banyak pantun-pantun kelakar yang boleh kita temui dalam masyarakat Melayu En. Kam.  Kalau kita teliti pantun-pantun yang saya berikan tadi, memang bunyinya kelakar “kalau kentut di muka kadhi, nikah tak jadi saksi terkulai” tapi penuh dengan sindiran.  Bagi yang bakal menjadi pangantin baharu, elok mereka dengar pantun ini, bagi yang lelaki laa, sebab dia yang akan berjabat salam dengan tuan kadhi. 
          Namun, sebenarnya bukan isu kelakar itu yang diutamakan.  Apa yang boleh kita ambil ialah tentang mesej atau adab dalam melaksanakan atau adab dalam majlis.  Kentut, dalam budaya melayu merupakan satu kelakuan yang amat kurang sopan.  Boleh mendatangkan malu bukan sahaja pada yang empunya diri tetapi juga kepada ahli keluarga dan juga bakal keluarga.  Silap-silap, satu kampung akan bercerita tentang pengantin yang kentut depan kadhi.
          Dalam aspek lain, kalau kita mahu menganalisis pantun-pantun kelakar ini, kita akan dapati ia juga kurang menitikberatkan soal logik. Kalau kita tahu En. Kam, hukum logik dalam pantun memang penting dan logik ini bersambung pula dengan hal pertautan antara baris.
Contoh;
buah cempedak di luar pagar,
ambil galah tolong jolokkan.

atau,
kalau berburu ke padang datar,
dapat rusa berbelang kaki.

Atau pisang emas di bawa belayar,
Masak sebiji di atas peti.

Kalau kita bandingkan dengan pantun kelakar;
Sudahlah kera pergi melancong,
Ulat pun serta membawa pisang;
Sudahlah tua bergigi rompong,
Melihat betina bertambah miang.

Sekali dengar, kita memang tarasa tentang betapa tidak logiknya dua baris pembayang “kera pergi melancong; ulat bawa pisang”.  Tapi inilah sebenarnya yang boleh membentuk unsur humor atau unsur     jenaka dalam pantun.  Bak kata orang tua-tua “mendengar pantun kelakar, dah tertawa baru tersedar”.
          Begitu juga dengan penggunaan bahasanya.  Terdapat sedikit kasar berbanding dengan pantun-pantun yang berbentuk kasih sayang dan sebagainya.  Perkataan seperti kentut, berak, romping, betina, bini dan lain-lain.   Ini mungkin untuk disesuaikan dengan maksud dan peranan pantun untuk menimbulkan bentuk kelakar atau humor.  Kalau bahasa yang terlalu melankolik, tak adalah kelakarnya kan En. Kam.
Itulah En. Kam, walaupun banyak pantun kelakar, tapi dalam kehidupan melayu, kelakar ini masih juga ada had dan tahap pengunaan kata-katanya kerana inilah yang menggambarkan kehebatan Melayu itu.
Bak kata orang tua-tua;
Pantang bercakap tidak beradab,
Pantang berkata tidak semenggah,
Pantang berbual tidak berakal.

Walau disebut pantun kelakar,
Tersalah sebut jadi bertengkar.

Walau disebut pantun nasihat,
Salah sampai jadi mudarat.

Apabila menyanyi pantun menyalah,
Tuah lari aib terdedah.

Inilah kebijakan orang melayu yang tidak ada pada bangsa lain.

Itu sahaja untuk hari ini;  Akhir kata;

Mengapa basah batang rumbia,
Hujan turun tidak beragak;
Bila salah terhutanglah saya,
Mohonlah ampun banyak-banyak.

Dengan itu “dekatilah pantun, di situ banyak ilmu tersusun”

Jumpa lagi;
Gunakanlah bahasa kebangsaan kita dengan betul;
Kita betulkan yang biasa dan biasakan yang betul.

Assalamualaikum.

Comments

Popular posts from this blog

MALU DALAM PANTUN MELAYU

KEINDAHAN BAHASA DALAM PANTUN